Jam 5.30 petang saya baru menjejakkan kaki ke rumah di Mutiara Rini Johor Bahru. Balik bercuti bersama anak-anak. Saya dikejutkan dengan sms seorang rakan kepada isteri yang berbunyi “All frenz petrol naik 78 sen 2nite so fill up ur tank!”. Apa hal ni, minyak nak naik ke esok? Takkan kot. Kerajaan janji bulan Ogos.Saya terus buka internet dan sah disebut demikian. Mulai jam 12.00 mlm tadi minyak petrol dan diesel akan naik dengan kadar baru. Mulai tengah malam tadi harga petrol dan diesel masing-masing meningkat sebanyak 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, umum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri berkata berikutan kenaikan itu harga baru petrol dipam adalah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter. Bercakap sidang akhbar di pejabatnya di sini, Abdullah berkata bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal ."Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.
Selepas maghrib saya bergegas ke Petronas berhampiran rumah untuk mengisi minyak kereta yang sememangnya sudah kontang manakala isteri saya juga bergegas ke kiosk petrol lain di Taman Universiti untuk mengisi minyak MPV yang hanya tinggal separuh. Hampir 1 ½ km terpaksa berbaris untuk menunggu giliran. Dalam masa menunggu berbagai sms dari rakan-rakan diterima berkaita isu ini. Ada yang mempertikaikan langkah kerajaan yang tanpa notis menaikkannya. Dia sedang bercuti di utara yang sudah pasti akan meningkatkan lagi kos minyak 41% daripada budget asal bercuti. Seorang rakan lain mengeluh kerana selepas ini sudah pasti meningkatkan lagi kos petrol beliau yang selalu bertugas outstation sedangkan kelayakan tuntutan tiada perubahan. Ada yang mengeluh dan menjangkakan selepas ini harga segala barangan akan naik seperti trend sebelumnya. Itulah antara keluhan rakan-rakan apabila diumumkan sahaja kenaikan harga petrol. Hampir sejam berbaris barulah dapat giliran mengisi minyak. Itupun dihadkan hanya RM30.00 dengan alasan agar semua orang dapat mengisi dengan kadar lama secara adil. Seorang makcik marah-marah kepada atendan petrol pump kerana tidak dapat mengisi minyak keretanya dengan penuh. Ada juga yang marah kerana apabila tiba giliran tak dapat gunakan kad kredit kerana hanya bayaran tunai sahaja dibenarkan. Tak kurang juga ada yang marah kerana ada kenderaan yang ‘Potong Q’. Itu belum dikira deretan lori dan bas kilang/sekolah yang menambahkan sesak laluan kerana masing-masing mengambil peluang untuk mengisi minyak dengan kadar lama. Itulah antara gelagat manusia apabila harga minyak naik. Inilah hakikat pentingnya bahan bakar minyak ini. Ia bukan sahaja penting untuk mengerakkan kenderaan tetapi juga memberikan impak lain dalam keseluruhan kehidupan manusia. Tidak hairanlah di sesetengah negara seperti di Indonesia, berlaku demonstrasi dan rusuhan ekoran kenaikan harga minyak ini.
Apa-apa hal pun isu ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Diharapkan langkah yang diambil kerajaan mampu menangani masalah ini dan dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pengguna. Semua pihak terkejut dan pastinya memberikan kesan kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah. Bayangkan orang ramai bersesak di stesen minyak setelah kenaikan diumumkan lewat petang semalam kebanyakkannya mengeluh.
Apa yang diharapkan rakyat Malaysia haruslah bertindak rasional, bersabar dan elakkan daripada menimbulkan insiden yang boleh mencetuskan huru hara seperti berlaku di Bandung dan jakarta pada minggu lepas. Kita bernasib baik kerana kerajaan masih bermurah hati memberikan tunai kepada pemilik kenderaan. Kita juga mengharapkan para peniaga pula tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sesuka hati seperti berlaku pada Februari 2006 apabila harga minyak naik. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengawasi tentang perkara ini. Ini sahaja cara yang dapat dilaksanakan untuk mengatasi kelakonan peniaga yang tidak bertanggungjawab selain kita sebagai pengguna menggunakan kebijaksanaan kita dalam membuat keputusan berkaitan pembelian barangan.
Saban malam kita diketengahkan dengan insiden di luar negara berkaitan krisis tenaga dan barangan sehingga menyebabkan berlakunya mogok dan sebagainya. Kerajaan negara mereka bagai kehilangan arah untuk mengatasi masalah global ini sehingga menyebabkan rakyat memberontak. Justeru kerajaan, parti politik, NGO dan seluruh rakyat negara ini tidak seharusnya panik dan cuba mengambil kesempatan menghasut. Kita harus sama-sama menjelaskan keadaan sebenar bahawa kenaikan tidak dapat dielakkan kerana berlaku di seluruh dunia. Saya yakin bahawa bukan hasrat kerajaan dan tidak ada mana-mana kerajaan di dunia ini yang mahukan rakyatnya sengsara. Bagaimanapun apabila fenomena ini berlaku ianya perlulah ditangani secara tabah dan bijaksana.
0 comments:
Post a Comment