Saya masih ingin berbicara tentang kualiti sekolah. Justeru saya cuba mencari ulasan buku yang saya buat berkaitan sebuah buku tulisan Glasser semasa mengambil kertas pengurusan di universiti pada tahun 1998. Buku berkenaan adalah hasil tulisan Dr. Glasser yang terbaru pada ketika itu. Berikut diturunkan semula ulasan yang saya buat tentang buku tersebut.
("Creating the Quality School”, Glasser, W. (1998), Chapter Eleven, The Quality school: Managing Students without Coercion, Herper Perennial, A Division of Harper Collins Publishers)
____________________________________________________
Bagaimanakah sekolah berkualiti ("quality school") dapat diwujudkan jika kita mengingininya? Berdasarkan konsep sekolah berkualiti yang dikemukakan oleh William Glasser (1998), setiap sekolah boleh dijadikan sekolah berkualiti sekiranya pemimpin sekolah sanggup mengambil inisiatif dan bekerja keras. Berikut diringkaskan perkara-perkara terlibat, yang digariskan oleh Glasser, apabila hendak mewujudkan sekolah berkualiti.
____________________________________________________
Bagaimanakah sekolah berkualiti ("quality school") dapat diwujudkan jika kita mengingininya? Berdasarkan konsep sekolah berkualiti yang dikemukakan oleh William Glasser (1998), setiap sekolah boleh dijadikan sekolah berkualiti sekiranya pemimpin sekolah sanggup mengambil inisiatif dan bekerja keras. Berikut diringkaskan perkara-perkara terlibat, yang digariskan oleh Glasser, apabila hendak mewujudkan sekolah berkualiti.
Langkah pertama adalah pengetua sekolah bersama-sama dengan penolong-penolongnya mesti membuat keputusan untuk menjadikan sekolah mereka sebuah sekolah berkualiti. Seterusnya, satu mesyuarat permulaan dengan semua staf diadakan di mana hasrat mewujudkan sekolah berkualiti diumumkan dan konsep sekolah berkualiti yang dijelaskan dengan menggunakan bab satu dalam buku The Quality School. "Lead management" bukan sahaja diperkenalkan tetapi juga dipraktikkan oleh pengetua sendiri mulai mesyuarat pertama ini.
Selepas mesyuarat ini, guru-guru ditanya sama ada mereka berminat dan sanggup untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang apakah sekolah berkualiti. Jika ada minat, maka tiga bab yang pertama buku The Quality School diedarkan satu demi satu kepada setiap jabatan dan dibincangkan dalam mesyuarat masing-masing yang diketuai oleh seorang pengurus yang sudah faham keseluruhan buku tersebut. Selepas semua guru telah memahami dengan mendalam tiga bab tersebut, mereka diminta membuat keputusan tanpa paksaan, sama ada ingin melibatkan diri dalam suatu program spesifik ke arah sekolah berkualiti. Sekiranya terdapat sekurang-kurangnya setengah daripada guru-guru ingin terlibat, maka program boleh dilaksanakan (jika kurang dari 50%, program jangan dimulakan dan sekolah perlu tunggu masa lain untuk memulakannya). Jika diangkapkan terdapat lebih 50% guru ingin terlibat, maka langkah-langkah tindakan sekolah seterusnya adalah seperti berikut.
(i) Guru-guru mengkaji dan meneliti baki buku The Quality School sampai habis dalam tahun pertama. Semua guru dilatih secara formal (dua minggu) dalam Choice Theory dan Reality Therapy secepat mungkin. (ii) Pengetua dan guru-gurunya menakrifkan dan menulis matlamat umun sekolah berkualiti mereka. (iii) Ajar pelajar tentang Choice Theory dan latih mereka mempraktikkannya. (iv) Berhenti penggunaan paksaan dan hukuman ke atas pelajar (dan guru). Masalah disiplin hendaklah diselesaikan, bukan dihukum pelajarnya. Semua pelajar hendaklah dilatih dalam kemahiran penyelesaian masalah. Jelaskan bahawa guru ingin menjadi kawan dan bersedia membantu pada setiap masa dan pelajar perlu bekerjasama demi kebaikan mereka sendiri. (v) Mulakan penilaian kendiri kerja/tugasan pelajar. Semua tugasan pelajar dinilai sendiri sebelum diserah kepada guru. Kedua-dua markah yang diberi oleh pelajar sendiri dan guru akan diambil kira. Ini akan memupuk sikap kerja berkualiti sebagai matlamat penting mereka. (vi) Semua pelajar dilibatkan dalam pembelajaran berkualiti. Berikan perhatian individu yang tidak mahu bekerja dan libatkan pelajar-pelajar yang berjaya untuk menbantu mereka. (vii) Pembelajaran koperatif selalu digunakan dalam kelas yang mempraktikkan lead-management. Ini memberi kuasa kepada pelajar dalam kerja-kerja mereka, maka ianya memenuhi keperluan mereka. (viii) Dalam pengurusan "lead-management", sekolah libatkan pelajar (contohnya wakil pelajar dalam jawatankuasa sekolah) dan komuniti (misalnya mesyuarat dengan komuniti sekali sepenggal) dengan memberi peluang kepada mereka untuk memberi pendapat dan sumbangan lain. (ix) Tag nama dipakai oleh semua murid supaya semua orang lain (guru dab pelajar) dapat mengenali mereka. Ini bertujuan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain yang mampu mengurangkan masalah disiplin. (x) Ganjaran yang lumayan berbentuk bonus hendaklah diberi kepada sekolah yang berjaya mewujudkan sekolah berkualiti. Ini adalah kerana kerajaan/komuniti akan menjimat perbelanjaan dengan banyaknya apabila matalamat seperti berikut dicapai oleh sebuah sekolah berkualiti. (a) Tiada keciriran pelajar, maka kurang tanggungan masyarakat. (b) Kehadiran pelajar di sekolah sempurna.(c) Kehadiran penuh guru untuk bertugas meningkatkan produktiviti. (d) Tiada masalah disiplin yang tidak dapat diselesaikan dengan cepat. (e) Pencapaian akademik pelajar tinggi. (f) Masalah pembelajaran di kalangan pelajar hampir tidak wujud. (g) Masalah delinkuensi pelajar dalam masyarakat sangat minimum.
Kesimpulannya. "Nothing we can do will improve the quality of life in any community more than quality schools" (m.s. 170) merupakan salah satu kenyataan William Glasser dalam rumusan bukunya, The Quality School. Walau pun kenyataan tersebut kelihatan mudah, tetapi tuntutannya amat berani (a very brave claim he made indeed!) dan membawa kesan dan implikasi yang jauh lebih besar - Sekolah berkualiti dinampakkan sebagai faktor yang paling penting untuk membawa peningkatan kualiti hidup berbanding dengan faktor-faktor lain. Sememangnya hujah-hujah sokongan penulis, yang sangat meyakinkan (convincing), telah pun diberi dengan panjang lebar dalam bahagian-bahagian lebih awal buku tersebut. Walau bagaimana pun, ini bermakna tanggungjawab pihak sekolah untuk menyumbang ke arah pencapaian kualiti hidup yang tinggi amat besar. Dengan kata lain, semua sekolah mesti diurus sedemikian supaya menjadi sekolah berkualiti.
Rakan-rakan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kualiti sekolah boleh melayari laman web W.Glasser di http://wglasser.com/
0 comments:
Post a Comment