Daripada Umar bin Abi Salamah RA berkata: Semasa aku kanak-kanak yang dalam jagaan Rasulullah SAW, pada suatu ketika tangan aku mengacau-ngacau makanan dalam bekas, maka berkatalah kepadaku Rasulullah SAW: “Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah yang dekat denganmu”. Sejak itu, aku sentiasa menjaga adab makan seperti ini. [1]
Huraian hadis:[2]
1- Imam Nawawi dalam bukunya Riyadhus Salihin telah meletakkan tajuk hadis ini sebagai “Bab: Makan apa yang dekat dengannya, nasihat dan teguran baginda kepada sesiapa yang makan tanpa adab”.2- Sahfah ialah bekas makanan yang boleh digunakan untuk 5 orang, manakala Qas’ah ialah bekas makanan yang boleh digunakan untuk 10 orang.3- Sifat rendah diri Nabi SAW dan akhlak tinggi baginda terserlah dengan makan bersama anak jagaan baginda dalam satu bekas.4- Kesungguhan Nabi SAW dalam mengajar Umar bin Abi Salamah tentang adab makan dalam Islam.
Ulasan:
Hadis di atas hanya merupakan salah satu contoh Nabi SAW dalam menegur sesuatu kesalahan secara memberi tunjuk ajar dengan cara yang baik. Memberi tunjuk ajar dengan cara yang baik adalah langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seorang pendidik dalam menegur kesalahan yang dilakukan oleh murid. Kita dapat lihat bagaimana Nabi SAW menegur perbuatan yang dilakukan oleh Umar itu dengan kata-kata yang baik, tidak mengikut perasaan dan emosi yang negatif, tanpa memperlihatkan rasa marah dan benci terhadap kesalahan yang dilakukannya itu.Sebaliknya, apabila baginda melihat perbuatan salah tersebut, baginda telah mengajarnya perbuatan betul yang sepatutnya dilakukan. Cara ini sesuai bagi teguran terhadap kesalahan yang kecil dan dilakukan oleh orang yang jahil apatah lagi kanak-kanak yang tahap pemikiran dan pendidikannya masih rendah lagi. Kita dapat lihat betapa hebatnya kesan tunjuk ajar baginda dengan cara yang baik apabila Umar sentiasa menjaga tingkah lakunya menepati cara yang telah diajar oleh baginda.Sekian, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
[1] Direkodkan oleh Bukhari (no. 5376, 5377, 5378), Muslim (no. 5237) dan Ibnu Majah (no. 5378).[2] Lihat: Mustafa Al-Bugha dan lain-lain, Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Salihin, 1/524, Beirut: Muassasah Risalah (1996), Al-‘Asqalani, Ibnu Hajar (852H), Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 9/646-650, Riyadh: Dar As-Salam (1997); An-Nawawi, Muhyiddin (676H), Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin Al-Hajjaj, 13/193, Beirut: Darul Ma’rifah (1997); As-Sindi, Abi Al-Hasan (1138H), Syarh Sunan Ibnu Majah, 4/12, Beirut: Darul Ma’rifah (2000) . Di sini saya ringkaskan sahaja huraian hadis-hadis tersebut.
0 comments:
Post a Comment