PENTINGNYA PENGETAHUAN PERUNDANGAN KEPADA PENGURUS SEKOLAH


Dewasa ini mengurus sekolah bukan lagi dianggap satu aspek yang mudah semudah tanggapan masyarakat satu ketika dahulu yang menyatakan profesion keguruan sebagai kerjaya yang mudah kerana banyak cuti sekolah. Kini mengurus sekolah adalah satu cabaran yang maha hebat selaras dengan dinamika bidang pendidikan itu sendiri. Masyarakat kini dianggap lebih celik termasuklah dari segi perundangan. Tidak hairanlah kalau di media sering dipaparkan kes-kes yang melibatkan ibu bapa-sekolah seperti guru disaman, guru menyaman ibu bapa di samping aduan-aduan rasmi dan tidak rasmi berkaitan pendidikan yang diterima oleh pelbagai agensi berkaitan pendidikan.


Senario ini ini janganlah dijadikan alasan oleh golongan pendidik terutama pengetua dan kepimpinan sekolah untuk tidak melakukan sesuatu pembaharuan dan pembangunan di sekolah. Aktiviti membangunkan sekolah tidak boleh terhenti hanya disebabkan alasan perundangan ini.Sebaliknya pengetua dan guru-guru hendaklah menerima ini sebagai satu cabaran agar mereka sentiasa bertindak profesional dengan melakukan sesuatu tindakan mengikut undang-undang sepenuhnya dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Satu aspek yang seharusnya diberi penekanan berkaitan perkara ini ialah pendedahan terhadap aspek perundangan dalam pendidikan dan pengurusan kepimpinan pendidikan kepada pemimpin pendidikan di semua peringkat termasuk Pengetua/Guru Besar dan guru-guru di sekolah. Ia boleh dilaksanakan melalui kursus/seminar/bengkel berkaitan dengannya dengan memasukkan elemen-elemen yang berkaitan dan ianya perlu dijadikan sebagai antara aktiviti/program wajib untuk guru-guru setiap tahun. Guru sentiasa perlu disegar dan dibugar untuk terus celik dan peka terhadap aspek undang-undang dalam pendidikan. Justeru apabila ini dapat dilaksanakan, Pengetua/Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan dan guru-guru di sekolah tidak akan mengurus sekolah secara ikut-ikut, dengar-dengar dan budi bicara sendiri.
Sekolah mampu diurus dengan baik dan cekap sekiranya ianya dikendalikan sebagaimana yang ditetapkan dalam peraturan dan undang-undang.


Sudah pastinya apabila kita menyebut tentang peraturan/undang-undang, kita perlu memahami dan menguasai kandungan dalam Akta Pendidikan 1996, Peraturan-Peraturan Pendidikan berkaitan Akta Pendidikan 1996 di samping surat-surat pekeliling/siaran termasuklah Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dari tahun 1969 hingga kini, Pekeliling Perbendaharaan, Pekeliling Perkhidmatan, Perintah Am dan lain-lain surat siaran yang berkaitan. Persoalannya adakah guru-guru malah pemimpin pendidikan termasuk Pengetua/Guru Besar dan middle managers di sekolah terdedah dan memahami undang-undang dan peraturan yang disebutkan di atas semasa mengurus sekolah. Memahami dan mengikut prosedur/undang-undang memang merumitkan dan meletihkan sebab semua peringkat tindakan wajar mengikut prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan, tetapi setelah kita sudah biasa dengan cara itu, itulah akhirnya menjadi cara yang akan membantu kita melicinkan serta menambahkan kecekapan kepada tindakan kita untuk mengurus tadbir sekolah. Kesukaran hanyalah kesan sementara kerana kita belum biasa, tetapi akhirnya tidak ada pihak yang akan teraniaya dan terseret ke mahkamah kerana tersilap langkah dengan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sah di sisi undang-undang. Kalau selama ini guru hanya melakukan sesuatu kerana kebiasaan kini guru benar-benar melaksanakannya kerana menurut peraturan dan peruntukan undang-undang. Contohnya, guru yang membawa murid-murid terlibat dengan lawatan (pelancongan) di dalam atau luar negeri perlu mematuhi peraturan-peraturan berkaitan dengannya iaitu PERATURAN (MELANCONG) 1957 “The School (Tour Regulations 1957), SPI 12/2000 - Lawatan Pendidikan Murid Pada Hari Persekolahan dan SPI 5/2002 - Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan. Semua perkara berkaitan prosedur lawatan dinyatakan dengan jelas sebelum, semasa dan selepas lawatan. Justeru tiada siapa yang akan rasa tidak puas hati baik di pihak guru, pelajar mahupun ibu bapa kerana semuanya dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang. Apa yang penting setiap perkara yang kita laksanakan akur dengan punca kuasa yang ada iaitu peraturan/prosedur yang ditetapkan.


Kesimpulannya, pengetahuan terhadap asas-asas perundangan pendidikan amatlah penting untuk mengurus pelbagai bidang di sekolah – pentadbiran, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, kewangan dan sebagainya.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment