PERUBAHAN ORGANISASI KPM

Hari ini kita dimaklumkan lagi berkaitan perubahan struktur organisasi di Kementerian Pelajaran Malaysia yang melibatkan 3 sektor baru. LIMA jabatan utama Kementerian Pelajaran distruktur semula kepada tiga sektor berdasarkan pengkhususan fungsi dengan masing-masing diterajui Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) yang diselaraskan kepada gred perjawatan Jusa A. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata jabatan terbabit ialah Jabatan Sekolah, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Teknikal serta Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan yang juga masing-masing diketuai TKPPM pada gred Jusa B, Jusa C dan juga DG54.

Berikutan penstrukturan semula yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Mac lalu, katanya, peranan semua jabatan berkenaan diserapkan ke dalam sektor baru terbabit mengikut kesesuaian fungsi. Beliau berkata, tiga sektor baru itu ialah Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan serta Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan. "Komponen Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan meliputi Pembangunan Kurikulum, Teknologi Pendidikan, Lembaga Peperiksaan, Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Buku Teks serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM). "Pengisian Sektor Operasi Pendidikan pula mencakupi Pengurusan Sekolah Harian, Pendidikan Islam, Pendidikan Khas, Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh/Kluster, Pelajaran Swasta, Teknik dan Vokasional, serta Sukan, Seni dan Kokurikulum. "Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan membabitkan komponen Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki (IAB), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). "Jawatan TKPPM dan ketua bagi setiap komponen dalam tiga sektor berkenaan sudah ada pemangku, berkuat kuasa 1 Jun lalu. Secara keseluruhan, jawatan ketua bagi setiap komponen ialah Pengarah, kecuali Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti serta Rektor IPGM, membabitkan penyandang pada gred Jusa B, Jusa C dan DG54," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam. Alimuddin berkata, Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Haili Dolhan, dinaikkan pangkat sebagai TKPPM Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan; TKPPM Jabatan Sekolah, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (TKPPM Sektor Operasi Pendidikan); serta Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datin Asariah Mior Shaharuddin (TKPPM Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan).

Bagaimanapun, katanya, empat TKPPM lain dalam struktur sebelum ini terus menerajui komponen Pendidikan Khas, Pendidikan Islam, Teknik dan Vokasional, serta Sukan, Seni dan Kokurikulum selaku Pengarah. Namun, beliau berkata, proses perbincangan diteruskan bagi menentukan nama lebih sesuai bagi keseluruhan jawatan pegawai kanan (kecuali TKPPM) dalam setiap sektor itu, selain membuat penyusunan kakitangan jabatan terdahulu mengikut kesesuaian fungsi tugas. "Proses itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan. Berbanding struktur terdahulu yang dibuat berdasarkan bidang, langkah pemantapan dan penambahbaikan kali ini adalah mengikut fungsi. Sebagai contoh, semua urusan berkaitan kurikulum diletakkan di bawah komponen Pembangunan Kurikulum, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan. "Sebelum ini, setiap jabatan ada unit kurikulum masing-masing. Justeru, mereka saling tidak mengetahui kurikulum pendidikan jabatan lain. Kini dengan beroperasi dalam satu sektor sama, mereka boleh berbincang dan membuat penambahbaikan bersama, sekali gus mempertingkat keberkesanan pelaksanaan. "Menerusi proses penyusunan kini, ada sektor bakal memperoleh lebih ramai kakitangan dan begitulah sebaliknya tetapi langkah ini tidak membabitkan sebarang pelantikan kakitangan tambahan baru dalam Kementerian Pelajaran," katanya.

Adalah diharapkan perubahan dalam penstrukturan baru ini akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan pendidikan di negara ini.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment