TINGKATAN 6 : DIJENAMAKAN SEMULA?


Apabila membicarakan tingkatan 6 saya amat tertarik dengan kenyataan Dato' Haji Alimuddin bin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada hari ini berkaitan dengannya. Kementerian Pelajaran dikatakan akan melakukan penjenamaan semula terhadap pendidikan di tingkatan enam supaya ia lebih bercirikan sistem di universiti termasuk memperkenalkan pembelajaran berbentuk kuliah dan tutorial. Mulai tahun depan kelas di tingkatan enam akan diajar oleh kumpulan guru khas yang jawatan mereka lebih tinggi daripada guru tingkatan satu hingga lima. Masa persekolahan tingkatan enam juga mungkin akan berubah dan tidak akan lagi sama seperti di sekolah biasa. Usaha menaik taraf tingkatan enam bersesuaian dengan statusnya sebagai pendidikan pra-universiti yang berperanan menyediakan pelajar untuk ke menara gading iaitu tingkatan enam perlu dibezakan dengan sekolah menengah biasa kerana ia adalah peringkat yang lebih tinggi dalam sistem persekolahan. Beliau berkata, pendidikan pra-universiti di tingkatan enam seharusnya sama dengan persekitaran di kolej matrikulasi, institut pendidikan guru (IPG) dan Institut Aminuddin Baki yang sistem pembelajarannya seperti di universiti. Menurut beliau, penjenamaan semula tingkatan enam dijalankan selari dengan pengumuman pertambahan peluang kenaikan pangkat untuk guru yang mengajar di tingkatan enam. "Guru yang mengajar di tingkatan enam diberi satu perjawatan yang lebih tinggi berbanding kumpulan guru di tingkatan satu hingga lima,'' katanya.

KSU Kementerian Pelalajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang pula dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan sekolah khas bagi tingkatan enam sebagai sebahagian daripada langkah menjenama semula pendidikan peringkat berkenaan. Langkah mewujudkan pusat sedemikian akan mencontohi langkah Brunei menubuhkan Pusat Tingkatan Enam (PTE) pada tahun 2005. Menurutnya, kementerian itu sedang melakukan kajian teliti terhadap amalan di Brunei yang mempunyai sekolah untuk tingkatan enam sahaja seperti peringkat matrikulasi negara ini. PTE di Brunei dibina di kawasan seluas enam hektar di Berakas, Bandar Seri Begawan yang menyediakan pelbagai kemudahan canggih termasuk dewan syarahan untuk kegunaan 1,300 pelajar dan 97 guru.

Langkah menjenamakan semula tingkatan 6 ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan ianya akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Ianya bukan sahaja melibatkan perubahan dari segi kaedah pembelajaran tetapi juga melibatkan penyediaan prasarana dan bekalan guru. Diharapkan juga apabila kategori guru tingkatan 6 dibezakan dengan guru yang mengajar tingkatan 1 hingga 5 ianya tidak akan mencetuskan polemik di kalangan guru. Elok juga jika guru yang mempunyai tahap kelayakan sarjana (master) yang semakin ramai di negara ini dijadikan syarat sebagai guru tingkatan 6. Seharusnya juga perlu ada Sekolah Khas Pra U diwujudkan di setiap negeri/daerah yang menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran untuk murid-murid pra universiti ini.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment