8 Disember 2008 akan datang kita akan menyambut Hari raya Haji @ Hari Raya Korban. Walaupun ia tidak semeriah Hari Raya Aidil Fitri, tetapi mesej Hari Raya Aidil Adha cukup signifikan dan memberi pengajaran agung untuk manusia mencapai kejayaan.
Antara mesej utama Aidil Adha ialah PENGORBANAN. Bercakap sahaja tentang Hari Raya Aidil Adha, pasti akan associate dengan KORBAN. Maka terlintaslah di kepala kita, majlis sembelih lembu, unta dsb. Soalnya, adakah mesej Hari Raya Haji terhenti di situ. Sejarah Hari raya Korban rasanya sudah banyak kita dengar - Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.
Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut.
Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, "...Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"
Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:..."Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar."(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.
Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.
Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.
Jika pada Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri.
Dengan demikian, ibadat penyembelihan korban di Aidil Adha bukan sahaja sebagai tanda shukur nikmat Allah SWT yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya terkandung rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama golongan umat Islam, juga mampu merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta.
Jadi apa maknanya KORBAN? Kadang-kadang kita salah faham tentang erti korban. Kita anggap, bila kita memberi sesuatu pada orang, maka itulah pengorbanan. Mungkin ‘YA’, tetapi ‘TIDAK’ jika sesuatu yang diberikan itu kita memang dah nak buang atau dah tak nak lagi. Itu bukannya pengorbanan. Nabi Ibrahim bukannya tak nak lagi pada Nabi Ismail. Masing-masing saling memerlukan dan menyayangi. Tetapi mereka tetap sedia memberi. Oleh itu, pengorbanan ialah KESEDIAAN MEMBERI SESUATU YANG KITA SUKA, YANG KITA SAYANG.
Sebagai mempelajari roh pengorbanan sempena Aidil Adha, untuk berjaya maka kita mesti sedia berkorban. Manusia secara fitrah suka berseronok-seronok dan bersuka-ria. Tetapi adakalanya kita mesti mengorbankan yang kita suka untuk mendapat sesuatu yang lebih baik iaitu KEJAYAAN. Semua orang suka kepada senang-lenang, kemewahan… tetapi adakalanya ia melekakan kita lalu menyimpang dari jalan kejayaan. Oleh itu, kita kena berkorban dengan bersusah-susah sedikit dan sekejap untuk KEJAYAAN.
Selamat Hari Raya Aidil Adha… Bersediakah kita untuk BERKORBAN. Kata Optimus Prime, “NO SACRIFICE, NO VICTORY”
0 comments:
Post a Comment