SUBJEK SEJARAH DI SEKOLAH



Kebelakangan ini ada gesaan agar mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek teras di semua peringkat termasuk di peringkat rendah oleh pelbagai pertubuhan termasuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Perkara ini sebenarnya perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan kerana di peringkat usia rendahlah pertumbuhan pemikiran kanak-kanak boleh dibentuk. Pada fasa inilah kanak-kanak bukan sahaja perlu membaca, menulis dan mengira yang merupakan asas kepada tahap pendidikan selanjutnya tetapi juga perlu diberi pendedahan kepada kepelbagaian kaum yang wujud di Negara ini, kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi amalan malah perlu didedahkan kepada tokoh-tokoh ulung negara sepertu Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan wira seperti Tok Janggut, Tok Bahaman dan lain-lain. Mereka juga perlu dididik erti persahabatan, perpaduan dan kedamaian dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai dan amalan patriotisme termasuk menghafal lagu Negaraku, mengenal Jalur Gemilang dan Rukun Negara. Apabila elemen ini sudah tersemai tidak timbul lagi masalah apabila mereka masuk ke fasa remaja kerana konsep jati diri dan kecintaan kepada negara sudah tersemai. Tiada gunanya usaha ini baru mula didedah apabila mereka sudah berada di peringkat menengah dan remaja atau di peringkat pengajian tinggi setelah mereka sebenarnya telah terasuh dan melalui pendidikan vernakular yang wujud. Ibarat kata pepatah “Melentur buluh biar dari rebungnya”

Justeru melalui mekanisme pendidikan Sejarahlah ianya boleh dilaksanakan demi sebuah Negara Malaysia yang aman, makmur, selamat dan sejahtera untuk hari ini dan masa akan dating. Ilmu sejarah walaupun tiada memilik nilai komersial tetapi ianya tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Sejarah masa silam merupakan kayu ukur kepada penambahbaikan pada masa kini dan akan dating. Memang ilmu sejarah ini kelihatannya agak tidak cantik, tidak kelihatan dan tidak kukuh tetapi ia merupakan tonggak kepada pembinaan keharmonian dan kesejahteraan bangsa masa kini dan masa depan. Kita akan rasa sedar diri apabila mengetahui akan sejarah silam. Semuanya adalah bermula dengan sejarah. Tiada tamadun dan kemakmuran tanpa bermula dengan sijarah lampau sama ada gemilang atau sebaliknya.

Corak kehidupan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum adalah unik jika dibandingkan dengan masyarakat di negara lain yang hanya dihuni oleh satu bangsa sahaja. Oleh itu keindahan dan keunikan ini perlu dipelihara supaya setiap individu yang menghuni di negara ini akan menikmati setiap kemudahan. Oleh itu sikap tolak ansur di antara kaum amat perlu untuk memudahkan kerajaan mengadakan pelbagai kegiatan dan perancangan membasmi kemiskinan di kalangan kesemua kaum.
Justeru cadangan agar kerajaan mewajibkan pelajar mengambil mata pelajaran sejarah Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia di semua peringkat sekolah dan universiti di negara ini sama ada ia hak milik kerajaan atau swasta adalah amat wajar sekali.Mata pelajaran sejarah amat penting untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada setiap penghuni bumi Malaysia supaya mereka menyedari hakikat kedudukan dan kehidupan mereka di negara ini. Tanpa kesedaran ini mereka tidak mungkin menjadi satu masyarakat yang bertolak ansur. Setiap usaha kerajaan untuk memupukkan perpaduan kaum sukar untuk dicapai kerana kejahilan boleh menyebabkan manusia bertindak tanpa menggunakan akal yang waras. Sebagai anak watan yang citnakan keamanan dan kemakmuran negara untuk hari ini dan hari-hari mendatang memahami sejarah adalah antara elemen penting dalam mewujudkan jatidiri dan semangat patriotisme kepada negara.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment