Meminta maaf adalah dua perkataan yang ringkas tetapi sukar dilafazkan oleh kebanyakan orang. Malah, bagi kanak-kanak atau remaja, tindakan meminta maaf mungkin tidak wujud dalam kamus hidup jika tidak 'diperkenalkan' terlebih dahulu oleh ibu bapa.
Perunding dan penceramah etika perniagaan terkemuka, Lauren Bloom pernah berkata, meminta maaf adalah satu kemahiran sosial yang penting. Katanya, kanak-kanak yang belajar 'etika' ini bakal menjadi manusia yang efektif dalam apa jua keadaan apabila dewasa nanti.
Kita semua melakukan kesalahan. Ini adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan. Tapi, kesalahan atau kesilapan kecil yang kita buat mungkin memberi impak berlanjutan kepada orang lain jika tidak disusuli dengan maaf. Mendidik anak meminta maaf apabila berlaku kesilapan boleh membantu mereka memahami pentingnya sebuah hubungan dan menghormati orang lain.
Jika begitu situasinya, apakah langkah mudah untuk membiasakan anak meminta maaf apabila perlu? Tunjukkan kepada anak bagaimana kata maaf boleh dilafazkan. Misalnya, apabila anda tidak sengaja menumpahkan makanan, katakan: "Minta maaf ya. Mama tak sengaja." Kata-kata ini mungkin nampak ringkas tetapi jika diaplikasikan pada kesalahan lain, ia akan melekat dalam pemikiran anak.
Apabila meminta maaf, bahasa tubuh dan renungan mata juga penting dan boleh berkata-kata. Kata maaf yang disertakan dengan renungan mata menunjukkan rasa kesal si pengucap. Genggaman tangan dan pelukan erat juga boleh menjadi ikutan anak jika anda meminta maaf dengan bahasa tubuh seperti itu. Namun, tegaskan kepada anak bahawa pelukan seperti itu bagaimanapun hanya boleh diberikan kepada orang terdekat seperti ahli keluarga sendiri. Salaman ringkas pula ditujukan kepada kenalan. Sesungguhnya, bahasa tubuh adalah kaedah berkomunikasi yang lebih efektif sebelum seseorang melafazkan kata-kata maaf.
Selain itu, anak perlu mengetahui erti bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukannya. Misalnya, jika anak merosakkan barang mainannya, maka, setelah meminta maaf, dia patut berkata: "Mak, saya tahu saya salah. Saya tidak akan ulangi perbuatan yang sama lagi." Hanya dengan cara ini, anak tahu dirinya salah dan perlu bertanggungjawab terhadap kesilapan diri.
Kata maaf yang diucapkan tidak tinggi maknanya tanpa penghargaan daripada si penerima. Justeru itu, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa memberi tanda menghargai menerusi pujian. Sebagai contoh, katakanlah: "Wah, pandainya nak. Baiklah, mak maafkan, ya." Tindakan ini bukan sahaja boleh melegakan rasa si peminta maaf, malah boleh menguatkan lagi hubungan sesama manusia.
Dalam pada itu, apakah yang akan berlaku jika anak yang bersalah tidak biasa meminta maaf? Pertama, anak mungkin terpaksa berdepan dengan situasi diasingkan daripada kelompok rakan sebaya atau pergaulannya mungkin menjadi terbatas. Keadaan ini sekali gus boleh menjejaskan perkembangan sosialnya. Jadi, apa sekali pun alasannya, percayalah, etika meminta maaf yang dipelajari sejak kecil boleh memanfaatkan empunya badan apabila dewasa kelak.
0 comments:
Post a Comment