ELAK SEKOLAH DARI DAKWAAN (2)


1.1 Menepati Kehendak Undang- undang, Akta serta Peraturan

Sistem persekolahan di Negara kita dikawal secara pusat oleh Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Ordinans-ordinans Pelajaran 1950, 1952, 1957, 1959. Apabila melaksanakan tugas-tugas harian di sekolah, pengetua hendaklah memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan berkenaan dipatuhi oleh semua pihak supaya dilindungi dari apa jua bentuk dakwaan yang dihadapi.

1.1.1 Melaksanakan Kurikulum Kebangsaan Satu Kewajiban

Kurikulum Kebangsaan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan hendaklah digunakan di semua sekolah. Schools (Courses of Studies) Regulations, 1956, The Education Ordinance, 1952 dan Peraturan 18, Akta Pendidikan 1996 telah menetapkan mata-mata pelajaran dan kurikulum yang perlu diikuti. Pengetua mesti memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pengajaran ekstrimis diadakan di sekolah. Dalam Surat Pekeliling 12/1999, pihak sekolah diingatkan, di antara lain, bahawa buku-buku teks yang diperakukan oleh Kementerian Pendidikan wajib digunakan di semua sekolah kerajaan. Selain daripada itu, rekod pengajaran guru mesti disediakan dengan sempurna pada sepanjang tahun demi melindungi guru dari dakwaan.

1.1.2 Melaksanakan peraturan disiplin


Menjaga dan mengawal disiplin pelajar merupakan tanggungjawab pihak sekolah yang penting. Jika pelajar-pelajar berdisiplin baik, maka suasana selamat dan kondusif dapat diwujudkan untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Sebaliknya disiplin yang teruk, keganasan yang berleluasa dan ancaman berbagai rupa akan menghasilkan sekolah yang tidak selamat. Apabila melaksanakan tugas mengawal disiplin dan mengenakan tindakan disiplin terhadap salah laku pelajar, pengetua mesti memastikan bahawa tindakan-tindakan yang diambil tersebut adalah berdasarkan kuasa dan peraturan-peraturan yang diperuntukkan dalam dalam Akta Pendidikan 1996 (Perkara 3, 7, 8); Education (Schol Discipline) Regulations, 1959, Education Ordinance, 1957; Surat-surat Pekeliling Bil. 1/1972, Bil. 9/1975, Bil. 8/1983, Bil. 8/1988, Bil. 4/1991, Bil. 3/1993, dan Bil. 4/1996.

Sekolah dikehendaki mengadakan peraturan-peraturan disiplin sendiri tetapi peraturan-peraturan tersebut tidak boleh bercanggah dengan bidang kuasa dan peraturan-peraturan yang diberikan dalam Akta, Ordinans dan Surat-surat Pekeliling Ikhtisas yang sedia ada. Semua pelajar hendaklah diberikan dan dijelaskan segala peraturan disiplin bertulis yang berkuatkuasa di sekolah.

Apabila mengambil tindakan Corporal Punishment dan membuang pelajar dari sekolah kerana salah laku pelajar, tatacara yang diberikan dalam Education (ScholDiscipline) Regulations, 1959, Education Ordinance, 1957, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1972 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/1983 hendaklah diikuti oleh pihak sekolah.

Prosedur ringkas mengambil tindakan disiplin terhadap salah laku pelajarDalam kes Meor Atiqul Rahman Ishak & Ors. v. Fatimah Sihi & Ors, tiga orang murid telah dikenakan tindakan buang sekolah kerana tidak mematuhi arahan pengetua dan terus memakai serban ke sekolah walaupun telah banyak kali ditegur. Tetapi Hakim mahkamah telah memutuskan bahawa pengetua telah bertindak luar dari peraturan yang ada. Oleh itu, pengetua dan kerajaan Malaysia dipersalahkan dan dikehendaki membayar ganti rugi kerana telah dua tahun tiga pelajar tersebut tidak dibenarkan ke sekolah semasa menunggu keputusan mahkamah.

Dalam satu lagi kes yang berlaku baru-baru ini (tidak dibawa ke mahkamah lagi), pihak sekolah telah pun memotong lengan panjang sekumpulan pelajar selepas mereka masih mamakai baju berlengang panjang walaupun dilarang oleh sekolah. Selain itu, adalah didakwa bahawa pelajar-pelajar perempuan telah dijatuhkan maruah mereka semasa proses pemotongan lengan dilakukan. Persoalannya ialah adakah pihak sekolah telah bertindak mengikut kuasa yang diberi dan peraturan yang sedang berkuatkuasa?

Dalam kes Mahadevan N v. Anandarajan & Others (1973) pula, Mahadevan (plaintif) telah dibuang sekolah oleh pengetua kerana salah laku yang serius dan setelah pertimbangan yang wajar. Hakim-hakim Privy Council memutuskan bahawa pengetua tersebut telah pun bertindak mengikut undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu. Yang penting di sini adalah pengetua berkenaan dapat dilindungi, walaupun didakwa, kerana bertindak mengikut prosedur yang tepat.

Ringkasnya, semasa mengambil tindakan disiplin dan untuk melindungi pihak sekolah daripada didakwa, pengetua perlu memastikan i) Prinsip Natural Justice, ii) prosedur tindakan yang tepat dan direkodkan dan, iii) jenis hukuman yang berpatutuan dan bersifat pendidikan (Ingraham v. Wright,) sahaja boleh dikenakan. Prinsip Natural Justice memerlukan pihak sekolah memastikan bahawa apabila membuat pertimbangan untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas pelajar, maka a) pelajar mesti diberi peluang untuk membela diri dan, b) tindakan disiplin mesti dikenakan tanpa bias atau pilih kasih (no bias or prejudice). Prosedur hukuman yang dikenakan harus tepat dan jenis hukuman hendaklah adil, setimpal, dan bersifat pendidikan. Kes-kes disiplin yang serius dan berbentuk jenayah mesti dilaporkan kepada pihak polis.

1.1.3 Isu Hak Cipta dan Isu-isu Lain

School (Magazines) Regulations, 1958, Education Ordinance, 1957 menggariskan peraturan-peraturan yang hendak dipatuhi oleh pihak sekolah dalam hal penghasilan majalah sekolah. Pengetua hendaklah memastikan peraturan tersebut diikuti dan menentukan pelajar-pelajar dan guru-gurunya tidak melanggar undang-undang berkaitan dengan hak cipta.

Pengetua perlu melindungi para pelajar dan guru dari ancaman penceroboh dan pelawat yang tidak berhak berada di kawasan sekolah mengikut undang-undang yang ada. Pelajar-pelajar harus juga dilarang terlibat dalam sebarang kegiatan politik.

Apabila aktiviti atau program diadakan untuk mengutip derma dan tajaan, peraturan-peraturan yang harus diikuti adalah termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1977, Bil 6/1988 dan Bil. 7/1993. Hadiah dari luar negeri mesti diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1992).

1.2 Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan

Dalam kes Tan Tek Seng v. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor., appellant adalah seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah dan beliau telah ditugaskan untuk menyerahkan duit gaji sebanyak RM3,179.00 kepada seorang tukang kebun yang telah tidak hadir bekerja selama beberapa bulan. Tetapi, beliau telah menyimpan duit tersebut sendiri, iaitu, tidak diserahkan kepada penerima yang sah. Belaiu kemudiannya didakwa ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah (criminal breach of trust). Akhirnya beliau didapati bersalah dan dibuang kerja. Daripada kes ini, jelas bahawa akibat yang perlu ditanggung oleh sesorang pegawai yang menyeleweng adalah sangat serius.

Untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang boleh mengakibatkan dakwaan sivil dalam pengurusan kewangan sekolah, pengetua hendaklah mewujudkan suatu sistem pengurusan kewangan yang lengkah, teratur, dan mampu mengelakkan segala kemungkinan penyelewengan berlaku untuk diguna pakai oleh sekolah. Sistem tersebut perlu didokumentasikan dan difahami oelh semua pihak yang berkenaan. Pengetua juga perlu memastikan bahawa semua prosedur dan peraturan dalam Arahan Perbendaharaan dipatuhi. Sistem kutipan wang daripada pelajar hendaklah jelas diketahui oleh semua guru dan kakitangan kewangan lain. Prosedur pembelian, pembayaran, penyimpanan stok, perakaunan dan pengauditan hendaklah sistematik. Pematuhan prosedur-prosedur adalah untuk mengelakkan sebarang jenis penyelewengan yang mungkin berlaku. Pengetua mesti mengamalkan sikap tegas, jujur dan amanah supaya dapat melindungi sendiri dan kakitangan berkaitan dengan urusan kewangan dari dakwaan jenayah.

Kesimpulannya, pihak sekolah boleh didakwa ke mahkamah atas tuduhan kecuaian yang menyebabkan murid tercedera akibat kemalangan yang berlaku di sekolah. Untuk melindungi pihak sekolah dari dakwaan tersebut, pengetua perlu memastikan

(a) bahawa beliau sendiri, guru-guru dan staf sokongan lain mengetahui dan mematuhi segala peraturan, prosedur dan arahan yang terkandung dalam Akta, Ordinans dan Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan, (b) sekolahnya telah mengenalpasti segala aspek/tugas yang mereka bertanggungjawab untuk laksanakan(identify areas of duty of care), (c) semua pihak mengambil langkah-langkah “kewajiban berjaga-jaga” yang munasabah (exercise reasonable care) untuk mengelakkan segala kemalangan yang dapat dijangkakan, (d) semua pihak tahu prosedur dan sentiasa bersedia untuk menangani kemalangan yang berlaku. (e) merekodkan peristiwa-peristiwa dan segala insiden yang berlaku dengan tepat dan sempurna.

Selain daripada itu, pengetua perlu memastikan bahawa segala tindakan disiplin yang dikenakan ke atas salah laku murid dilakukan mengikut peraturan. Langkah-langkah juga perlu diambil untuk mengelakkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan supaya pihak sekolah dapat dilindungi dari dakwaan sivil atau jenayah. Sekiranya semua langkah telah diambil untuk menjamin keselamatan murid-murid di sekolah dari aspek fizikal, mental, emosi dan rohani dalam usaha mewujudkan sekolah selamat, saya berpendapat semua bentuk dakwaan harus dapat diselesaikan sebelum dibawa ke mahkamah.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Malangnya pihak pentadbir khususnya pengetua dan penolong kanan tidak profesional tetapi tetap selamat dari semua penyalahgunaan kuasa kerana wujudnya pengamalan kronisme secara berleluasa...mereka inilah perosak bangsa dan negara.

    ReplyDelete