5 FAKTOR MEMAJU KUALITI INSTITUSI PENDIDIKAN

Beberapa hari yang lepas saya berbicara dengan seorang rakan berkaitan perubahan-perubahan dalam bidang pendidikan. Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah berkaitan dengan kualiti institusi pendidikan. Hari ini apabila kita bercakap tentang kecemerlangan sudah pastinya tidak lepas daripada memperkatakan juga kualiti institusi pendidikan itu sendiri. Dalam konteks ini , saya ingin mengutarakan 5 faktor yang pernah diutarakan oleh Gannicott dan Throsby (1992) untuk memajukan kualiti sesebuah institusi pendidikan untuk dijadikan sebagai panduan iaitu :

Kualiti Pengurusan
Pengurusan yang berkualiti terletak ke atas kualiti pengetuanya. Ketua yang berkualiti ialah yang mengamalkan lead management. Ketua yang demikian mempunyai pandangan yang jelas tentang peranan mereka dan memahami sifat-sifat tabii manusia. Mereka mempunyai wawasan untuk memaju dan mengembangkan potensi manusia dan bukannya semata-mata untuk mencapai matlamat lulus dalam peperiksaan. Mereka memberikan sokongan penuh untuk memajukan pendidikan melalui penyediaan bahan-bahan yang mencukupi dan khidmat bantuan secara langsung. Walau bagaimanapun orang yang sedemikian adalah sukar untuk dijumpai sekiranya mereka tidak memiliki platform yang diutarakan oleh Deming dan Glasser.

Kualiti Guru
Hasil pembelajaran yang berkualiti, banyak bergantung kepada kualiti seseorang guru. Kualiti seseorang guru itu bergantung kepada pengalaman, tahap pendidikannya dan kualiti peribadi. Menurut Goldhaber dan Brewer (1996) “… We find that students of more experienced teachers have higher scores; …” dan guru-guru yang mempunyai BA atau MA dalam bidang masing-masing “… has a statistically significant positive impact on students’ achievement…” Di samping itu, guru-guru berkenaan seharusnya memiliki kualiti diri yang baik iaitu mengamalkan lead management (Glasser, 1998(a)(b)) dalam pengajaran mereka supaya dapat membantu pengembangan potensi pelajar – pengembangan menguasai kandungan. Guru-guru yang berkualiti tersebut amat diperlukan seawal usia persekolahan lagi (di sekolah rendah) (Gannicot dan Thorsby, 1992; dan Glasser, 1998 (b)). Mengapa? Sebabnya ialah, pembentukan anak-anak lebih mudah dilakukan daripada kecil seperti kata pepatah Melayu melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Walau bagaimanapun hal ini tidak terjadi dalam kebanyakan negara yang sedang membangun termasuklah negara ini. Di Malaysia, kesemua guru-guru sekolah rendahnya hanyalah memiliki kelulusan minimum iaitu SPM dan STPM dan kemudian mereka dilatih di maktab-maktab perguruan untuk peringkat sijil - hanya baru-baru ini diperkenalkan peringkat diploma. Hal ini berbeza dengan negara-negara maju, guru-guru terdiri daripada lepasan ijazah yang mempunyai kepakaran dalam pendidikan kanak-kanak.


Bahan-Bahan Pembelajaran
Gannicot dan Thorsby (1992) mendapati bahawa negara-negara sedang membangun mengalami kesulitan dalam memenuhi keperluan bahan-bahan ini seperti buku teks. Keadaan ini lebih buruk lagi di sekolah-sekolah luar bandar. Fenomena ini memberi implikasi kualiti pendidikan yang rendah di kalangan masyarakatnya. Kualiti pendidikan yang rendah menyebabkan kualiti masyarakatnya pun rendah dan kesannya tahap masyarakatnya juga akan terus kekal rendah (vicious circle). Sungguhpun demikian, di Malaysia bahan-bahan pembelajaran seperti buku teks ini disediakan oleh kerajaan dan jika hendak dipertikakan pun mungkin hanyalah daripada sudut kandungannya sahaja.


Reformasi Dalam Kurikulum
Kurikulum di kebanyakan negara yang sedang membangun adalah berpusat kerana ia dikuasasi oleh kerajaan pusat (kuasa politik). Walau bagaimanapun seseorang pengurus pendidikan yang berkualiti boleh mengamalkan pendekatan kreatif tanpa mengubah kurikulum, misalnya seperti kalau selama ini pengajaran sekolah-sekolah tertakluk semata-mata kepada huraian sukatan yang ditetapkan untuk memenuhi keperluan peperiksaan, maka kali ini kita boleh menukarkannya kepada yang lebih berpusatkan kepada pelajar seperti mana idea yang diutarakan dalam pedagogi sekolah bestari. Platform yang digunakan dalam konteks ini adalah mirip kepada platform Deming. Hal ini bermaksud, sekolah memerlukan pengetua dan lead teachers yang berkualiti untuk mengubahsuai pendekatan kurikulum (Glasser, 1998(a)(b)). Oleh itu, walaupun kurikulum direformasikan tetapi jika tidak ada turut serta dalam reformasi platform pentadbir dan lead teachers tersebut kurikulum itu hanya tinggal kurikulum sahaja.


Isu Penggunaan Bahasa Dalam Pengajaran
Di Malaysia, bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dijadikan sebagai bahasa pengantar manakala bahasa Inggeris pula sebagai bahasa kedua. Kedua-dua bahasa ini diajar di sekolah sejak dari sekolah rendah lagi berbanding dengan negara-negara sedang membangun yang lain (Gannicot dan Thorsby, 1992). Penggunaan bahasa kebangsaan ini terletak di atas andaian supaya para pelajarnya dapat memahami kandungan pelajaran. Hal ini memang ada kebenarannya kerana bahasa yang digunakan hari-hari iatulah lebih cepat memahami kandungan pelajaran. Walau bagaimanapun, dalam menghadapi dunia globalisasi penguasaan bahasa tempatan sahaja adalah tidak memadai (Ohmae, 2000). Oleh itu penguasaan bahasa tempatan dan bahasa kedua (bahasa Inggeris) adalah sama penting terutamanya di negara ini kerana keupayaan pelajar menguasai bahasa-bahasa tersebut memudahkan mereka dalam alam lepas persekolahan. Justeru kini dilaksanakan PPSMI iaitu pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Salam Cikgu Azman,

    Ada satu lagi faktor cikgu lupa masukkan, iaitu faktor kewangan. Pada pendapat saya, di zaman ini, wang menggambarkan segalanya.

    Bolehkah kita membina sebuah institusi pendidikan kelas pertama dengan hanya menggunakan bajet yang rendah? Bagi saya, jawapannya sangat jelas iaitu tidak.

    Kalau begitu, bolehkah institusi bajet rendah tersebut melahirkan pelajar berminda kelas pertama? Sudah pasti juga, tidak.

    Bagi saya, apa yang menjadi kekangan terbesar yang telah memperlambatkan proses kemajuan di Malaysia, ialah wang atau bajet.

    Cuma 2 sen dari saya. Bagaimanapun, blog yang sangat baik dan teruskan usaha cikgu.

    Nazry Salam
    Ahli akademik UTM

    ReplyDelete