LAGI TENTANG PPSMI


Petikan akhbar Berita Harian - 4/6/2008

PPSMI gagal capai matlamat
Oleh Norliza Abdullah

Kementerian perlu buat kajian guru, pelajar lemah penguasaan bahasa Inggeris Kementerian Pelajaran sekali lagi disaran supaya mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak lima tahun lalu kerana ia gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan. Tokoh Akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata kegagalan pelaksanaan program itu antara lain berpunca penguasaan bahasa Inggeris kebanyakan guru sendiri lemah untuk menerangkan aspek terbabit dengan jelas.

Katanya, keadaan lebih membimbangkan kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris begitu ketara di kalangan pelajar Melayu dan Orang Asli hingga menyebabkan mereka payah mengikuti proses pembelajaran dua subjek itu. Beliau berkata, hasil kajiannya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dilaksanakan dalam tiga kohort iaitu pada Februari 2007 membabitkan 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah, diikuti Julai 636 murid dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan 1,703 murid Tahun Lima dari 28 sekolah rendah.

“Sejumlah 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris. Ini kerana guru ingin membantu muridnya yang ramai lemah bahasa Inggeris untuk memahami apa yang diajar. “Analisis responden Januari lalu menunjukkan hanya 17.0 peratus murid daripada semua kaum menyatakan mudah mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris. “Peratusan ini jelas menunjukkan sebahagian besar murid atau 83 peratus meluahkan perasaan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah pada Konvensyen Pendidikan Nasional 2008 di UPSI di Tanjung Malim, semalam.

Isahak berkata, hasil kajian itu jelas membuktikan bahawa pelaksanaan PPSMI memberi kesan negatif terhadap sebahagian besar murid terutama di kalangan Bumiputera di kawasan luar bandar dan masyarakat Orang Asli. Beliau berkata, pelaksanaan itu juga tidak meningkatkan minat murid menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan kerana penggunaan bahasa Inggeris sendiri sukar dikuasai, kemudian dipaksa pula menggunakan bahasa itu dalam subjek Sains dan Matematik. “Secara purata, lebih 75 peratus murid Melayu Tahun Lima menyatakan mereka kerap dan kadang-kadang merujuk buku Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu jika tidak faham penerangan dalam bahasa Inggeris. “Kira-kira 35 peratus menyatakan mereka memiliki buku rujukan Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sebagai tambahan,” katanya. Kesimpulannya, Isahak berkata, nyata 80 peratus murid daripada semua keturunan menyatakan sukar mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris dan 70 peratus pula Matematik.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment