Sunday, January 17, 2010

Cabaran ke Sekolah Berasrama Penuh


BARU-BARU ini anak-anak didik di sekolah saya memperoleh keputusan PMR yang agak baik dengan 103 orang memeperoleh perfect score (semua A) dan sebahagiannya bercadang menyambung persekolahan menengah di sekolah berasrama penuh (SBP) berdasarkan borang permohonan yang saya perlu sahkan. Bagi saya tidak menjadi halangan kepada anak-anak ini untuk memilih ke SBP kerana ini adalah satu peluang yang boleh mereka rebut selain daripada berpeluang meneruskan pelajaran ke MRSM, sekolah teknik dan sekolah menengah agama.

Seperti mana yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya PMR adalah penilaian yang akan menentukan 1. Pelajar layak atau tidak layak ke tingkatan 4.; 2. Layak atau tidak layak pelajar meneruskan pelajaran ke pelbagai aliran di peringkat menengah atas – sains tulen, sains teknikal, sains agama, agama atau sains kemanusiaan dan ; 3. Berpeluang atau tidak meneruskan persekolahan di pelbagai institusi pendidikan – SBP, MRSM, SM Agama, SM Teknik atau Sekolah Harian.

Seorang pelajar menghubungi saya sama ada perlu pergi atau tidak setelah menerima tawaran ke SBP baru-baru ini. Tambahan pula terdapat saudara terdekatnya yang pulang semula ke sekolah harian biasa kerana tidak sesuai dengan persekitaran dan suasana di asrama penuh. Mungkin dia menjadi keliru dan serba salah antara keinginan dan cabaran yang akan ditempuhi. Saya menasihatinya tentang kebaikan pergi ke SBP dan akhirnya terpulang kepadanya untuk memutuskan sama ada hendak pergi atau tidak. Bagi sama di mana-mana juga kita bersekolah waima di sekolah harian sekali pun ia tidak menjadi kekangan untuk kita terus memperoleh kecemerlangan. Malah saban tahun calon yang memperoleh perfect score dalam PMR dan SPM sebahagian besarnya adalah dating dari sekolah harian di seluruh Negara.

Kita semua pasti teruja kenyataan Tan Sri Dato KPPM 15 Januari 2010 yang lalu bahawa 46,318 pelajar memohon masuk ke Tingkatan 4 SBP sedangkan tempat yang tersedia hanya untuk 4,500 orang sahaja. Bilangan itu meliputi 28,188 pelajar calon PMR2009 yang meraih semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd. Dom pernah berkata, antara tujuan utama kerajaan membina SBP adalah memberi peluang kepada pelajar cemerlang dari luar bandar merasai suasana pembelajaran lebih selesa. Jelas beliau lagi, ia juga lebih terarah terhadap usaha kerajaan menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk anak masyarakat Orang Asli. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan, proaktif serta mempunyai disiplin yang tinggi.

Banyak kelebihan yang boleh dinikmati bukan sahaja untuk para pelajar itu sendiri. Kepada ibu bapa, ia pasti dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dan juga mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap. Guru-guru dan kualiti pembelajaran yang baik dapat membantu pelajar-pelajar ini dalam mencapai cita-cita mereka. Oleh kerana pelajar yang terpilih secara automatik tinggal di asrama, jadual seharian yang ditetapkan oleh pihak sekolah dapat membantu mendisiplinkan pelajar dalam aktiviti seharian mereka.

Selain itu ia juga dapat melahirkan pelajar yang berdikari dan mempunyai asas kendiri yang teguh. Biarpun banyak kelebihan yang diperoleh daripada sekolah asrama penuh, beberapa faktor perlu dikaji sebelum ibu bapa atau pelajar itu membuat keputusan untuk ke sekolah berasrama penuh.

Buatlah keputusan yang tuntas agar anak-anak berkenaan dapat pergi ke SBP dengan satu matlamat jelas. Para ibu bapa dan anak mereka seharusnya berbincang untuk meneliti kemungkinan dan membuat keputusan dalam hal ini. Ini untuk mengelakkan daripada terjadinya ketidaksediaan remaja untuk ke sekolah asrama penuh. Berdasarkan pengalaman saya mengurus sekolah yang mempunyai asrama, sebahagian ibu bapa mengharapkan anak mereka tinggal di asrama sedangkan kesediaan anak untuk tinggal di asrama terlalu rendah – antara alasan yang selalu diberi ; mendisiplin diri, jadual pembelajaran lebih tersusun, tidak dapat mengawal anak belajar di rumah, selain ada sebahagian ibu bapa yang memang kurang berkemampuan.

Apabila ini terjadi, psikologi anak-anak yang masih muda ini akan terganggu. Lebih parah lagi sekiranya ia menjejaskan prestasi pembelajaran mereka. Terdapat ibu bapa yang berpendapat bahawa umur 12-13 tahun adalah terlalu muda untuk ke sekolah berasrama kerana mereka belum matang dalam membuat keputusan dan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran di persekitaran baru. Justeru kalau ini berlaku, pelajar di peringkat usia selepas PMR rasanya lebih bersedia untuk tinggal di asrama.

Ini tidak bermakna semua pelajar tidak sesuai. Bergantung kepada kesediaan invidu berkenaan itu sendiri. Anak saya sendiri sejak tingkatan 1 bersekolah dan tinggal di asrama – jelas boleh berdikari, tidak banyak menghadapi masalah menyesuaikan diri malah prestasi pembelajarannya juga stabil hinggal memperoleh keputusan yang baik.
Bagaimanapun menghantar anak-anak ke asrama seharusnya diiringi dengan kesediaan ibu bapa dan remaja itu sendiri. Ibu bapa harus meneliti akan watak dan keterampilan anak mereka dan juga sekolah terbabit. Kebanyakan ibu bapa pasti mempunyai hujah yang kuat untuk menghantar anak mereka ke asrama, iaitu untuk mendapatkan pendidikan terbaik dan juga sebagai langkah untuk menerapkan disiplin dalam diri anak mereka supaya cara hidup lebih teratur.

Namun di sebalik itu, ia bergantung kepada anak itu sendiri yang akan menentukan kaedah pembelajaran dan budaya seharian. Apa gunanya di sekolah berdisiplin tetapi apabila berada di rumah, mereka tidak dapat mengikuti disiplin tersebut?
Disiplin di sekolah mungkin berbentuk luaran, iaitu menjalankan peraturan melalui penguatkuasaan dan disokong dengan penalti atau hukuman sekiranya tidak dipatuhi. Dalam konteks ini, ia berbalik kepada pendidikan asas dan nilai-nilai diri yang diterima di rumah, iaitu pendidikan oleh ibu bapa dan keluarga.

Ibu bapa harus menyiapkan anak mereka dan membimbing anak-anak mereka untuk hidup berdikari hatta anak mereka tidak dihantar ke sekolah asrama penuh sekali pun. Nilai-nilai murni dan pendidikan agama harus sentiasa diterapkan dalam jiwa remaja. Ini supaya remaja mempunyai pertimbangan dalam menghadapi permasalahan semasa terutama sekali apabila mereka berada di dalam lingkungan rakan-rakan sebaya.
Selain itu. apabila ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama, ibu bapa haruslah memahami keperluan psikologi anak-anak yang berpisah daripada ibu bapa, keluarga dan keselesaan yang ada tatkala berada di rumah. Anak-anak harus diziarah dan dipantau supaya mereka tidak berasa keseorangan dan mendapat sokongan keluarga. Bagaimanapun menziarahi anak tidak bermakna pada setiap hari atau minggu tetapi mengikut masa yang bersesuaian bagi memastikan anak tidak terlalu dimanjakan.
Saya pernah berjumpa seorang ibu yang setiap hari dating ke asrama minta kebenaran berjumpa anak dengan alasan untuk mengambil pakaian untuk dibasuh dan digosok di samping menghantar makanan masakannya. Bagi saya itu adalah tindakan yang tidak bijak kerana ibu bapa sendiri yang tidak member ruang kepada anak-anak untuk hidup berdikari dan mengurus diri sendiri dengan betul.

Seperti yang pernah saya sebut kepada anak-anak pelajar saya semasa majlis orientasi asrama baru-baru ini “tinggal di asrama memerlukan kita survive untuk hidup – bersedia untuk berdikari, mengurus kehidupan mengikut masa, hidup bantu membantu, bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental” barulah kita boleh mencapai kecemerlangan.

Satu ketika dulu saya sendiri pernah tinggal di sekolah berasrama – natijahnya saya mampu hidup berdikari, mengurus segala-galanya sendiri, memberi motivasi untuk terus berjaya dan sudah pastinya sokongan dan doa ibu bapa saya adalah sangat penting dalam menguatkan semangatsaya untuk terus belajar dan menghadapi kehidupan di asrama. Hingga akhirnya apabila saya masuk ke university dan bekerja di rantau orang tidak pernah member masalah kepada diri saya. Semuanya adalah berkat dapat mengurus diri semasa tinggal di asrama. Pastinya mereka yang pernah tinggal di asrama juga dapat merasakan perkara yang sama.

Namun amat menyedihkan apabila ada di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama semata-mata bagi melepaskan beban kepada pihak sekolah untuk menjaga anak mereka. Lebih malang lagi sekiranya perbelanjaan anak-anak tidak dijaga atau dikawal. Ibu bapa bukan sahaja berkewajipan untuk menghantar belanja kepada anak-anak mereka, tetapi juga harus menasihatkan anak-anak dalam menguruskan wang yang diterima. Hal ini amat berguna apabila mereka sudah dewasa kelak. Ibu bapa juga harus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam apa-apa program yang dijalankan dan tidak begitu ‘memanjakan’ anak-anak mereka dengan menyerahkan segala urusan hanya kepada guru dan warden sahaja.

Pengalaman saya mengurus sekolah berasrama memperlihatkan perkara yang saya sebut di atas walaupun tidak ramai. Tapi itu adalah realiti yang berlaku. Malah ada ibu bapa yang membekalkan telefon tangan kepada anak walaupun mengetahui peraturan memang tidak membenarkannya. Di pihak diri pelajar pula, seharusnya ada persediaan untuk menghadapi kehidupan baru di sekolah berasrama penuh. Jadual di sekolah tidak sama jika dibandingkan apabila berada di rumah. Peraturan perlu diikuti, masa harus dipatuhi dan perhubungan baik sesama rakan dan guru harus dipelihara. Semalam warden asrama sekolah saya membawa 2 orang murid yang bertelingkah di asrama hanya kerana perkara yang terlalu kecil. Kalau remaja sendiri tidak bersedia untuk hidup dalam suasana hormat menghormati, bersedia mendengar teguran/pandangan dan saling bertolak ansur, bagaimana nak hidup dalam institusi social yang lebih besar apabila keluar dari alam persekolahan kelak.

Pelajar perlu menunaikan tanggungjawab dalam menguruskan masa, disiplin belajar, kewangan, dan juga tidak lupa untuk berusaha membentuk keperibadian diri yang utuh. Menyesuaikan diri di tempat baru dan mencari rakan yang baik adalah penting dalam membantu ke arah kecemerlangan diri dan sahsiah. Ini semua adalah kurikulum tersembunyi dalam pendidikan yang pelajar sendiri kena perolehnya. Selalu saya sebut kepada pelajar saya – “alam yang paling menyeronokkan ialah alam persekolahan, ianya tidak akan dapat kita perolehi kembali apabila usia kita semakin meningkat, justeru timbalah sebanyak mana pengalaman dan jadikan kehidupan di alam sekolah sebagai batu-batu permata yang berguna kepada kita untuk hidup seterusnya”.

Pelajar yang ingin tingal di asrama dan ibu bapa juga harus sentiasa berbincang atas permasalahan yang timbul. Perhubungan antara remaja dan keluarga tidak seharusnya menjadi renggang dan kekok. Adalah amat penting bagi remaja untuk selalu berpegang kepada nilai-nilai murni dan tidak membelakangkan nilai-nilai agama dalam menjalani kehidupan seharian. Pengaruh rakan-rakan harus dipertimbangkan dengan baik supaya tidak terjebak dengan anasir-anasir yang boleh mendatangkan keburukan pada diri mereka dan juga keluarga. Sentiasalah memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Selain itu, kerjasama yang baik antara rakan-rakan dan guru-guru adalah amat penting dalam membantu menyesuaikan diri dan juga untuk mencapai matlamat untuk berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.

Tinggal di asrama tidak semestinya menjanjikan kejayaan cemerlang tanpa kita sendiri berusaha untuk mencapainya. Ramai juga pelajar yang sekolah di SBP dan tinggal di asrama tetapi akhirnya kecundang malah ada sesetengah kes seperti dilaporkan dalam akhbar diambil tindakan disiplin termasuk dibuang sekolah gara-gara tidak mematuhi peraturan sekolah. Inilah yang kita tidak mahukan. Kerajaan mendirikan asrama di sekolah untuk memberi peluang kepada pelajar yang layak memperoleh pendidikan yang lebih baik, justeru pelajar yang terpilih masuk hendaklah memastikan tidak mensia-siakan hasrat kerajaan ini.

Kita juga mesti bersyukur, saban tahun pencapaian anak-anak kita dalam peperiksaan awam semakin meningkat tetapi kerajaan tidak mampu member ruang yang lebih banyak di sekolah seperti SBP. Bagaimanapun kini telah banyak sekolah-sekolah kawalan yang diwujudkan di seluruh negara yang bertujuan untuk member peluang kepada pelajar-pelajar yang cemerlang mendapat pendidikan yang sama taranya dengan yang ditawarkan di asrama penuh sama ada dengan asrama atau sebaliknya. Ini bermakna pelajar-pelajar berpeluang memperolehi kemudahan pendidikan yang serupa dengan rakan-rakan mereka yang bersekolah di SBP tetapi tidak tinggal di asrama.

Kesimpulannya, sekolah berasrama penuh mendatangkan banyak kebaikan bukan sahaja dalam melahirkan pelajar yang mempunyai akademik yang cemerlang, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, berakhlak mulia dan bersedia mendepani cabaran mendatang. Golongan ini diharap mampu menjadi pemimpin di masa hadapan dan menjadi contoh yang baik untuk diikuti. Namun begitu, jika tidak terpilih, ibu bapa dan remaja tidak seharusnya berasa kecewa dan berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang berjaya ke sekolah asrama penuh. Usaha mempertingkatkan diri harus sentiasa berjalan walau di mana sekalipun kita berada.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk memperkasakan sekolah harian secara holistik supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang. Apatah lagi ramai pelajar yang tidak ke asrama penuh pun berjaya seperti Nur Amalina yang berjaya memperolehi 17A1 dalam peperiksaan SPM beliau sungguhpun bersekolah di sekolah harian biasa. Malah dalam konteks peperiksaan PMR di sekolah saya sendiri pada tahun 2009, anak-anak pelajar calon mampu membuktikan kejayaan cemerlang dengan memperoleh perfect score seramai 103 orang berbanding 80 orang pada tahun sebelumnya dan trend peningkatan ini jelas berlaku setiap tahun. Begitu juga dalam peperiksaan SPM 35 orang berjaya memperoleh perfect score pada tahun 2008 dan saya mengharapkan tahun 2009 pencapaian mereka juga semakin bertambah baik. Insyallah.

Sekali lagi saya ingin sebutkan di mana juga kita belajar sama ada di sekolah harian biasa atau di SBP, apa yang penting adalah kesungguhan pelajar untuk berjaya dan pada masa sama ibu bapa mereka perlu memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka, ditambah dengan perancangan serius oleh pihak sekolah dan pihak-pihak lain yang berkepentingan, pastinya mampu membuahkan hasil yang lumayan.

Selamat menghadapi kehidupan baru kepada anak-anak pelajar lepasan PMR yang terpilih ke SBP di seluruh Negara.

Wednesday, January 06, 2010

Anjakan Paradigma


Saya menerima sms seorang rakan yang meminta macam mana nak menerangkan tentang ‘anjakan paradigma’ kepada rakan lain yang bertanyakan perkara itu kepadanya. Saya pun tak tahu macamana nak menjelaskan kepadanya dalam bahasa yang paling mudah. Mungkin perbincangan ringkas ini boleh membantu. Perkataan anjakan paradigma pernah dipopularkan oleh Thomas Kuhn dalam tahun 1963 (The Structure of Scientific Revolution – www. Taketheleap.com). Mengikut Kuhn, kemajuan saintifik bukanlah satu proses evolusi, tapi satu siri selingan damai yang disentak oleh revolusi intelektual yang menggegarkan. Dalam revolusi ini berlaku satu penggantian dalam tassawur atau konsep 'world view'.

Definisi paradigma di sini lebih merujuk kepada paradigma sebagai model, pola atau cara kita melihat dan menilai satu realiti atau keadaan - satu set peraturan atau kerangka yang kita pegang. Apabila berlaku perubahan dalam paradigma, maka ini disebut sebagai satu anjakan paradigma. Dalam banyak aspek, kehidupan manusia telah banyak berubah. Perubahan ini telah di pacu oleh pelbagai faktor seperti teknologi maklumat dan juga kemajuan di bidang sains yang lainnya. Perubahan- perubahan ini akan mencetuskan perubahan- perubahan lain seperti cara kita berkerja dan seterusnya menuntut penilaian kepada aspek-aspek kerja yang lain dan yang berkaitan. Pemikiran kita juga harus berubah bagi membolehkan kita terus berfungsi seiring dengan tuntutan- tuntutan baru ini.

Secara ringkasnya 'anjakan paradigma' seperti yang saya fahami ialah bermaksud 'ubah kaedah atau ubah cara lama'. 'Ubah' ini termasuklah tukar, buang, tinggalkan, perbaiki dan sebagainya. Dan 'cara' pula ini termasuklah ruang-lingkup gaya pemikiran, kaedah,pentadbiran, teknik, 'approach' dan yang sama erti dengannya..

Di peringkat organisasi sekolah misalnya, telah timbul keperluan sekolah menjadi sebuah organisasi pembelajaran serta dianggotai oleh individu berpengetahuan. Individu dalam organisasi perlu mengubah paradigma lama mengenai peranan mereka dalam konteks peranan baru ini yang memerlukan pembudayaan pengetahuan. Pemesatan dan perubahan di bidang atau peringkat lain yang sekaligus mempengaruhi organisasi dan individu seperti K-ekonomi, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik dan sebagainya akan menuntut penilaian semula kepada bentuk dan cara kita berfikir, berkhidmat dan mendapat perkhidmatan. Perubahan-perubahan lain dalam falsafah organisasi seperti keutamaan kepada pelanggan, kualiti, akauntabiliti, budaya kerja cemerlang dan lain-lain memerlukan individu menyemak kembali cara dan struktur pemikiran yang membolehkan pemindahan dan penyesuaian dibuat segera.

Anjakan paradigma dalam konteks semua ini bermakna mengubah kerangka pemikiran kepada realiti-realiti yang dibawa oleh perubahan-perubahan ini serta bertindak mengikut tuntutan-tuntutan paradigma baru. Anjakan paradigma ini juga sesuai digunakan untuk menerangkan peri penting perubahan untuk sesuatu kemajuan berasaskan teknologi atau rekacipta terkini kepada masyarakat. Ini membawa maksud, paradigma akan sentiasa berubah selaras dengan perubahan dunia semasa. Apa sahaja yang menjadi perkara baru pada hari ini akan segera menjadi basi pada keesokkannya. Lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan ICT yang sentiasa berinnovasi menyajikan teknologi terkini. Contohnya telefon bimbit, notebook dan sebagainya. Kerana apabila satu teknologi baru ditemui untuk mengatasi teknologi yang lama, maka satu anjakan paradigma diperlukan bagi menerima pakai paradigma yang baru tadi. Kebarangkalian untuk ketinggalan dalam perlumbaan teknologi amat tinggi jika tidak sentiasa di'update' dengan input terkini.

Paradigma yang sedia ada selalu dikategorikan sebagai paradigma zon selesa - atau comfort zone. Justeru, amat berat bagi mereka untuk meninggalkan paradigma zon selesa itu. Lebih-lebih lagi ia tidak mengganggu gugat status-quo yang dikecapi. Oleh itu, untuk melakukan anjakan paradigma, ia memerlukan satu kesedaran dan kekuatan dalaman untuk merobah kebiasaan itu. Melainkan mereka mendapati zon selesa itu tidak lagi sesuai dengan gaya hidup mereka, lalu inginkan perubahan yang total, maka disitu anjakan paradigma lebih mudah dilakukan.
Contoh paling mudah berkaitan dengan teknologi jam yang kita pakai setiap hari. Dahulu pembuat jam mekanikal terkemuka dunia dikuasai oleh orang Swiss. Tidak mengguna bateri dan mereka sangat bangga dengan kepakaran itu. Tiada siapa yang boleh menggalahkan orang Swiss dalam kaedah pembuatan enjin jam. Akibatnya mereka leka dan selesa dalam paradigma itu lalu tidak memperdulikan idea dan teknologi baru yang lebih bernas. Sehinggalah, Seiko dari Jepun, membuat 'reverse engineering' terhadap teknologi Quartz. Iaitu mengubah keseluruhan paradigma enjin mekanikal kepada enjin Quartz yang menggunakan bateri. Ini telah mengakibatkan perubahan menyeluruh terhadap industri tersebut. Penerimaan jam Quartz yang begitu menggalakkan dari pengguna seluruh dunia menyebabkan penjualan jam mekanikal Swiss jatuh merudum. Hampir-hampir mereka gulung tikar. Akhirnya, pengusaha jam Swiss terpaksa berubah dan menerima pakai paradigma baru dengan memperkenalkan jam Swatch berenjin Quartz untuk menandingi Seiko keluaran Jepun. Mereka bernasib kerana cepat sedar dan berubah untuk kekal dalam persaingan sehingga sekarang.

Untuk beranjak ke satu paradigma yang baru seseorang perlu berani mengambil risiko. Walaupun begitu, menolak yang lama dan mengganti baru bukan bermakna benci, hanya pembaharuan yang dicari untuk menghasilkan produk/output yang lebih menguntungkan/menyenangkan sesuai dengan tuntutan zaman. Ia juga berkait dengan lumrah alam, yang lamakan pergi, yang baru mengganti. Silih berganti hari demi hari. Cuma perkara yang baru dan beranjak dari yang lama kepada yang baru sahaja mungkin terpaksa menghadapi pelbagai macam cabaran, kesukaran dan penerimaan dari segi mental dan fizikal. Malah dalam Islam sendiri kita sering mendengar konsep hijrah dan kebaikannya. Selagi tidak memesong akidah, anjakan paradigma harus dilakukan demi kebaikan. Ia berkonsepkan 'hijrah' dari satu ruang-lingkup lama ke ruang-lingkup baru, dari melakukan kejahatan kepada kebaikan, dari kesusahan ke kesenangan dan begitulah seterusnya.

Friday, December 18, 2009

Mari Berhijrah


Hari ini kita meraikan kehadiran tahun baru hijrah sekali lagi mengikut kalendar Islam. Ini bermakna hidup kita sudah semakin berusia. Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW kira-kira 1431 tahun lampau telah menjadi asas kepada pembinaan tamadun Madinah dan Islam secara khusus. Masyarakat madani yang dilaung-laungkan sebagai bersifat utopia oleh pemimpin dan pemikir Islam tidak berdiri tegap dan kukuh dengan sendiri tanpa Hijrah sebagai batu asasnya. Begitu juga kita, Malaysia tidak akan berada dalam status kini kalau tiada proses hijrah malah kalau kita melihat dalam skop yang agak mikro, diri kita tidak mungkin akan dapat mengecapi kehidupan yang selesa pada hari ini kalau tidak bermula dengan hijrah – hijrah minda, hijrah kelakuan, hijrah sikap dan hijrah segala-galanya.

Perjuangan Rasulullah Nabi Muhammad SAW di Makkah satu ketika dulu yang dikuasai kafir Quraisy dan penentangan puak kafir yang menolak mentah-mentah syiar Islam dihadapi Baginda dengan penuh tabah dan sabar sehingga Allah SWT memerintah berhijrah ke Madinah demi kesinambungan menegakkan akidah Islam.
Umat Islam di negara ini juga sebenarnya amat bertuah kerana dengan prasarana moden dan status negara kita sebagai negara Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi, maka wajarlah kita bersyukur dengan kemudahan dianugerahkan Allah kepada kita. Kita ada masjid indah untuk beribadat. Dalam khutbah Jumaat di masjid berhampiran kediaman saya pada hari ini disebut oleh khatib yang membaca khutbah bagaimana institusi masjid pada hari ini telah dimasyarakatkan dengan kepelbagaian aktiviti yang merentas bidang dan tidak menjadikan masjid sebagai premis untuk bersembahyang sahaja. Tahniah. Malah di Setiap taman atau kejiranan kini juga mempunyai surau yang mampu memuatkan jemaah untuk beribadat tidak kira dari parti politik manapun, di depan Allah semua sama cuma ketakwaan dan amal ibadah yang membezakan kita di sisi-Nya. Justeru, wajar kita memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana kepemimpinan negara sejak zaman selepas merdeka tidak mengabaikan pembangunan modal insan yang menitikberatkan pembentukan sahsiah dari segi keagamaan.

Umat Islam wajar menggunakan sepenuhnya nikmat beribadat kepada Allah dengan mengunjungi masjid dan surau serta mengimarahnya. Jangan jadikan masjid semata-mata tempat untuk 'berhijrah' daripada masalah kewangan dan perasaan tidak keruan atau dijadikan mimbar politik memecah-belah perpaduan ummah. Marilah kita bersama hijrahkan minda kita ke arah budaya hidup penuh dengan nilai kemanuisaan, biar hidup miskin di dunia jangan muflis di akhirat kelak. Jangan dipersiakan pengorbanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW menghidupkan roh hijrah kerana perjalanan baginda ke Madinah 1431 tahun lampau adalah demi tegaknya kalamullah. Perjalanan itu harus diteruskan dan pastikan ia selesai. Hijrah itu sendiri membawa konotasi berubah atau berpindaH dari sesuatu ke sesuatu . Dalam erti kata lain seharusnya perubahan itu dari buruk kepada baik, dari susah kepada senang dan apa-apa juga impak yang membawa kebaikan kepada semua.

"SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH"

Lubang Jalan dan Nilai Kemanusiaan


Semalam saya menghadiri mesyuarat di Muar. Semasa cuba mencari 'parking' bersebelahan pejabat pelajaran di tengah bandar tiba-tiba tayar sebelah kiri saya termasuk lubang yang saiznya muat untuk sebuah tayar kereta. Saya pun hairan bagaimana lubang sebesar itu yang lokasinya di tengah bandar tidak dipasang dengan penutup yang sudah barang tentu membahayakan keselamatan orang ramai. Bila saya meninjau keluar bukan setakat satu lubang tetapi dua lubang sepanjang tepi jalan berkenaan tiada penutupnya. Tidak pastilah sama ada memang pihak berkenaan tidak memasangnya atau sengaja telah dicuri oleh manusia yang tidak punya rasa tanggungjawab. Menurut atenden pam minyak dihadapan jalan yang terus datang meninjau apa yang berlaku mengatakan ini adalah insiden ke 4 kereta masuk ke lubang berkenaan, malah ada kereta yang mengalami kerosakan teruk kerananya. Saya dimaklumkan dan berbulan lubang berkenaan tiada penutup. Seharusnya pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera kerana kawasan berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan parking dan laluan orang ramai. Keselamatan awam adalah lebih penting. Kalau pun benar telah dipasang sesungguhnya manusia yang mencurinya adalah manusia yang tidak punya tanggungjawab dan rendah ketamadunannya.

Beberapa minit selepas itu seorang penunggang motorsikal berbangsa India, dan seorang pemandu Honda Accord berbangsa Cina, dan dua orang pemuda Melayu bermotorsikal selain seorang rakan yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan berhenti dan membantu mengangkat serta menolak kereta saya dari lubang berkenaan. Terima kasih banyak-banyak kepada sahabat-sahabat 1 Malaysia yang prihatin membantu saya pada ketika itu. Nasib baiklah bila saya periksa, tiada sebarang kerosakan pada kenderaan saya.

Moral kepada insiden ini bukanlah berkaitan kereta saya yang masuk ke dalam lubang tetapi yang ingin saya tekankan ialah nilai kemanusiaan dan keprihatinan masyarakat negara ini yang masih kukuh. Walaupun berlainan kaum dan agama kita masih punya semangat muhibah untuk membantu antara satu sama lain khususnya mereka yang dalam kesusahan. Inilah contoh kecil konsep 1Malaysia yang boleh kita sama-sama contohi dan kalau ini boleh kita pertahankan, Insyallah generasi kita di bumi Malaysia ini dapat hidup dalam suasana rukun damai. Sebagai rakyat Malaysia tidak kira siapa kita sama ada kita manusia kecil atau manusia besar darjatnya mestilah bersama-sama bertangungjawab memastikan keadaan aman damai dapat dipertahankan. Caranya bukan susah - sekadar kita hormat menghormati, bantu membantu, memahami satu sama lain juga sudah memadai untuk kita merealisasikannya.

Monday, November 30, 2009

360-Degree Leader (Pemimpin 360-Darjah)


Hampir 2 bulan saya mempoleh buku 360-Degree Leader (Pemimpin 360-Darjah) versi Bahasa Melayu tulisan John C Maxwell, hadiah daripada seorang guru saya, baru hari ini saya dapat habis membacanya. Agak menyeronokkan kerana input baru.

Maxwell cuba meleraikan masalah yang sering menghantaui ramai pemimpin yang sukar memimpin kerana tidak berada di kedudukan paling atas. Melalui "Pemimpin 360 Darjah" beliau mengutarakan gagasan memimpin ke atas, memimpin ke bawah dan memimpin secara silang. Ini bermaksud semua anggota dalam organisasi dapat berfungsi sebagai pemimpin mengikut atau pada kedudukan masing-masing.

Pada tahap memimpin ke atas, pemimpin akan membantu ketuanya untuk memimpin, melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain seperti yang diharapkan oleh ketuanya serta sanggup tidak diberi imbuhan kerana melakukannya seperti mana dikecapi oleh pemimpin atasannya.

Sementara memimpin silang membawa konotasi, seseorang pemimpin berkenaan bertindak seperti rakan kepada rakan-rakan dalam organisasinya. Hakikatnya persahabatan merupakan asas penting untuk mempengaruhi orang lain. Rakan sejawat akan sentiasa mendengar kita, mencari asas persamaan antara kita, mempunyai elemen kecindan (humor), dan sentiasa mahu berkongsi keadaan sebenar dalam waktu orang lain tidak mahu melakukannya. Inilah yang menjadi matlamat pemimpin 360 darjah.

Ketiganya, pada peringklat memimpin ke bawah bermaksud bagi mereka yang sudah berada pada tahap pemimpin paling atas, mereka harus bergerak dengan penuh hikmah dan berhati-hati merentasi rakan seorganisasi. Pemimpin perlu melihat mereka dengan penuh harapan, keyakinan, percaya keupayaan mereka untuk melaksanakan impian organisasi dan sentiasa mempunyai sikap mendorong kepada subordinat, malah memimpin pengikut dengan memahami hakikat mereka sebagai individu dan bukannya kelompok semata-mata. Dalam proses memimpin ke bawah ini memerlukan ciri kebijaksanaan tinggi pada pemimpin berkenaan.

Minat Untuk Bekerja

Biasanya perkataan minat dikaitkan dengan keseronokan. Keseronokan adalah satu perasaan yang wujud dalam diri seseorang. Perasaan yang wujud ini adalah disebabkan rasa suka, gembira dan bahagia (selesa) dengan sesuatu perkara yang dilakukan. Perasaan ini kan mempengaruhi sikap (rajin atau malas) seterusnya memberikan kesan kepada persekitaran termasuklah manusia sekeliling kita (sama ada suka atau benci pada kita. Contohnya : pengurus yang cemerlang, penyanyi yang berjaya.

Bekerja pula adalah usaha yang dilakukan oleh semua makhluk Allah di muka bumi ini bagi mendapatkan rezeki masing-masing. Bekerja juga adalah satu bentuk sumbangan atau kebajikan kepada masyarakat dan negara. Dengan erti kata lain, bila bekerja dengan penuh minat (seronok) akan menghasilkan rezeki dan membawa sumbangan kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Antara cara mewujudkan keseronokan bekerja (from top to bottom) ialah :

1. Sesi Riadah - Antara sesi riadah yang boleh dilaksanakan ialah "Hari Keluarga". HK seumpama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pekerja untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan lebih bersifat kekeluargaan serta dapat mengeratkan silaturrahim. Pertandingan berbentuk acara dalaman seperti pertandingan bowling contohnya membuatkan staf merasakan keseronokan dan dihargai. Sesi riadah seperti ini perlu dijadikan tradisi supaya pekerja tidak merasa disisihkan dan sentiasa dihargai.

2. Kekerapan bermesyuarat - Dalam mengurus organisasi yang besar kekerapan bermesyuarat dan tempoh masa bermesyuarat juga perlu diberi pertimbangan. Mesyuarat yang dikendalikan tidak semestinya mesyuarat rasmi sahaja. Mesyuarat/perbincangan tidak rasmi (diskusi atau tea talk) juga dapat diadakan bagi mengesan masalah staf bawahan. Mesyuarat yang dikendalikan sehingga 4 hingga 5 jam tidak semestinya berkesan.

3. Dorongan - Staf seperti juga manusia dan seperti dinyatakan dalam teori Maslow sentiasa perlukan penghargaan. Dorongan boleh dilakukan melalui pelbagai cara : pujian, ucapan terima kasih, makan bersama, hadiah peribadi sempena hari jadi, sentiasa mengambil tahu dan lain-lain. Bukanlah 'ganjaran' yang dikejarkan oleh staf tetapi semangat pemimpin menghargai staf itulah yang diinginkan.

4. Dasar Pemimpin - khususnya yang berkaitan dengan kebajikan pekerja. Contoh : sikap toleransi berkaitan perkara melibatkan kesihatan, kesusahan dan sebagainya, kemudahan yang disediakan dan tiada tekanan kerja yang melampau. Apa yang penting ialah produk atau hasil kerja staf dan bukannya penglibatan yang tiada hasil kerja atau sekadar lakonan.

Sunday, November 29, 2009

3 Sebab Manusia Perlu Kreatif

Saya baru habis membaca buku “Bebaskan Kreativiti Anda” tulisan Yew Kam Keong yang diberi oleh seorang rakan. Buku ini banyak mencabar kita untuk memikirkan sesuatu yang tidak kita terfikir. Bagi YKK setiap produk dan proses baru berpunca dari minda manusia. Ciptaan sosial juga berasal daripada minda. Barangan yang berkualiti atau perkhidmatan yang lebih baik akan menyumbang kepada membina kehidupan yang lebih. Menurut Napoleon Hill, semua pencapaian manusia bermula dengan satu idea.
Kita semua dikatakan dilahirkan kreatif. Cuma ianya berbeza mengikut tahap mana kita mampu mengembangkan potensi kreativiti kita. Ada 3 sebab mengapa kita perlu menjadi kreatif.

1. Untuk mencari kebahagian dan kegembiraan
Setiap manusia akan berasa lebih gembira dan bahagia dalam kehidupannya jika kita dapat menggunakan kuasa kreativiti kita. Semakin kita kreatif semakin lengkap diri kita. Semasa zaman kita kanak-kanak, itulah antara tahap kita paling kreatif. Pada tahap itu kita berasa paling bahagia. Bagi kanak-kanak kampung kreativiti bermain menggunakan faktor alam satu ketika dulu merupakan sesuatu yang menyeronokkan/membahagiakan. Contoh bagaimana orang yang berjaya mewujudkan kebahagiaan melalui kreativiti ialah Walt Disney yang berjaya membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada berjuta-juta manusia pada hari ini melalui ciptaannya seperti Mickey Mouse dan Donald Duck dan taman-taman temanya Disneyland dan Disneyworld.

2. Untuk tujuan kesinambungan hidup dan kemajuan

Manusia berjaya meneruskan kesinambungan hidup walaupun sentiasa diancam kepupusan kerana satu sebab iaitu kreativiti. Kita adalah satu-satunya makhluk hidup yang dapat mengubah keadaan sekeliling melalui teknologi. Tanpa kreativiti, tidak mungkin ada teknologi. Kita berjaya maju sejauh ini disebabkan oleh penggunaan kreativiti melalui teknologi. Dalam program televisyen popular McGyver satu ketika dulu, heronya selalu berjaya melepaskan diri daripada keadaan yang bahaya dengan menggunakan daya kreativitinya.. Dia selalu berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan apa sahaja benda yang ada padanya lalu dimanipulasikan secara kreatif.

3. Untuk penghasilan kekayaan

Manusia juga menggunakan kreativiti untuk menghasilkan kekayaan ekonomi. Contoh mudah perisian komputan yang dijual dalam bentuk cakera padat kalau dinilai dari segi kos CD mungkin hanya bernilai RM1 sahaja tetapi perisian yang terdapat didalamnya mungkin bernilai ratusan atau ribuan ringgit. Kos bahan mentah tak penting tetapi yang penting dan mahal ialah kandungan software yang berasal dari kreatviti seseorang. Itulah sebabnya Bill Gates berjaya menjadi manusia yang terkaya di dunia kerana menjual imaginasi perisian microsoftnya. Kebanyakan empayar perniagaan adalah dibina berdasarkan satu konsep kreatif. General Motors (GM) satu ketika dulu menjadi syarikat korporat terbesar dunia kerana memperkenalkan konsep bayaran secara ansuran untuk membeli kereta. Syarikat CNN menjadi rangkaian siaran TV popular kerana memperkenalkan konsep berita 24 jam dan syarikat penghantaran FeedEx mendapat keuntungan dengan memperkenalkan konsep penghantaran semalaman yang inovatif.

Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pernah menyebut, aset terbesar atau paling bernilai bagi sesebuah negara ialahkreativiti penduduknya. Ringkasnya kreativiti walaupun kecil sifatnya mampu memberi penambahbaikan kepada organisasi atau masyakat kita di mana kita berada.

Saturday, November 28, 2009

Bangau oh Bangau

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.
Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul?
Macamana aku nak timbul, Rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput,
Kenapa engkau panjang sangat?
Macamana aku tak panjang,
Kerbau tak makan aku.
Katak oh katak,
Kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil,
Ular nak makan aku.
Ular oh ular,
Mengapa nak makan katak?
Macamana aku tak makan.
Memang makanan aku.


Kenangan saya menerjah ke zaman kanak-kanak semasa bersekolah di tadika KEMAS semasa berumur 6 tahun dulu, apabila anak bongsu saya Amira menyanyikannya di dalam kereta semasa saya mengambilnya pulang dari taska. Inilah antara lagu yang saya dan rakan-rakan seusia nyanyikan di tadika yang hanya menggunakan balai kerja kahwin terbuka daripada kayu dan beratapkan zing di kampung saya, jauh berbeza dengan kelas tadika hari ini yang serba canggih.

Apa yang menarik perhatian saya bukan kelas tadika tetapi lagu “Bangau Oh Bangau” yang sudah menjadi lagu ‘evergreen’ pada tahap kanak-kanak. Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak.

Cikgu saya dulu apabila mengajarkan melodinya disulami dengan cerita tentang binatang. Memang saya tabik dengan guru dahulu yang punya keupayaan tinggi apabila bercerita hingga anak-anak dapat memberi tumpuan sepenuhnya walaupun tanpa alat bantu audio video seperti sekarang. Apakah guru-guru kita hari ini dapat menandingi kreativiti bercerita seperti guru-guru dulu?

Walaupun lagu bangau oh bangau itu lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, apabila kita kaitkannya dengan kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat. Ia sangat relevan dengan tabiat sesetengah orang/masyarakat kita yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat. Tetapi apa yang penting lagu lisan seperti ini dihasilkan dalam masyakat yang sinonim dengan alam pada zaman dahulu – pokok, haiwan dan persekitaran.

Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

Moral daripada kisah berlagu ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan dilakukan secara bersama dalam rakan pasukan.

Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

Dalam masyarakat atau organisasi memang terdapat golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas kita menyalahkan ibu-bapanya. Bila ditanyakan kepada ibu bapa, dikatakan itu semua salah guru yang mengajar anak mereka dan ia akan terus tuding menuding yang ada kalanya tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Masing-masing cuba menegakkan benang basah dengan pelbagai macam helah bela diri masing-masing. Memang satu perkara yang lumrah, memang mudah menyalahkan orang lain daripada kita muhasabah diri sendiri apabila berlaku sesuatu masalah.

Sekiranya budaya menuding jari begini berterusan, sampai bila-bila pun masalah tidak akan selesai. Inilah bahananya apabila kita sering menyalahkan pihak lain. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah antara sifat yang ada dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial di kalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain. Menyalahkan ibu bapa, guru, kerajaan dan sebagainya, itulah yang sering kita dengar. Sedangkan kita tidak sedar 1 jari kita menuding kepada pihak lain, 4 jari lari sebenarnya menuding kepada diri kita sendiri.

Kesimpulannya lagu “bangau oh bangau” ini meminta kita sentiasa mencermin diri untuk melihat permasalahan sebenar dengan rasional dan mengambil tindakan-tindakan konkrit secara kolektif supaya penyelesaian dapat diambil.

Kepimpinan Lestari

Teori kepemimpinan lestari atau sustainable leadership adalah orientasi kepemimpinan yang telah diasaskan oleh Andy Hargreaves and Dean Fink pada tahun 2003. Terdapat Tujuh prinsip kepemimpinan lestari tersebut adalah:
1.Memberi keutamaan kepada aset manusia dan material.
2.Mengagihkan kepemimpinan kepada orang bawahan
3.Memberi keutamaan kepada matlamat jangka panjang
4.Membina kapasiti dan kepelbagaian persekitaran sekolah yang dapat menyumbang kepada
kemajuan sesebuah sekolah.
5.Mengutamakan dan memimpin pembelajaran di sekolah
6.Menitikberatkan faedah dan kemajuan untuk semua pihak di sekolah
7.Mewujudkan pemimpin pelapis

Sebagai rumusannya, pemimpin membina kelestarian dengan pendekatan yang mereka amalkan iaitu membina iklim dan mengutamakan elemen pembelajaran di sekolah; mengagihkan kepemimpinan dan mewujudkan golongan pemimpin pelapis di sekolah; memberi insentif dan ganjaran dalam menghasilkan guru dan pelajar yang bermotivasi dan mempunyai rasa ‘belonging’. Namun, aspek utama yang harus dititikberatkan adalah sistem yang dibina oleh pengetua yang mampu dipraktikkan oleh setiap guru untuk kebaikan bersama seperti kata mereka. “Sustainable leadership certainly needs to become a commitment of all school leaders. If change matter, spread and last, sustainable leadership must also be a fundamental priority of the systems in which leaders do their work.”

Wednesday, November 25, 2009

Menjadi Pendengar Yang Baik

Betul juga kata seseorang 'diam tu lebih baik'. Kadang-kadang apabila kita mendiamkan diri ketika orang lain sedang marah-marah menyebabkan orang berkenaan akan reda kemarahannya. Namun di ketika yang lain pula, jika kita terus mendiamkan diri kita kan terus ditekan, dikecam dan berbagai lagi malah dituduhnya bersalah. Sebenarnya sikap mendiamkan diri kena pada masa tertentu namun tidak sesuai pada ketika yang lain. Sepatutnya kita bukan mendiamkan diri, tetapi menjadi pendengar yang baik.

Menjadi pendengar yang baik adalah segala-galanya bagi memulakan komunikasi yang berkesan dalam keluarga. Cuba perhatikan anak-anak, suami dan jiran di sekeliling anda. Rata-rata ramai yang pandai dan kerap bercakap namun kurang mendengar. Lebih-lebih anak-anak dalam usia meningkat remaja agak susah untuk mendengar arahandaripada ibubapa, kecuali ada cara tentu anak mudah mengikut telinjuk kita

Sebenarnya memang sedikit mereka yang benar-benar menjadi pendengar yang baik. Kajian menunjukkan mereka yang berjaya dalam hidup hampir semuanya merupakan seorang komunikator yang berkesan dan menjadi pendengar yang baik. Malah mereka yang mempunyai kemahiran sosial dan perhubungan awam yang baik terdiri daripada komunikator yang pandai berbicara dan dalam masa yang sama juga menjadi pendengar yang pintar.

Oleh kerana tidak menjadi pendengar yang baik, maka anak-anak sering bermasalah. Mereka lebih suka meluahkan perasaan di kalangan rakan sebaya mereka. Ini disebabkan rakan sebaya lebih memahami dan mendengar segala luahan perasaan berbanding orang yang lebih dewasa. Faktor tidak wujudnya pendengar yang baik juga salah satu penyebab keretakan dan pergaduhan rumah tangga. Lebih-lebih lagi kerana hanya satu pihak sahaja yang menjadi pendengar atau terpaksa mendengar, manakala satu pihak yang lain sering sahaja yang bercakap atau memberi arahan.

Terdapat dua sebab utama kenapa kita mesti mengetahui rahsia untuk menjadi pendengar yang baik. Pertamanya setelah anda sanggup mendengar dengan baik, anda mempelajari apa yang anda tidak ketahui selama ini. Memang benarlah bahawa selalunya kita tidak ketahui kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri kita sendiri. Kita lebih mudah menangkap dan melihat kelemahan orang lain.

Kedua, manusia hanya mengutamakan mereka yang menjadi pendengar yang baik. Lebih-lebih lagi di tempat kerja dan mana-mana organisasi mengutamakan orang yang mudah mendengar arahan, patuh dan bertindak pada arahan. Di rumah pula kita kan lebih sayang dan mudah berbicara dengan anak yang 'suka mendengar cakap' berbanding dengan 'anak yang susah mendengar cakap'.

Mereka yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik terdiri daripada mereka yang tahu bila dia perlu memperkatakan sesuatu, dan bila pula masanya untuk diam dan menjadi pendengar yang baik. Bila waktu diam dan mendengar dan bila pula memberi peluang orang lain bercakap. Oleh itu, mendengar yang baik bermaksud satu proses mencerap dan merakam butiran kata-kata atau ucapan daripada sumber atau si perucap sambil memikirkan apakah yang perlu diberikan perhatian, mana perkara pula yang perlu diketepikan. Juga pendengar yang baik mengutamakan tindakan yang perlu diambil hasil daripada mendengar atau mencerap itu.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk anda menjadi pendengar yang baik:

* Wujudkan suasana yang mesra dalam perbualan atau interaksi.
* Dengar dengan teliti apa yang sedang diperkatakan.
* Berikan perhatian sepenuhnya.
* Berikan 'eye-contact' atau kontak mata.
* Lihat tepat ke dalam anak matanya.
* Anggukan kepala sebagai tanda gerak balas anda.
* Ikuti perbualannya dengan berkata, "ya…ya…aha", gitu".
* Cuba selami perasaan orang yang sedang bercakap dan hayati ceritanya.
* Ubah mimik muka anda seiring dengan perkara yang dipertuturkan. Misalnya, jangan pula sesuatu perkara yang sepatutnya anda terkejut tetapi anda buat tidak tahu pula.
* Elakkan dari mengkritik.
* Jangan menyampuk dan memotong cerita yang belum selesai.
* Susuli dengan soalan-soalan sebagai tanda yang anda memang mendengarnya dengan penuh minat.
* Ulangi apa yang dibicarakan sebagai tanda anda faham atau untuk memastikan apa yang anda fahamkan itu betul.
* Cuba bertindak pada perkara yang difikirkan betul.

Untuk menjadi seorang yang mempunyai kemahiran sosial yang baik, anda perlu mempraktikkan kaedah yang diberi di atas setiap hari sehingga ia mula menjadi tabiat baru anda. Mungkin di peringkat awal kita agak janggal dan canggung melakukannya. Namun lama-kelamaan akan membuah hasil yang di luar jangkaan anda sendiri.

Untuk itu anda perlu juga membuat latihan seperti dalam menjawab telefon di mana kita mesti membalas cakap dengan menjawab, "Ya… eh… aha, " dan sebagainya. Atau gunakan kaedah bercakap sendiri dan menghadap cermin sambil melihat watak dan raut muka anda sendiri seolah-olah anda sedang mendengar. Atau perhatikan mereka yang mempunyai sifat pendengar yang baik ketika mereka berbual atau bersembang.

Jika usaha ini dijalankan secara serius, insya-Allah ia akan mendatangkan hasil. Perhatikan bagaimana anak-anak, dan suami mula mengutamakan anda. Anak-anak mula mahu meluahkan perasaan dan berbincang dalam pelbagai hal yang kadang-kadang bersifat peribadi. Suami atau isteri mula mahu bersembang dan bermesra dan lebih berinteraksi yang diselang seli dengan gelak ketawa dan gurau senda. Rakan-rakan mula menjadikan anda teman karibnya. Orang bawahan anda mula menghormati anda sebagai ketua. Begitulah berkuasanya bila anda mahu menjadi pendengar yang baik. Anda akan mula disenangi dan disegani.


Wanita Ogos 2001, ms 154-155

Steven Covey dan 7 Tabiat Orang Berkesan


Seorang pemikir terkenal, Stephen R. Covey, mengutarakan satu teori mengenai kebolehan manusia. Dalam bukunya The Seven Habits Of Highly Effective People, beliau membentangkan tujuh tabiat yang menjadi amalan orang-orang yang berjaya dalam hidup. Tujuh tabiat yang dimaksudkan itu ialah:

1. Bersikap Proaktif (Be Proactive)
==> Bertindak lebih awal bukan setelah berlaku sesuatu.

2. Bermula Dengan Matlamat (Begin With The End In Mind)
==> Mulakan sesuatu usaha dengan menentukan matlamat dan pastikan matlamat itu tercapai.

3. Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib (Put First Things First)
==> Laksanakan sesuatu mengikut peraturan dan keutamaan.

4. Fikirkan Sama-Sama Menang (Think Win-Win)
==> Tentukan sama-sama mendapat faedah atau keuntungan

5. Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita (First Seek To Understand Then To Be Understood)
==> Cari jalan memahami orang lain terlebih dahulu sebelum orang memahami kita; jangan mementingkan diri sendiri.

6. Gemblengkan Tenaga (Synergize)
==> Jalin kerjasama dan kukuhkan ikatan.

7. "Tajamkan Gergaji" (Sharpen The Saw)
==> Perbaharui tekad dan buat perubahan diri

Tujuh Tabiat Berkesan ini kemudian dipecahkan pula kepada 3 bahagian bagi menentukan kejayaan atau mencari kemenangan, iaitu:-

KEMENANGAN PERIBADI
• Bersikap Proaktif
• Bermula Dengan Matlamat
• Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib

KEMENANGAN BERSAMA
• Fikirkan Sama-Sama Menang
• Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita
• Gemblengkan Tenaga

PEMBAHARUAN DIRI
• Baharui Tekad Dan Buat Perubahan Diri

Untuk membaca kandungan buku ini dan membaca buku terbaru penulis mengenai tabiat ke 8 boleh layari https://www.stephencovey.com/7habits/7habits.php

Tuesday, November 24, 2009

Kisah Jam


Alkisah, Seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya.

“Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?”

“Ha?,” kata jam terperanjat,

“Saya tak sanggup?” Tukang jam pun terdiam….

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?”

“ha…lapan puluh enam ribu, empat ratus kali? Dengan jarum yang kecil seperti ini?” jawab jam penuh ragu.

Tukang jam pun terdiam….

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” “Apaa..Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali?”

“Banyak sangat tu…” respon jam ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

Tukang jam pun terdiam…. Lalu tukang jam itu dengan penuh kesabaran kemudian bercakap kepada si jam.

“Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap saat?”

“Haaaa, kalau begitu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh yakin.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap saat. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan itu juga bererti ia telah berdetik sebanyak 86,400 kali dalam sehari..dan 3,600 kali dalam satu jam..dan tentu saja 31,104.000 kali selama setahun!!!

Moral daripada cerita ini adalah……

Ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tanggungjawab yang terasa begitu berat. Namun sebenarnya jika kita sudah menjalankannya, ternyata kita mampu, bahkan sesuatu yang mungkin kita anggap tidak mampu laksanakannya adalah mudah untuk dibuat. Jangan berkata “tidak” sebelum anda mencubanya….

Teamwork Melahirkan Sinergi


Sudah agak lama saya tidak menulis atas faktor kesibukan khususnya pada penghujung sesi persekolahan dan tahun yang menuntut pelbagai macam komitmen. Beberapa hari yang lalu semasa memandu ke tempat kerja saya mendengar pelbagai isu dan karenah rakan sekerja yang diutarakan oleh pendengar. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah tentang teamwork.

Hari ini, konsep teamwork atau bekerja dalam pasukan amat merupakan antara elemen penting dalam pengurusan untuk menjamin kecemerlangan dan kejayaan. Malah ianya sudah menjadi antara aspek yang dijadikan kajian/penyelidikan oleh kalangan pelajar pengurusan di institusi pengajian tinggi.

Teamwork bukanlah perkara baru. Dalam Islam sendiri ianya telah sejak awal dahulu diberikan perhatian khususnya dalam menegakkan kalimat Tuhan. Malah dalam Surah as-Saf ayat 4 bermaksud ,"Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan di jalanNya dilakukan (secara tersusun) seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan bangunan yang kukuh."

Amalan solat fardhu 5 waktu yang kita lakukan jelas merupakan manifestasi kepada konsep teamwork yang paling mudah dijadikan contoh. Semasa ahli-ahli jemaah berdiri dan menghadapkan wajah ke arah kiblat di samping merapatkan saf untuk sembahyang menunjukkan peri pentingnya kerjasama, perpaduan dan disiplin dalam pasukan. Solat berjemaah ini juga mengingatkan kita tentang konsep persamaan dalam Islam. Semasa sembahyang tidak ada lagi perbezaan darjat, pangkat, ego, status dan sebagainyanya kerana kita sujud pada yang Satu iaitu Allah. Malah apabila imam membuat kesilapan boleh ditegur seperti mana kita boleh menegur ketua sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran polisi/dasar yang boleh menjejaskan prganisasi.

Sebagai manusia kita selalu menganggap diri kita hebat tetapi kita lupa bahawa kita juga boleh menjadikan budaya makhluk Allah yang lain walaupun mungkin kecil seperti semut misalnya sebagai teladan. Semut adalah antara 30 juta spesis serangga yang ada di dunia ini. Dijangkakan ada 10 juta billion semut di dunia ini yang mengatasi haiwan lain. Bagaimanapun semut sentiasa mengamalkan konsep bekerja dalam satu pasukan yang cukup hebat. Apabila semut melalui sesebuah kawasan lapang, tentera semut akan pergi ke hadapan bagi menjaga keselamatan semut-semut lain. Apabila melalui parit, mereka akan membina jambatan semut dengan berpaut antara satu sama lain hingga keseberang parit. Semut-semut lain akan meminjak badan rakan-rakan mereka sehinggalah semua sebut dapat menyeberangi parit berkenaan

Dalam konteks berorganisasi, apabila wujud sikap bekerja dalam pasukan dengan pengorbanan sebegini rupa, manusia pasti dapat menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Ianya pasti mampu meledakkan perubahan yang hebat dalam mana-mana komuniti organisasi di mana kita berada.

Konsep teamwork yang mengandungi nilai tolong menolong dan bekerjasama ini akhirnya akan melahirkan sinergi. Sinergi yang berasal dari bahasa Yunani (Greek) sunergi bermaksud tolong menolong (cooperation) dan sunergos bermaksud bekerjasama (working together). Dalam bahasa yang mudah sinergi ini bermaksud 1+1=3 seperti yang selalu diperkatakan oleh tokoh-tokoh barat. Ianya bermula dengan wujudnya konsep teamwork ini. Malam dalam Islam formula sinergi boleh disebut sebagai 1+1=3 + bantuan Tuhan.Contohnya dalam peperangan Badar, umat islam yang berjumlah 313 orang berperang dengan 1000 orang tentera musuh. Allah menyatakan dalam surah Ali Imran ayat 123 bermaksud,"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam perang badar sedangkan kamu ketika itu orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya."

Saturday, November 21, 2009

SPM dah Tiba - Selamat Berjuang


Selamat menghadapi peperiksaan SPM kepada semua anak didik. Saya doakan anda semua akan dapat menjawab yang terbaik dan seterusnya memperolehi pencapaian cemerlang seperti yang diimpikan.

Dipetik dari sumber : http://kaunselingredza.blogspot.com/

MALAM SEBELUM PEPERIKSAAN
~Menyemak jadual peperiksaan untuk memastikan mata pelajaran pada hari esoknya.
~Sediakan dan menyemak keperluan peperiksaan berfungsi dengan baik seperti pen, pensil 2B, pemadam, pembaris, pengasah, dan sebagainya.
~Membuat ulangkaji terakhir (nota – nota penting sahaja).
~Menyimpan kad pengenalan dan slip kemasukan peperiksaan dengan baik.
~Menyemak jam tangan berfungsi dengan baik dan tepat.
~Menyediakan pakaian seragam sekolah yang sesuai untuk peperiksaan dan memastikan ianya selesa dan masih elok dipakai.
~Maafkan semua orang dan berdoa sebelum tidur. Minta ibu bapa/ keluarga kejutkan untuk bangun awal.
~Tidur awal dalam keadaan tenang dan memasang jam loceng sebelum tidur.

PAGI HARI PEPERIKSAAN
~Bangun awal dan melakukan aktiviti kerohanian (solat, berdoa dan sebagainya).
~Ceria, tenang dan berfikiran positif tentang peperiksaan.
~Memohon restu (doa) daripada ibu bapa.
~Datang ke sekolah lebih awal.
~Masuk ke dewan peperiksaan dengan tenang, yakin dan berdoa.
~Duduk di dalam dewan peperiksaan dengan tenang sambil menunggu arahan pengawas peperiksaan. Banyakkan berdoa, berzikir dan berselawat. Mulakan menjawab soalan dengan lafaz Bismillah dan doa.

MENJAWAB SOALAN OBJEKTIF
~Mengambil tahu bilangan soalan yang ada dan jumlah masa yang peruntukkan.
~Membaca soalan sekurang-kurangnya dua kali sebelum menjawab.
~Tentukan ruang jawapan diisi dengan betul.
~Tinggalkan, bulatkan soalan yang tidak yakin dan beredar ke soalan seterusnya.
~Semak jawapan sama ada sudah ditandakan dengan betul sama dengan pilihan jawapan di kertas soalan.
~Bagi soalan yang tidak yakin, tinggalkan jawapan yang tidak munasabah, kemudian yang sederhana munasabah, maka tinggallah jawapan yang diyakini betul sahaja.
~Padamkan dengan bersih sehingga tidak ada kesan yang tertinggal jika ingin membuat perubahan jawapan.
~Tanda pada ruang jawapan dibuat dengan jelas dan nyata.
~Semak semula pengisian nama, no. kad pengenalan, angka giliran dan kira bilangan soalan yang perlu dijawab sebelum dikutip oleh pengawas peperiksaan.

MENJAWAB SOALAN SUBJEKTIF
~Semak bilangan soalan yang perlu dijawab dan berapa markah yang diperuntukkan setiap soalan.
~Membaca arahan soalan sebelum menjawab dan ingatkannya semasa menjawab. ~Baca kesemua soalan sepintas lalu untuk mendapat gambaran keseluruhannya.
~Tandakan semua soalan-soalan yang diyakini boleh dijawab.
~Semak semua soalan yang ditandakan dan pilih jumlah soalan yang diyakini dapat dijawab dengan baik.
~Membaca dan memahami kehendak soalan sebelum mula menjawab.
~Pembahagian masa untuk setiap soalan.
~Menyediakan rangka jawapan sebelum menjawab soalan.
~Tenangkan fikiran semasa menjawab.
~Memastikan tulisan dapat dibaca oleh pemeriksa dengan senang.
~Semak semula pengisian no. kad pengenalan, angka giliran dan kira bilangan soalan yang perlu dijawab dan ikat dengan kuat dan kemas.

ADAB-ADAB MASUK KE DALAM DEWAN PEPERIKSAAN
Dipetik dari sumber : http://ibnunaeem.blogspot.com

1) Tidak berbual-bual atau bergurau-gurau dengan rakan lain.
2) Tidak membincangkan tentang peperiksaan yang telah diduduki sebelum itu.
3) Melangkah masuk ke dalam dewan dengan kaki kanan terlebih dahulu.
4) Ketika melangkah masuk bacalah :

5) Banyakkan berselawat.
6) Sentiasa berfikiran positif. Katakan, “Insya Allah, aku pasti boleh buat”.
7) Hindarkan daripada perasaan riya’, takabbur dan meninggi diri kerana merasa kitalah yang paling pandai dan boleh menjawab semua soalan yang diberikan.
8) Doakan kejayaan untuk rakan-rakan lain. Paling mudah, hadiahkan bacaan surah al-Fatihah untuk rakan-rakan lain agar semuanya beroleh kejayaan.

Sunday, November 15, 2009

Prihatin Kita Kepada Mangsa Gempa Bumi Padang


Sufa'at Tumin (enam dari kiri) bersama sebahagian pegawai pendidikan daerah, wakil PKPSM dan MGB memegang replika cek Bantuan Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi Padang di Pusat Kokurikulum Tasek Utara, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 5 Nov. - Sebanyak RM115,225.45 berjaya dikumpul dalam tempoh dua minggu oleh semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD, PKPSM dan MGB di negeri ini untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi Padang.

PPD Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat, PKPSM Johor dan MGB Johor antara PPD dan pertubuhan yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, walaupun pengumpulan dana diuruskan oleh PPD, kebanyakan sumbangan diperoleh daripada para pelajar.

Katanya, sumbangan yang paling banyak dikumpul adalah daripada PPD Pasir Gudang sebanyak RM20,360.05 yang bermula pada 12 hingga 26 Oktober lalu.

Menurutnya, jumlah kutipan yang diperoleh tidak menjadi persoalan, kerana yang penting adalah semangat ingin membantu di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

"Tujuan kita buat tabung ini bukan hendak menunjuk yang kita berjaya kumpul banyak wang. Sebaliknya bagi membuktikan yang para pelajar mempunyai semangat sedia membantu tanpa mengira bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pelajaran Johor di Pusat Kokurikulum Tasek Utara di sini hari ini.

Menurut Sufa'at, pihaknya telah menghantar wakil ke Padang bagi meninjau bantuan yang boleh disalurkan untuk membantu penduduk di sana.

"Kalau boleh kami mahu salurkan dana itu untuk pembangunan sekolah di sana kerana wang yang diterima pun daripada pelajar. Tidak kiralah sama ada untuk pembangunan sekolah atau membeli peralatan sekolah.

"Buat masa sekarang kami sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara untuk pergi ke sana bagi menyampaikan sendiri sumbangan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kutipan sebegitu akan diteruskan mengikut keadaan semasa kerana secara tidak langsung ia dapat mendidik para pelajar agar bersatu.

Utusan Malaysia Online: 6 November 2009

Monday, September 21, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1430H


Dalam kesempatan hari raya ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua saudara mara, sahabat handai, rakan taulan jauh dan dekat, maaf zahir dan batin. Mudah-mudahan lebaran kali ini memberikan seribu kerahmatan dan keberkatan kepada kita semua.

Saturday, September 05, 2009

Pengguna dan Hak-Hak Pengguna


"Pengguna ialah setiap orang yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari pasaran untuk kegunaan dirinya dan keluarganya". Secara mudah kita lihat pengguna dan konsep kepenggunaan ini dalam konteks yang paling mikro iaitu diri kita sendiri. Kita sebagai individu adalah pengguna tanpa mengira siapa sebenarnya kedudukan kita dalam masyarakat sekeliling. Sebahagian besar dari apa yang kita gunakan adalah hasil usaha orang lain sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Walaupun barangan atau perkhidmatan itu kita keluarkan sendiri atau kita bayar untuk menikmatinya tidak dinafikan bahawa kita adalah pengguna. Sebagai pengguna yang terpaksa membayar dengan jumlah wang atau tenaga usaha dengan kadar tertentu kita memang mengharapkan bahawa faedah yang kita peroleh dari transaksi berkenaan adalah faedah yang paling maksimum. Kita juga merasa bahawa kita perlu dilayan seperti raja dari segi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada kita kerana kitalah yang berhak menentukan sama ada kita akan membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan dan dari siapa kita akan mendapatkannya.

Mengikut Peter Drucker, seorang penulis terkemuka dalam bidang pengurusan, kepenggunaan bermakna yang pengguna melihat pengeluar-pengeluar barangan sebagai mereka yang berminat tetapi tidak memahami hakikat sebenar keperluan pengguna. Beliau menganggap pengeluar-pengeluar barangan sebagai mereka yang tidak berusaha mengambil tahu, tidak memahami dunia hidup pengguna dan mengharap pengguna membuat penentuan yang mana pengguna sendiri tidak bersedia atau tidak dapat melakukannya.

Sebagai pengguna kita memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara kerana tujuan pengeluaran barangan atau perkhidmatan hanyalah satu iaitu pengguna. Pengeluar atau penjual memerlukan maklumat-maklumat tentang apakah dorongan-dorongan yang membuat pengguna memilih dan membeli barangan atau perkhidmatan tertentu. Pengguna yang dimaksudkan di sini adalah pengguna akhir atau "ultimate consumer" kerana di pasaran terdapatjuga pembeli yang membeli barangan secara borong/pukal dengan tujuan untuk menjual barangan itu semula atau pembeli bahan mentah yang memerlukan pemerosesan sebelum dijual kepada pengguna akhir.

Kepuasan keperluan adalah asas kepada pembelian barang barang dan perkhidmatan di pasaran. Keperluan ini terbahagi kepada dua iaitu keperluan primer dan keperluan sekunder. Keperluan primer adalah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang asasi. Manakala keperluan sekunder pula adalah berkait dengan personaliti dan perlakuan sosial seseorang misalnya pembelian barangan atau perkhidmatan yang bertujuan menonjolkan sesuatu imej atau status kepada orang lain dengan tujuan mendapatkan pengiktirafan sosial. Kadang kala dorongan terhadap keperluan berbentuk sekunder menjadi begitu penting kepada pengguna dan mengatasi keperluan primer.

Kesedaran pengguna terhadap hak-hak dan kewajipan mereka sebagai pengguna pada hakikatnya adalah merupakan masalah asas kepada pengguna. Selagi belum timbul kesedaran di kalangan pengguna terhadap peranan dan tanggungjawab mereka, selagi itulah usaha-usaha pergerakan pengguna dan kerajaan untuk melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna serta usaha-usaha kerajaan untuk membendung inflasi tidak dapat mencapai matlamatnya dengan berkesan. Masalah yang dihadapi oleh pengguna adalah terlalu banyak. Walau bagaimanapun, masalah-masalah yang dihadapi adalah bersabit dari usaha pengguna untuk mendapatkan hak-hak mereka sebagai pengguna yang berpunca kegagalan sistem pasaran dan institusi-institusi di dalamnya memberikan segala hak yang sepatutnya diperolehi pengguna. Di samping itu pengguna-pengguna sendiri adalah kurang peka kepada hak-hak mereka yang disediakan oleh undang-undang dan peraturan yang diwujudkan untuk melindungi mereka. Tidak ramai di antara pengguna di negara ini yang memberi perhatian terhadap hak-hak mereka yang diperuntukkan dalam undang-undang sebelum pengguna membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan di pasaran.

Kelemahan-kelemahan yang ada pada pengguna inilah yang menyebabkan para pengguna dengan mudah menjadi mangsa kepada peniaga-peniaga yang kurang bertanggungjawab. Banyak insiden-insiden yang telah berlaku yang telah menjejaskan hak dan kepentingan pengguna yang antara lainnya termasuklah:
(a) kegiatan menyorok barang-barang dengan tujuan menaikkan harga;
(b) tiada tanda harga pada barangan yang dijual yang sepatutnya mempunyai tanda harga;
(c) pelabelan barangan yang tidak lengkap;
(d) sukatan atau timbangan yang tidak mencukupi seperti yang didakwa;
(e) barang palsu; dan halal dan haram dan sebagainya.

Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna ini telah diterima secara universal. Selain daripada mengiktiraf 15 Mac sebagai Hari Hak Hak Pengguna Sedunia, aspek-aspek hak asasi pengguna ini diambil kira apabila negara menggubal, meminda atau mengkaji semula sesuatu undang-undang yang ada hubung kait dengan pengguna.
Dalam tahun 1962, J.F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, telah mengenal pasti dan mengisytiharkan empat hak asasi pengguna seperti berikut:
(a) Hak Untuk Mendapat Keselamatan;
(b) Hak Untuk Mendapat Maklumat;
(c) Hak Untuk Membuat Pilihan; dan
(d) Hak Untuk Menyuarakan Pendapat.

Kemudiannya, Consumers International, di samping mengiktiraf hak-hak asasi pengguna yang telah diisytiharkan oleh JR Kennedy itu, telah mengenal pasti empat lagi hak-hak asasi pengguna iaitu:
(a) Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas;
(b) Hak Untuk Mendapat Ganti rugi;
(c) Hak Untuk Mendapat Pendidikan Pengguna; dan
(d) Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat dan Selamat.

Hak Untuk Mendapat Keselamatan
Para pengguna adalah berhak dilindungi dari bahaya yang mengancam kesihatan dan keselamatan jiwa semasa menggunakan barangan dan perkhidmatan.

Hak Untuk Mendapat Maklumat

Pengguna adalah berhak mendapatkan maklumat maklumat Yang jelas mengenai kegunaan bahan-bahan Yang terkandung dan cara perniagaan barang atau perkhidmatan.

Hak Untuk Membuat Pilihan
Pengguna adalah berhak diberi peluang memilih barang-barang atau perkhidmatan pada harga Yang berpatutan dan mutu Yang memuaskan setiap kali pengguna membeli barangan atau perkhidmatan, maka ia adalah mengikat kontrak dengan penjualnya. Dalam hal ini tanggungjawab pengguna hanyalah perlu memilih barangan atau perkhidmatan Yang diingini dan membayar Yang ditetapkan oleh penjual untuk mendapatkannya.

Hak Untuk Menyuarakan Pendapat
Pengguna adalah berhak menyuarakan pendapat apabila tidak berpuas hati terhadap barangan atau perkhidmatan Yang diperoleh iaitu tidak mendapat layanan Yang sewajarnya. Apabila pengguna membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan bererti pengguna dan penjual telah mengikat sesuatu kontrak. Mengikut kontrak tersebut barang Yang dibeli mestilah sempurna untuk kegunaannya atau seperti Yang dinyatakan oleh penjual.

Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas
Pengguna adalah berhak kepada barangan dan perkhidmatan asas kehidupan seperti makanan, pakaian, perumahan, kesihatan dan lain-lain. Ini bermakna bahawa sebagai seorang pengguna kita adalah berhak kepada bekalan air Yang bersih dan perkhidmatan kesihatan Yang sempurna.

Hak Untuk Mendapat Gantirugi
Pengguna adalah berhak mendapat gantirugi disebabkan Man yang mengelirukan atau barang-barang yang bermutu rendah atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Hak Untuk Mendapat Pendidikan Penqquna

Pengguna adalah berhak dan bertanggungjawab mendapatkan pendidikan pengguna supaya boleh bertindak sebagai pengguna yang baik. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh pihak berkuasa, pertubuhan-pertubuhan pengguna dan pengeluar barang-barang dan perkhidmatan atau para penjual yang menjadi agen mereka.

Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat Dan Selamat

Pengguna adalah berhak untuk mendapatkan alam sekitar yang bersih dan sihat yang boleh memperbaiki mutu kehidupannya.
Ini menunjukkan bahawa hak pengguna bukan sahaja terbatas kepada proses jual beli, tetapi merangkumi keadilan sosial dan ekonomi, pendidikan, alam sekitar serta penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi. Namun begitu kebanyakan para pengguna masih lagi tidak menyedari dan memahami sepenuhnya hak-hak dan tanggungjawabnya sebagai pengguna. Keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh sistem penyebaran maklumat mengenainya yang amat terbatas tetapi juga sikap acuh tak acuh para pengguna sendiri.

Kebajikan pengguna (hak-hak pengguna) akan dapat dipertahankan dengan cemerlang dalam jangka masa panjang melalui pendidikan. Semakin tinggi standard pendidikan kepenggunaan di kalangan pengguna semakin tinggilah kesedaran dan keupayaan pengguna menilai secara lebih tepat ke atas faedah yang boleh mereka perolehi dari pembelian ke atas sesuatu barangan atau perkhidmatan serta berupaya menuntut haknya sebagai pembeli mengikut lunas-lunas keadilan dan undang-undang. Pengguna yang peka dan mempunyai pengetahuan yang memadai dan pergerakan pengguna yang sihat akan menyediakan stimulus yang berharga kepada peniaga untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan yang benar-benar dikehendaki pada masa, tempat dan harga yang sesuai.

Sunday, August 16, 2009

Golf is easy

video

Saturday, August 15, 2009

Angan-Angan dan Merealisasikannya


Hari ini saya ingin menulis tentang angan-angan. Idea ini saya peroleh apabila berbual dengan rakan lama yang katanya suka “berangan”. Ini mengingatkan saya tentang artikel yang pernah saya baca satu ketika dulu yang saya sendiri pun dah tak ingat nama majalah berkenaan.

Sudah 105 tahun sejak pertama kali kapal terbang pertama ciptaan pasangan kembar Orville dan Wilbur Wright berlegar di ruang angkasa. Sebelum tarikh keramat tersebut, siapa sangka manusia mampu terbang bebas di angkasa raya persis kawanan burung di langit biru. Namun sedarkah kita pencapaian besar dalam sejarah teknologi dunia ini bertitik tolak dari angan-angan pasangan kembar tersebut ketika dihadiahkan permainan berbentuk helikopter oleh bapa mereka ketika hanya berusia 2 tahun? Dan kapal terbang hanyalah salah satu contoh dari ribuan malah jutaan ciptaan hebat alaf ini yang hanya bermula dengan secebis angan-angan. Lantas, tiada suatu apa pun yang sepatutnya menghalang kita untuk berangan-angan mengapai sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

Satu ketika dulu semasa di tingkatan 4, apabila saya berpeluang mengikuti lawatan ke UKM saya memasang angan-angan “suatu ketika nanti pastinya aku akan menjejakkan kaki ke tempat ini – belajar di sini”. Itulah angan-angan saya semasa duduk mendengar taklimat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) pada tahun 1981. Rupa-rupanya apa yang saya selalu cakapkan atau yang saya bayangkan sebenarnya mempunyai kesan psikologi yang mendalam dalam diri saya. Atas usaha saya akhirnya angan-angan saya menjadi realiti apabila berjaya menjejakkan kaki ke universiti berkenaan 3 tahun kemudian.

Dari situ saya sedar pentingnya kita mempunyai angan-angan. Tanpa angan-angan, mungkin kita akan berjaya dalam satu jangka yang pendek tetapi untuk satu jangka masa yang panjang nanti kita mungkin hilang arah. Tanpa angan-angan, perancangan jangka panjang tidak dapat dibuat seperti mana kejayaan pasangan kembar Orville dan Wilbur Wright. Betul juga, kalau tiada gambaran kejayaan macam mana yang ingin dicapai bagaimana mahu membuat perancangan untuk ke arah tersebut.

Hidup tanpa angan-angan adalah umpama kapal tanpa layar. Angan-angan tanpa perancangan umpama kapal dengan layar tetapi tanpa nakhoda. Hilang di tengah lautan, hilang arah tuju. Dengan berimiginasi tentang gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga sebenarnya akan sentiasa membakar semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia sebenarnya dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Oleh itu penuhilah fikiran anda dengan gambaran kejayaan anda di masa hadapan. Insyallah ianya bakal menjadi kenyataan. Cuma yang menentukannya sama ada dalam tempoh yang singkat atau panjang.

Teringat pula saya kepada kenyataan Dr Shukri (Pakar Motivasi) dalam ceramahnya semasa Seminar PKPSM yang saya hadiri bulan lalu di Hotel Paragon Johor Baru iaitu, “Jika ingin berjaya kita mesti bayangkan dengan jelas dalam minda apa yang kita inginkan. Dan sepatutnya kita perlu bayangkan untuk satu jangka waktu yang panjang. Maksudnya kita senaraikan apa yang kita hendak capai akan datang, dalam lima tahun atau dalam sepuluh tahun.” Itu jugalah saya saya katakan kepada anak-anak murid saya yang bakal menghadapi Peperiksaan Percubaan PMR pagi tadi dalam perjumpaan khas dengan saya iaitu “Kalau hendak dapat 9A dalam PMR, bayangkan kenapa kita perlu dapat 9A tersebut”

Dalam konteks kerja pula, apa salahnya kita meletakkan angan-angan untuk menjadi pekerja terbaik mengikut bidang tugas masing-masing. Dari angan-angan kemudiannya kita boleh terjemahkan dalam bentuk perancangan dan pelaksanaan kerja yang sepatutnya dan akhirnya kita mampu jadikan angan-angan itu realiti.

Dalam cerita-cerita klasik selalu juga dipaparkan bagaimana pemuda miskin yang berangan-angan mahu memperisterikan puteri raja yang cantik akhirnya berjaya merealisasikan impian itu walaupun menghadapi pelbagai macam cabaran dan rintangan. Bagi anak-anak muda yang sedang dalam percintaan juga mungkin bermula dengan angan-angan untuk mendapatkan gadis idaman masing-masing sebelum benar-benar memperoleh impian mereka.

Ya, memang tidak ada yang mustahil untuk dicapai. Sebagaimana tiada siapa yang terfikir ratusan tahun dahulu bahawa manusia akan mampu terbang bebas di angkasa menaiki jentera besar lagi berat bernama kapal terbang.

Benar, bukan semua angan-angan akan mencerna kejayaan, namun percayalah setiap pencapaian hebat dalam ketamadunan manusia bermula dengan angan-angan. Walau bagaimanapun, angan-angan sahaja tidak akan mampu membawa kita ke mana-mana. Apa yang lebih penting ialah usaha yang tidak mengenal putus asa serta komitmen dan disiplin demi mengejar angan-angan tersebut. Mungkin anda masih ada tidak mengetahui bahawa pasangan kembar Wright tidak berkahwin sehingga ke akhir hayat mereka kerana terlalu sibuk dan bersungguh-sungguh merealisasikan harapan untuk membangunkan teknologi penerbangan demi kemaslahatan manusia sejagat!

Akhirnya teringat juga saya kepada pesanan Dato’ Tony Fernades (CEO Air Asia) dalam rancangan Nescafe Kickstart yang pernah saya tonton dulu, katanya, “dream high.. If you fall, you still can reach the clouds”. Oleh itu tidak salah kalau kita “berangan” kerana daripada angan-angan semasa beranganlah kita mampu mencetuskan sesuatu yang hebat untuk diri kita. Yang penting kita tidak berangan seperti Mat Jenin...................

Thursday, August 13, 2009

6 Rahsia Perubahan Fullan

Menurut Fullan (2005), terdapat enam rahsia bagaimana sesuatu perubahan dapat dijana dan dilestarikan. Rahsia tersebut terkandung dalam enam tindakan yang berikut:
1. Love your employees (sayangi pekerja anda)
2. Connect peers with purpose (bina hubungan sesama rakan sekerja berdasarkan satu tujuan yang sama)
3. Prevail capacity building (serlahkan pembinaan kapasiti individu)
4. Learning while doing the work (belajar sambil membuat kerja)
5. Practice transparency rules (amalkan ketelusan)
6. Stimulate systems learn (rangsangkan system yang menggalakkan pembelajaran)

Love your employees
Bagi rahsia yang pertama, seseorang perlu memberi perhatian yang wajar terhadap pekerja dan mengamalkan sikap menyayangi mereka. Amalan sebegini akan meningkatkan tahap komitmen ahli organisasi di bawah jagaan kita. Dalam hubungan ini, Fullan (2005) mengingatkan kita bahawa:
“If you build your organisation by focusing on your customers/clients without making the same careful commitment to your employees, you won’t succeed for long”
(Sekiranya anda membina organisasi dengan memberi fokus terhadap pengguna/ klien tanpa memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pekerja anda, kejayaan yang anda capai tidak akan bertahan lama)

Connect peers with purpose
Bagi rahsia yang kedua pula, seseorang pemimpin itu perlu memastikan bahawa jalinan hubungan sesama rakan sekerja yang terbina dalam organisasi adalah berdasarkan satu tujuan yang sama iaitu untuk mencapai matlamat organisasi. Fullan (2005) mencadangkan bahawa:
“If you want large-scale reform, leaders must embed strategies that foster continuous and purposeful peer interaction and learning in relation to results.”
(Sekiranya anda mahukan perubahan dalam skala yang besar, pemimpinnya mesti mengambil pendekatan strategi yang dapat menggalakkan pembelajaran serta interaksi yang bermakna dan berterusan di kalangan rakan sekerja)

Prevail capacity building
Bagi rahsia yang ketiga, seseorang pemimpin perlu menyerlahkan pembinaan kapasiti setiap individu yang menjadi ahli dalam organisasi. Ia merupakan satu pelaburan yang dapat memberi pulangan yang besar dalam bentuk perubahan ke arah penambahbaikan yang signifikan. Dalam hubungan ini, Fullan (2005) telah menyatakan:“…leaders invest in the development of individuals to accomplish significant improvements…Bullying backfires when it comes to complex change…instead combine transparency and peer interaction.
(Pemimpin melabur dalam aspek pembangunan insan untuk mendapatkan perubahan dalam bentuk penambahbaikan… Pendekatan membuli akan memberi tindak balas yang negatif terutama yang melibatkan perubahan yang kompleks… oleh itu, adalah lebih baik untuk membina jalinan interaksi sesama rakan sekerja dalam suasana yang telus).


Learning while doing the work

Bagi rahsia yang keempat, pemimpin perlu memastikan pembelajaran berlaku apabila ahli-ahli organisasi melaksanakan sesuatu tugas/ kerja. Kedua-dua aspek pembelajaran dan kerja perlu berjalan seiring seperti irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Berdasarkan penelitian, Fullan (2005) mendapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara dalam aspek pembelajaran antara sebuah organisasi yang berjaya berbanding organisasi yang lain. Menurut beliau: “…there is far too little learning while doing the work…effective organisations see working and learning to work better as one and the same.
(Hanya sedikit pelajaran yang diperolehi semasa seseorang itu melaksanakan sesuatu tugas/ kerja… Organisasi yang berkesan melihat kerja dan belajar untuk bekerja dengan lebih baik sebagai satu entiti yang sama dan tidak terpisah)

Practice transparency rules
Amalan ketelusan merupakan rahsia ke lima dalam Six Secrets of Change. Pemimpin dicadangkan perlu mengamalkan sikap yang telus secara consistent dan berterusan dengan jelas. Sesuatu keputusan yang dibuat dan proses untuk membuatnya perlu telus. Amalan sebegini akan meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan warga organisasi terhadap pihak pembuat keputusan. Natijahnya, suasana dan persekitaran kerja akan lebih positif tanpa kehadiran sikap dengki-mendengki dan irihati di kalangan pekerja kerana tidak ada elemen pilih kasih atau favoritism dalam proses membuat keputusan tersebut. Dalam hubungan ini, Fullan (2005) juga menyatakan bahawa: “When transparency is consistently evident, it creates an aura of “positive pressure” i.e. experienced as fair, reasonable, and actionable in that it points to solutions… “

Stimulate systems learn

Pengwujudan satu system yang menggalakkan pembelajaran merupakan rahsia ke enam dalam Six Secrets of Change. Pemimpin perlu memastikan bahawa system yang digunakan dalam organisasi dapat menggalakkan pembelajaran di kalangan ahli organisasi. Pengetahuan dan komitmen merupakan dua daya pendorong yang kuat dalam membuat perubahan. Oleh itu Fullan (2005) telah mencadangkan agar aspek pembelajaran dan motivasi pekerja dipupuk dan dibugarkan secara berterusan.

EMOTIONAL INTELLIGENCE (EI) DALAM PENGURUSAN

Dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang terdapat dalam sesebuah organisasi secara lebih berkesan, aspek Emotional Intelligence (EI) perlu juga diberi pertimbangan yang sewajarnya. Ini kerana penggunaan Emotional Intelligence (EI) dalam amalan pengurusan dapat membantu meningkatkan perkembangan peribadi seseorang. Dalam konteks ini, Peter dan John (1990) menyatakan: “Emotional Intelligence (EI) is the ability to perceive emotion, integrate emotion to facilitate thought, understand emotions and to regulate emotions to promote personal growth.”

Dengan memahami dan mengurus emosi dengan berkesan, pelbagai kekusutan dalam situasi kerja seperti masalah stres, konflik dan komplikasi perhubungan dapat ditangani. Malah lebih jauh dari itu, emosi boleh digunakan untuk membakar semangat, meningkatkan motivasi dan merapatkan hubungan silaturrahim ke arah mencapai sasaran/matlamat organisasi. Justeru itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu bersikap proaktif untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan amalan Emotional Intelligence (EI) dalam mengurus organisasi pendidikan masing-masing.

Pendekatan pengurusan menggunakan Emotional Intelligence (EI) ini adalah lebih bersifat humanistic dan memberi fokus kepada aspek perasaan dan hati warga organisasi. Oleh itu, pelbagai nilai murni seperti caring (penyayang), empati, hormat-menghormati, berhemah tinggi, toleransi, keramahan, kecindan dan pelbagai nilai yang positif digunakan secara meluas dalam perhubungan dan komunikasi.

Oleh yang demikian, pendekatan pengurusan menggunakan Emotional Intelligence (EI) ini adalah lebih cenderung kepada aspek kepimpinan berbanding aspek pengurusan atau pentadbiran. Berikut adalah fokus pendekatan pengurusan menggunakan Emotional Intelligence (EI) berbanding pengurusan biasa:

1. Memberi fokus kepada modal insan berbanding proses
2. Mengambil berat terhadap perasaan manusia berbanding fakta (facts)
3. Mengambil berat terhadap hati (heart) berbanding pemikiran/ idea (Head)
4. Memberi penumpuan kepada komitmen berbanding kawalan (control)
5. Memberi fokus terhadap nilai berbanding peraturan
6. Menggunakan Persuasion Power (kuasa memujuk) berbanding Position Power (kuasa jawatan)
7. Menggunakan komunikasi secara lisan berbanding komunikasi secara bertulis
8. Menggalakkan inovasi berbanding penggunaan proses dan prosedur yang telah dipiawaikan.

Walaupun demikian, sebagai pengurus dan pentadbir pendidikan, kita perlu memberi pemberatan yang seimbang antara aspek kepimpinan dan pengurusan/ pentadbiran.

Sekiranya digarap dengan baik dan bersungguh-sungguh, Emotional Intelligence (EI) boleh berfungsi sebagai value-added dimension to work (nilai tambah kepada ruang lingkup kerja) dalam organisasi. Melalui pengamalan nilai-nilai murni tertentu yang melibatkan aspek emosi, ruang lingkup kerja yang berikut dapat ditingkatkan:
(i) General mood/ work environment (suasana dan persekitaran kerja) boleh ditingkatkan dengan amalan nilai-nilai seperti optimistic, happiness and job satisfaction (keseronokkan dan kepuasan bekerja)
(ii) Hubungan Intrapersonal pula boleh ditingkatkan dengan amalan nilai-nilai seperti assertiveness (tegas diri), independence (berdikari) dan emotional self-awareness
(iii) Hubungan Interpersonal pula boleh ditingkatkan melalui empathy, social responsibility (tanggungjawab social) dan hubungan interpersonal sendiri.
(iv) Adaptability pula boleh ditingkatkan melalui problem-solving (penyelesaian masalah), reality testing (pengujian secara reality) dan flexibility
(v) Stress management (pengurusan stress) pula boleh ditingkatkan melalui pengamalan nilai toleransi dan impulse control (kawalan terhadap tindak balas)

Keperluan terhadap pendekatan pengurusan menggunakan Emotional Intelligence (EI) ini adalah semakin mendesak dari sehari ke sehari kerana persekitaran yang sentiasa berubah dengan pesat. Kepesatan teknologi ICT sebagai contoh telah mendorong warga pendidik bukan sahaja untuk mempelajari dan menguasai kemahiran menggunakan komputer, malah ramai kalangan mereka telah menggunakannya untuk aplikasi dalam pengurusan seperti pengisian markah peperiksaan, penyimpanan data dan maklumat pelajar dan guru dan seumpamanya.

Justeru itu, pendekatan pengurusan menggunakan Emotional Intelligence (EI) ini amat releven dan sesuai untuk digunakan bagi menangani perubahan dan ketidaktentuan persekitaran. Aspek mengurus perubahan merupakan satu cabaran baru buat para pengurus masa kini. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas oleh Michael Fullan (2005) dalam bukunya “Leadership Sustainability” iaitu: “Ordinary leadership gets competence at best. What we need is leadership that motivates people to take the complexities and anxieties of difficult change.”

Menerajui Perubahan Berteraskan ICT dan Leading Organizational Change

As organizations are changing, it takes strong leaders to effect the changes needed for survival. The role of leaders is becoming more and more challenging in order to reposition their organizations for a new reality. One of the roles is to lead changes in the organization’s vision, strategy, and culture as well as promote innovation in technologies and products or services (Hodge et al, 1996). The leaders are responsible to create a vision. Once people accept the urgency to change, they want to know where they are going — they want a clear direction to a better future. Without a vision, the change effort can dissolve into a series of incompatible projects that start to look like change for change’s sake (Rose, 2002). Typically, changing the goals and strategies are but the starting point for changing structure and design, technology, culture, products and services (Hodge et al, 1996).

Another role of the leader in change is defining areas for change; managing change initiatives smoothly by anticipating, preparing and responding effectively to roadblocks; creating an open, receptive work environment; and involving people at all levels in the change initiative (Rose, 2002). At higher levels managing complex change involves understanding cultural dynamics in play and developing practical strategies to achieve the best advantage..............


Rentetan daripada ini bidang pendidikan khususnya di Malaysia berdepan dengan pelbagai perubahan dan cabaran yang semakin besar dan getir dalam menunaikan fungsi dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat amnya. Adalah amat penting bidang pendidikan bergerak jika tidak mendahului teknologi dunia tetapi perlu bergerak sama pantas dengan pembangunan dan perkembangan teknologi moden yang sangat pesat. Maka dengan ini evolusi dan perubahan pendidikan adalah bersifat dinamik dan tidak jumud. Ini adalah amat penting agar bidang pendidikan terus relevan dan menepati fungsinya dalam melahirkan generasi yang mapan di dalam zamannya. Dalam era globalisasi, kawasan tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari, perubahan adalah sesuatu keperluan, pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.

Arus perubahan ini perlu diharungi oleh warga pendidik dengan persiapan yang mantap dari segi fizikal, mental, kemahiran dan pengetahuan seiring dengan sifat futuristik dan peningkatan teknologi yang tinggi dan pelbagai dalam semua bidang. Pemimpin pendidikan di sekolah ialah orang yang bertanggungjawab secara langsung mengambil peranan penting dalam mengupayakan semua usaha ke atas pengoperasian, pelaksanaan dasar, perubahan dan inovasi yang telah dirancang dan ingin dicapai. Oleh yang demikian, pengurusan pendidikan alaf baru adalah sinonim dengan pelbagai jenis dan ragam perubahan yang terarah kepada keperluan dan tuntutan semasa........

2 petikan artikel tulisan saya dalam Jurnal Pendidikan PKPSM Johor Edisi 2009. Sila download melalui laman berikut http://smkbp.com/index.php/laman-pengetua/436-ebook-jurnal-pkpsmj-2009

Wednesday, July 15, 2009

Kehidupan dan Lagu

Saya tergerak untuk menulis tentang lagu dan kehidupan apabila anak saya Farah Amira yang berumur 3 tahun sering menyanyikan lagu-lagu barunya apabila balik dari taskanya setiap hari seperti yang diajar oleh guru-gurunya – lagu kanak-kanak bertemakan nasihat, amalan, ketuhanan dan sebagainya. Begitu lancar si anak kecil ini menghafal bait-bait puitis dalam lagu-lagunya.

Sejak daripada kecil lagi, perkara pertama yang kita suka ialah lagu. Kita akan tersenyum apabila ibu bapa kita menyanyikan lagu untuk kita. Lagu atau muzik boleh membantu kita berhenti dari menangis dan tidur. Ibarat ubat penenang. Saya selalu melihat ibu menyanyikan dan mendodoikan adik apabila mereka menangis. Bila kita berusia 6 tahun, masuk tadika kita didedahkan dengan lagu-lagu kanak-kanak. Malah lagu ABC juga antara lagu popular sepanjang zaman. Kalau tidak menyanyi, agak susah untuk kita mengenali huruf-huruf tersebut. Tidak lupa lagu-lagu nasihat seperti “tepuk amai-amai” dan “Burung kakak tua” yang kita ingat sampai sekarang. Jelas lagu membantu kita mengenal erti pelajaran.

Bila sudah remaja, apabila kita mula ada rasa “suka” pada seseorang, lagu cinta menjadi pilihan untuk melayan perasaan. Lagu-lagu kegemaran masa kini mahupun lagu-lagu lama pasti menyimpan berbagai nostalgia di sebalik keasyikan apabila mendengarnya. Lagu-lagu ini mengingatkan kita pada segala kenangan lepas ketika kita sedang dalam situasi gembira mahupun sedih. Lucu tapi inilah kebenarannya..betapa asyiknya lirik-lirik lagu tersebut membuai perasaan kita ketika mendengarnya. Seolah-olah penulis lirik lagu tersebut bagaikan mengerti apa yang kita alami pada situasi yang tertentu. Lirik-lirik yang bersifat percintaan mahupun ketuhanan pasti menjadi pilihan untuk didengari kerana lebih bersifat rasional terhadap apa yang kita lalui dalam kehidupan seharian. Setiap peristiwa yang kita lalui pasti meninggalkan kesan yang mendalam pada kehidupan seharian.

Saya sendiri apabila memandu pasti tidak lupa untuk membuka siaran radio klasik nasional 106.7. Apabila mendengar lagu-lagu klasik berkenaan khususnya era tahun 60an, 70an, 80 an dan 90an semasa saya membesar pada era berkenaan. Pastinya lagu-lagu berkenaan mengingatkan saya kepada pelbagai peristiwa kehidupan dari zaman kanak-kanak hingga kini yang penuh makna dalam hidup saya. Setiap lagu berkenaan pastinya akan menayangkan kembali memori kehidupan yang pernah saya alami – tinggal di perkampungan yang penuh mendamaikan. Inilah antara hiburan yang dapat menenangkan jiwa saya apabila mendengarnya. Lagu-lagu yang saya gemari sering juga saya dendangkan untuk diri sendiri walaupun kadangkala macam merosakkan lagu nyanyian penyanyi asal serta bersuara sumbang. Suatu ketika dahulu saya pernah melalui kegagalan dan adakalanya suntikan motivasi melalui lagu-lagu inilah yang mampu terus ke dalam jiwa. Malah melalui sebahagian lagu ini jugalah yang membantu menyuntik motivasi dalam diri untuk bangkit bagi menggapai kejayaan.

Menurut salah seorang teman, lagu sebenarnya tidak banyak memberi unsur positif dalam hidup. Saya agak kurang bersetuju kerana pandangannya itu dibuat tanpa melihat lagu atau secara amnya muzik secara menyeluruh. Sebagai contoh seseorang yang tengah mabuk bercinta pastinya akan mendengar lagu-lagu yang dapat membuai perasaan tetapi bagi mereka yang kecewa dalam bercinta lagu – lagu yang mempunyai lirik yang sedih akan menjadi pilihan. Hal ini bagi saya memperlihatkan role sebuah lagu dalam mempengaruhi sebuah kehidupan. Saya masih ingat sewaktu bersekolah menengah dahulu dan semasa saya tinggal di asrama lagu-lagu patriotik sering dinyanyikan untuk membakar semangat pelajar-pelajar untuk sentiasa berdisiplin tinggi dan berlumba-lumba dalam pelajaran.

Saya berpandangan bahawa lagu mampu mengubah perwatakan seseorang kerana jika setiap hari kita disajikan dengan lagu-lagu patriotik contohnya maka kita akan menjadi seorang yang patriotik. Maka tidak salah jika kita memilih lagu sebagai satu sumber motivasi diri. Sesebuah lagu mampu menjadikan seseorang yang buntu dalam kehidupan kembali ceria kerana lagu yang dinyanyikan oleh seseorang itu akan meresap ke jiwanya. Seseorang penyanyi akan menyanyi dengan penuh perasaan. Jika nyanyian tersebut tidak mempunyai penghayatan yang baik maka lagu tersebut tidak dapat dirasai oleh orang yang mendengar. Yang menjadi persoalan ialah lagu jenis apakah yang dapat memberi impak positif kepada seseorang.

Bagi saya elemen utama ialah dilihat pada liriknya. Lirik tersebut kemudian perlu dihayati ketika mendendangkan sesebuah lagu. Lirik yang baik dan positif sebenarnya secara tidak langsung menjadi auto suggestion kepada sub conscious memory untuk mengubah struktur emosi seseorang. Sewaktu anda menyanyikan sesebuah lagu dengan penuh perasaan maka apa yang berlaku ialah anda akan merasakan seolah-olah ianya sedang berlaku kepada anda atau dengan kata lain anda sedang mengalami sebagaimana yang tertulis dalam lirik tersebut.

Dalam sains minda telah dapat dibuktikan yang minda tidak mampu membezakan pengalaman yang betul atau tiruan. Oleh yang demikian sekiranya anda menyanyikan sebuah lagu yang penuh kesedihan maka kesedihan tersebut akan tersimpan dalam sub conscious memory anda hingga anda mampu memadamkannya.

Sekiranya kini anda sedang menghadapi pelbagai tekanan maka janganlah rasa berat atau terganggu untuk menyanyi tetapi dengan syarat ianya bukan sekadar menghiburkan hati bahkan perlu untuk memberi motivasi diri. Carilah lagu-lagu yang mempunyai lirik yang positif serta kuat. Setelah itu carilah pula melodi yang baik. Melodi juga memainkan peranan penting dalam memupuk unsur positif dalam diri seseorang.

Sekiranya melodi tersebut tidak dapat mencecah kedalaman rasa maka nyanyian hanya menjadi nyanyian tanpa pengisian. Apabila anda mendapat sebuah lagu yang liriknya mampu memberi impak positif dan disertai dengan melodi yang mampu merendahkan frekuensi gelombang otak maka dengan penghayatan yang betul ia akan menjadi satu suggestion untuk minda agar mengubah struktur emosi kepada positif. Dengan emosi yang positif kita akan mempunyai minda yang positif dan apabila minda dan emosi yang anda miliki positif tubuh akan sihat dan hidup akan ceria.

Malah bukan pula menjadi satu kesalahan jika kita mampu membuat satu lirik yang dapat memberi suntikan semangat dan kemudian menyanyikannya. Ianya lebih baik kerana anda lebih mengetahui jalan yang ingin anda lalui manakala lirik tadi hanyalah satu suggestion atau inspirasi kepada minda.Itulah juga yang berlaku apabila kita menghasilkan bait-bait pusi/sajak. Ia adalah manisfestasi hati dan perasaan terhadap apa yang ingin kita luahkan sama ada ia keluhan, protes, ingatan atau sebagainya.

Justeru lagu amat memberi kesan dalam kehidupan semua manusia. Lagu mampu memberikan jiwa kepada manusia. Bagaimanapun pemilihan lagu dan bagaimana kita menghayati lagu yang akan menentukan kesan langsung kepada emosi dan pemikiran kita dalam kehidupan ini.

video

video

Thursday, July 09, 2009

Homeostasis dan Pengurusan


Saya menghadiri Persidangan PKPSM Johor di Hotel Paragon selama 3 hari mula isnin lalu. Majlis penutup dilakukan oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran yang diwakili oleh Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, KPM. Saya tertarik dengan ucapan beliau yang menyentuh tentang analogi kepimpinan yang dikaitkan dengan ‘homeostasis’ iaitu proses yang berlaku secara semula jadi di dalam hayat tubuh manusia. Homeostasis ialah satu proses biologi di mana manusia mengimbangi suhu badan dengan sekitarannya. Apabila cuaca sejuk, seperti di musim hujan, tubuh kita akan menjadi panas, manakala, apabila cuaca sekeliling menjadi panas dan kering, atau kita sedang berada di padang pasir, secara semula jadinya, tubuh kita akan bertindak menyejukkan diri melalui proses perpeluhan. Pendeknya, di dalam apa juga keadaan dan situasi sekalipun, tubuh manusia sentiasa dapat mengimbangi dan menyesuaikan diri dengan alam sekitarnya.

Jika diaplikasikan di dalam konteks pengurusan di dalam organisasi, kita akan dapat menterjemahkan dan kemudian menemukan beberapa refleksi yang berguna kepada kita. Yang pertama, homeostasis di dalam aspek kepemimpinan: seorang pemimpin dikatakan sebagai agen perubahan yang harus dapat sentiasa mengimbangi organisasi dengan situasi di sekelilingnya. Misalnya, banyak sekali inovasi dan perubahan-perubahan yang proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia akhir-akhir ini. Antaranya Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Pendidikan Wajib, Pentaksiran holistik, Sekolah Bestari, Bantuan Baucer Tuisyen, dan berbagai-bagai lagi. Justeru, ia memerlukan penggemblengan seluruh jentera pemimpin dan subordinat di sekolah untuk sama-sama merealisasikan aspirasi kerajaan itu. Dalam arus perubahan seperti ini, tugas dan tanggungjawab pemimpin dan pentadbir ialah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan orang-orang di bawah jagaan mereka. Mereka harus dapat mencipta satu budaya yang responsif kepada perubahan-perubahan tersebut.

Dalam masa yang sama satu suasana yang harmoni melalui proses komunikasi interpersonal yang produktif dapat diwujudkan, bersandarkan kepada semangat kolektif dan akauntibiliti yang tinggi di kalangan kerabat kerja di sekolah. Mengikut pengurusan moden, organisasi yang diharapkan ialah melalui jalinan dan interaksi dua hala, bukan sahaja top-down, tetapi juga bottom-up. Dengan cara ini, keseimbangan dapat diwujudkan sehingga pada satu tahap nanti, antara pemimpin dan subordinat menjadi satu entiti yang akrab dan mesra berasaskan budaya TRUST atau saling percaya-mempercayai antara pihak Pengurusan sekolah dengan guru-guru.

Yang kedua, konsep homeostasis dapat diaplikasikan untuk mewujudkan perhubungan yang kurang menekan atau non stressful relationships. Apabila sesuatu gaya pengurusan di sesebuah sekolah mengambil kira kepentingan pengurusan tanpa tekanan atau non coercive managemant, pemimpin akan bertindak ke arah memupuk semangat kekeluargaan, perundingan dan permuafakatan hingga dapat melahirkan satu pasukan yang kukuh. Lebih-lebih lagi di dalam situasi pendidikan masa kini yang sangat mencabar sifatnya, pengurusan tanpa terlalu menekan ini akan mempertingkatkan lagi rasa kesetiaan (loyalty) guru-guru dan staf sokongan kepada sekolah di mana mereka bekerja. Maka dengan itu, tidak akan berlaku seperti peribahasa Melayu yang berbunyi, `TIDUR SEBANTAL, TETAPI MIMPI LAIN-LAIN’. Justeru melalui proses konsep homeostasis ini, seseorang pemimpin sekolah harus dapat menyesuaikan diri dan mengimbangi gaya kepimpinannya di dalam apa juga keadaan pun, termasuklah dalam meneruskan kesinambungan visi sesebuah sekolah yang belum selesai.

Itulah rumusan yang dapat diperkatakan tentang ‘homeostasis’ seperti disebut oleh YB TMP berkenaan. Menarik untuk direnung dan difikir-fikirkan oleh kita bersama……………….

Wednesday, July 08, 2009

PPSMI - akhirnya............

Setelah melalui pelbagai kontroversi, kemelut isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya sampai kepada penamatnya. Kabinet hari Rabu ini meluluskan agar PPSMI dimansuhkan dan pengajaran serta pembelajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut akan kembali diajar dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa 2012. Mengumumkan keputusan kabinet tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan keputusan tersebut akan dijalankan secara berperingkat mulai 2012 bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun Empat serta Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan perubahan tersebut tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pengajaran dan peperiksaan kedua-dua matapelajaran akan terus dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kerakhir PPSMI tamat pada 2014. Pelaksanaan keputusan Kabinet bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada 2012. Ia bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu Kementerian Pelajaran akan melaksanakan beberapa langkah untuk memantapkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum mata pelajaran itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa.

“Ia akan dilaksanakan di kalangan murid melalui pendekatan modular bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.“Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

-Bernama-

Artikel Tambahan :
1. Kabinet lulus Matematik, Sains dalam Bahasa Melayu
2. PPSMI gagal bentuk kecemerlangan pelajar bandar, desa
3. Mansuh PPSMI jejas masa depan anak-anak: Dr Mahathir
4. Pemansuhan PPSMI bukan pertimbangan politik: Muhyiddin

Sunday, July 05, 2009

HARIJADIKU


Alhamdulillah, hari ini saya bersyukur kerana dapat menyambut hari kelahiran dalam keadaan sihat dan dikurniakan kenikmatan hidup oleh Allah SWT. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi keberkatan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Saturday, June 20, 2009

Selamat Hari Bapa


Hari Ibu disambut meriah setiap tahun. Bulan lepas kita telah meraikan Hari Ibu dan pada hari ini pula tiba giliran kita meraikan golongan bapa. Bagaimanapun tidak ramai yang menyedari kewujudan hari bapa atau bila tarikh sebenar hari yang tidak kurang pentingnya ini.Pun begitu sambutan Hari Bapa ini agak kurang sedikit hangatnya berbanding dengan Hari Ibu yang diraikan pada bulan lepas. Tidak mengapalah asalkan kita tidak lupa jasa dan pengorbanan ibu bapa kita.

Tidak dinafikan pengorbanan bapa sememangnya besar. Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinan bapa. Hal ini meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara keluarga, dan mempertahankan maruah. Justeru pengorbanan bapa turut tidak ternilai harganya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Hari Bapa yang hadir pada bulan Jun setiap tahun tidak harus dibiarkan tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak kita sememangnya dituntut untuk menghargai jasa dan pengorbanan bapa yang membesarkan kita selaras dengan firman Allah:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)”. (S. Al-Ahqaaf: 15).

Mungkin dengan sekadar ucapan ringkas pada hari ini dapat mengukir senyuman di bibir bapa kita. Apatah lagi kalau kita mampu menghargainya seperti mana kita menghargai hari ibu setiap tahun. Semoga para bapa semua dapat menjadi ketua keluarga yang memimpin keluarganya membentuk satu unit masyarakat yang positif dan bahagia. Ini hanya boleh dicapai dengan sokongan para ibu dan anak-anak juga.

Lumrahnya, anak-anak memang lebih selesa menyuarakan sesuatu pada ibu. Saya juga masih ingat semasa zaman sekolah dahulu, walaupun saya tahun ibu tidak bekerja tetapi apabila saya memerlukan wang untuk membeli buku dan sebagainya, saya tetap meminta kepada ibu yang kemudian memanjangkannya kepada bapa. Dan bapa dengan penuh tanggungjawab memenuhi keperluan saya walaupun saya tahu bapa memang menghadapi pelbagai kesukaran untuk mendapatkan wang bagi tujuan perbelanjaan anak-anaknya. Dan yang saya cukup tabik dan hormat pada bapa kerana bapa tidak pernah merungut untuk mencari wang, apa yang penting bila tiba masa pasti saya akan dapat dan saya sendiri tidak tahu bagaimana bapa memperolehnya, yang penting anak-anaknya bahagia. Tetapi agaknya saya lebih selesa merujuk kepada ibu kerana ketegasan bapa. Bagaimanapun apabila saya semakin dewasa, menjadi ayah kepada anak-anak, saya semakin memahami keadaan berkenaan.

Terima kasih kepada bapa saya, Haji Adnan yang banyak berkorban hinggalah saya mampu menjadi manusia yang berguna. Saya sentiasa mendoakan kepada ayah saya (yang sekarang berumur 85 tahun) sentiasa sihat dan dalam kerahmatan Allah AWT. Juga Alfatihah kepada almarhum bapa mentua saya, Haji A. Ghani, yang memberi bimbingan kepada saya sepanjang saya menjadi anak menantu beliau.

Selamat Hari Bapa kepada semua para bapa di Malayasia dan seluruh dunia.
video

Nak tahu.... bertanyalah.


Semasa golongan penentang Islam di Semenanjung Tanah Arab bergabung dan merancang hendak menghancurkan umat Islam, penduduk di Madinah semakin bimbang. Pasukan musuh berkenaan bukan kecil tetapi gabungan suku Arab terbesar dan ditambah dengan beberapa suku kaum Yahudi di Semenanjung Arab dan kalau dibandingkan dengan umat Islam pada masa itu belum tentu boleh menang.

Bagaimanapun Nabi Muhammad tidak gundah gulana. Beliau mengadakan mesyuarat dengan sahabt-sahabatnya bagi mengatasi saat genting berkenaan. Dalam mesyuarat berkenaan baginda tidak terus membuat keputusan sebaliknya mendapatkan pandangan daripada rakan-rakannya yang lain. Akhirnya seorang sahabat bangsa Parsi, Salman al-Farisi, mengemukakan cadangan menggali parit besar di sekeliling bandar Madinah. Strategi ini tidak pernah dibuat oleh bangsa Arab tetapi sebaliknya berasal daripada negara Parsi. Baginda bersetuju dan strategi pun diatur dengan parit sepanjang 5 km dibina bertujuan menjadi benteng pertahanan daripada tentera Ahzab yang akhirnya berjaya mematahkan serangan besar-besaran yang diatur oleh tentera musuh.

Itulah sedikit sedutan cerita yang saya dengar daripada ceramah oleh seorang ustaz yang saya hadiri di masjid berhampiran rumah saya tiga hari yang lalu.

Apa yang menarik perhatian saya daripada cerita ini ialah perlunya kita mendengar pandangan dan pendapat orang lain sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk organisasi kita. Saya juga ingin mengaitkannya dengan pepetah cina yang menyebut "dua kepala lebih daripada satu kepala" yang bermaksud idea dua orang atau lebih selalunya lebih baik daripada kita memikirnyan seorang diri. Kalau kita kaitkan dengan trend pengurusan mutakhir yang pernah saya tulis sebelum ini iaitu kerja sepasukan adalah pendekatan terbaik untuk mencapai matlamat sesuatu organisasi atau kumpulan. Kesimpulannya moral of the story daripada apa yang saya tulis tentang idea Salman al-Farisi di atas ialah "Sekiranya anda ingin tahu, jawapannya, bertanyalah."

Thursday, June 18, 2009

Pelajar aliran agama sains boleh ambil 11 subjek SPM



Sumber : Berita Harian

Calon lain hanya dibenar maksimum 10 mata pelajaran

KUALA LUMPUR: Hanya calon aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 mata pelajaran termasuk empat subjek teras dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Calon lain hanya boleh mengambil maksimum 10 subjek dengan lima hingga enam mata pelajaran teras mengikut aliran pendidikan masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mempersetujui rayuan pentadbir sekolah menengah agama yang tidak dapat melaksanakan perubahan serta-merta dan memohon agar calon aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 subjek yang menjadi amalan selama ini.

Katanya, berikutan keputusan itu, mereka mempunyai waktu untuk membuat pengubahsuaian bermula dengan pelajar Tingkatan Empat sebelum kumpulan calon aliran agama sains yang seterusnya diwajibkan mengambil maksimum 10 subjek saja mulai 2011.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, enam subjek teras sedia ada tetap dikekalkan dalam perubahan sistem pensijilan terbuka SPM, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.

"Enam mata pelajaran itu seperti tercatat dalam Akta Pendidikan 1996 bukan saja wajib dipelajari, malah dijadikan subjek teras peperiksaan SPM kerana ia asas pembinaan modal insan dan jati diri rakyat Malaysia," katanya semalam.

Bagaimanapun, bagi calon aliran sains, subjek teras dikurangkan kepada lima dengan Sains dikecualikan kerana mereka boleh mengambil mata pelajaran elektif sains tulen seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan yang mempunyai standard lebih tinggi.

Subjek teras untuk calon aliran agama juga dikurangkan kepada lima dengan Pendidikan Islam dikecualikan yang secara langsung mengelakkan pertindihan dengan mata pelajaran elektif dalam aliran pendidikan itu yang mempunyai standard lebih tinggi.

Antaranya adalah Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah. Calon aliran agama sains pula hanya mempunyai empat subjek teras dengan mata pelajaran Sains dan Pendidikan Islam dikecualikan.

"Langkah ini adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan peperiksaan. Ia sekali gus menolak pandangan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Cara ini membolehkan pembangunan potensi pelajar dalam jurusan yang dipilih dibangunkan secara lebih intensif dan komprehensif.

"Di samping itu, pelajar dan guru juga mempunyai masa mencukupi untuk aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani, rohani dan emosi pelajar secara seimbang," katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan segelintir pihak berhubung kekangan dari segi bilangan mata pelajaran elektif boleh diambil, khususnya yang berkaitan kaum masing-masing, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh mengorbankan enam subjek teras sedia kerana ia akan menjejaskan matlamat asal kepentingan calon mengambil mata pelajaran teras.

Mengenai cadangan mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM, Muhyiddin berkata, lebih 80 peratus daripada keseluruhan maklum balas yang diterima setakat ini, termasuk kira-kira 3,000 melalui emel rasmi Kementerian Pelajaran, menyatakan persetujuan dan mengakui kepentingan bahasa itu.

Beliau berkata, ia akan diputuskan tahun ini menerusi analisis dan kajian lebih terperinci dengan mengambil kira pandangan serta keperluan pelbagai aspek, termasuk silibus, pengukuhan tenaga pengajar yang mencukupi dan mahir serta bimbingan dan penyediaan guru terlatih untuk pelajar di sekolah luar bandar.

Tuesday, June 16, 2009

8 Ciri Menggambarkan Pekerja Bermotivasi


Pekerja yang bermotivasi menunjukkan lebih berkeyakinan dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Seseorang individu yang bermotivasi sebenarnya dapat di ukur melalui tingkah laku, persepsi, pandangan dan penampilan perwatakan. Justeru itu, terdapat 8 tanda yang menggambarkan pekerja yang bermotivasi iaitu :

1.Minta lebih banyak kerja

Pekerja yang bermotivasi tidak mengenal erti mengeluh dan cepat putus asa dalam melaksanakan tugas. Oleh itu, tindakan terbaik adalah sentiasa meminta lebih banyak tugas berbanding hanya tunggu dan lihat sahaja. Seandainya tugasan yang diarahkan oleh pengurus (pemimpin) hanya mencakupi tugas sederhana. Pihak pekerja perlu bertindak lebih proaktif untuk memajukan organisasi yang ditugaskan. Pemikiran ke arah kerja yang lebih, adalah menjanjikan hasil kerja yang terbaik berbanding hanya berpuas hati pada tahap kerja yang sederhana.

2.Mendahulukan kerja daripada rehat
Aspek ini pula, menjelaskan bahawa setiap saat dalam sehari adalah penting kepada pihak pekerja melaksanakan tugas. Seandainya kerja yang dilakukan hanya bertangguh dari sehari ke sehari, ia tidak akan terlaksana dengan baik. Lantas pekerja bermotivasi memanfaatkan setiap saat dengan tugas yang dipertanggungjawabkan. Hasil kerja yang diterima akan lebih menjadi teratur dan terbaik dengan penjadualan tugas.

3.Berminat dengan kerja
Motivasi yang tinggi dalam diri individu dapat memberi pekerja memilih tugasan mengikut minat dan mampu melaksanakannya. Minat yang tinggi akan menyebabkan pekerja melakukan tugas mengikut keupayaan serta kelulusan akademik yang dimilikkinya. Oleh itu, perlaksanaan hasil tugas akan menjadi terbaik dan sistematik.

4.Berusaha dengan tugasan yang sebenar

Tanda keempat ini menjurus kepada semangat dan usaha yang tinggi dikalangan pekerja. Perlaksanaan tugasan yang diberikan akan dilaksanakan mengikut tatacara yang teratur. Situasi ini agar pekerja dapat berusaha dengan lebih gigih daripada tahap sederhana kepada tahap yang lebih positif dan tinggi. Malahan dapat mendisiplinkan diri pekerja lebih bermotivasi dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

5.Berdaya dan boleh membuat keputusan sendiri

Sesuatu pekerjaan yang telah dipertanggungjawabkan ke atas pekerja adalah tugas yang dipikul, yakin pada kemampuan diri, dan mampu merancang tugas dengan baik merupakan ciri-ciri pekerja yang bermotivasi tinggi. Pekerjaan yang terlaksana dengan baik adalah melalui daya usaha dan kemampuan membuat keputusan sendiri setelah terlaksana tugasan tersebut. Contohnya pengurus (pemimpin) memberikan pekerja tugasan yang perlu dilaksanakan sewaktu ketiadaannya. Seterusnya pekerja tersebut yakin membuat keputusan sendiri.

6.Bersedia untuk bekerja lebih masa

Tanda seoarang pekerja yang mempunyai motivasi baik adalah mereka selalu bekerja lebih masa dan tidak suka ponteng dalam tanggungjawab atau tugas yang diberikannya. Situasi ini akan melahirkan suasana kerja yang baik dan produktif serta efisien. Tambahan pula, pekerja bermotivasi akan datang awal kerja dan pulang lewat pada waktu kerja. Seterusnya akan memantau tugas sehingga lebih masa agar tidak berlaku sebarang kesilapan. Contohnya pekerja bank, waktu kerja adalah diantara 8.30 pagi sehingga 3.30 petang. Tetapi pekerja yang bermotivasi akan memeriksa setiap akaun bank tersusun dengan tepat jumlahnya melebihi masa kerjanya.

7.Sering mencetus sikap positif
Sikap positif adalah tunggak utama dalam melahirkan pekerja yang bermotivasi. Oleh itu, sikap ini perlu diteruskan bagi menjamin organisasi pekerjaan yang kukuh dan maju. Pekerja bermotivasi perlu sentiasa bersikap positif seperti merancang tugasan, hubungan baik dengan kakitangan dalam organisasi, yakin pada setiap tindakan yang diambil, sentiasa cergas dan aktif dengan setiap tugas, dan tidak memikirkan kekalahan serta keburukkan seseorang. Selain hanya melaksanakan tugas sebagai pekerja bermotivasi, silahturahim antara pekerja perlu selari dan seiring.

8.Bersikap terbuka
Individu yang bermotivasi adalah individu yang bersedia dikritik dan tenang dalam menerima teguran oleh sesuatu pihak seperti dengan pemimpin organisasi. Bukan itu sahaja, pekerja bermotivasi menerima teguran agar dapat memperbaiki diri sendiri menjadi pekerja yang terbaik dan dicontohi oleh pekerja lain. Malah menganggap teguran bukanlah tekanan dalam diri tetapi semangat untuk lebih berjaya dalam kerjaya