CUTI SEKOLAH

CUTI akhir persekolahan akan bermula esok. Seperti biasa, cuti akhir tahun kali ini juga panjang, iaitu satu setengah bulan. Dalam pengertian mudah, cuti sekolah memberi peluang anak-anak dan guru berehat. Justeru tidak wajar jika mereka diminta datang ke sekolah untuk belajar dan mengajar.

Bagaimanapun, ada sekolah yang mengambil keputusan mengadakan kelas dalam masa cuti, terutama untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan. Keputusan sedemikian tentulah tidak begitu digemari ramai guru. Ia boleh mengganggu perancangan masa cuti mereka. Berilah peluang guru pulang ke kampung menziarah ibu bapa masing-masing. Malah dalam konteks kerja guru, ramai ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti melibatkan pendidikan seperti membuat pemeriksaan kertas peperiksaan awam, mengawas peperiksaan awam, membuat perancangan untuk sesi tahun berikutnya dalam semua bidang sama ada kurikulum, kokurikulum, bertugas secara giliran di sekolah dan sebagainya, malah ada sebahagian guru masih terlibat dengan aktiviti kokurikulum melibatkan pelajar yang membabitkan bukan sahaja penganjuran oleh Kementerian Pelajaran Malaysia atau penganjuran bersama agensi/badan/NGO lain. Malah sebahagian guru di kebanyakan sekolah terlibat dengan aktiviti luar bilik darjah seperti penganjuran lawatan sambil belajar oleh murid-murid sekolah. Begitupun, bagi sekolah yang memilih untuk mengadakan kelas pada masa cuti panjang ini, kita percaya ia biasanya dilaksanakan secara bijaksana untuk mengelakkan pelajar bosan dan guru pula tertekan.

Ramai ibu bapa yang merancang program sendiri untuk mengisi masa cuti panjang anak masing-masing. Anak-anak sungguh beruntung jika ibu bapa menyenaraikan pelbagai program bermanfaat untuk mereka. Anak-anak juga seharusnya diberi peluang mengembangkan bakat dan hobi mereka yang berfaedah. Ada sesetengah ibu bapa pula memilih menghantar anakanak mengikuti program seperti ’summber camp’’ dan sebagainya di pelbagai lokasi seperti resort, hutan lipur dan sebagainya. Ini juga merupakan satu pendekatan yang baik kerana anak-anak dapat beriadah sambil menimba ilmu untuk kemajuan diri mereka sendiri. Bagaimanapun, adalah keterlaluan jika ada ibu bapa yang menentukan hampir semua masa cuti untuk anak mereka dengan belajar seperti mengikuti kelas tuisyen setiap hari.

Antara pengisian masa cuti yang biasanya menggembirakan anak-anak ialah melancong. Sekarang ramai ibu bapa menyahut seruan kerajaan melalui kempen Cuti-cuti Malaysia. Anak-anak menerima banyak pengalaman baru apabila melawat sesuatu tempat atau negeri lain. Apa salahnya setelah 10 bulan setengah bersekolah mereka diberikan insentif untuk mengikuti lawatan atau melancong bersama keluarga masing-masing.

Ada juga sesetengah ibu bapa yang menganggap cuti sekolah panjang ini sebagai membeban dan mendatangkan masalah. Anak-anak tidak terkawal, mereka menjadi nakal, merayau, melepak, merokok dan terbabit dalam lumba haram. Mereka jarang-jarang berada di rumah. Amat menyedihkan apabila ada anak-anak pulang ke rumah lewat malam. Keadaan sedemikian berlaku kerana sikap ibu bapa sendiri yang tidak mengambil berat memikirkan pengisian masa cuti.

Kanak-kanak normal sememangnya tidak boleh memerap di rumah untuk tempoh yang lama tanpa terbabit dengan sesuatu kegiatan. Oleh itu, alangkah baiknya jika ibu bapa dan masyarakat dapat merancang pengisian masa cuti secara bersama. Tidak kira di mana tempat tinggal sama ada di kampung tradisi, tanah rancangan, taman perumahan atau kampung nelayan, sekiranya wujud kerjasama sesama penduduk banyak kegiatan berfaedah dapat dilaksanakan sepanjang cuti sekolah. Kenapa tidak diguna dan dimanfaatkan segala kemudahan dan prasarana sedia ada di kawasan masing-masing? Semua kawasan ada masjid atau surau, padang permainan dan dewan. Malah dengan sedikit daya usaha, tentu ada pihak yang akan menghulur bantuan kewangan, barangan dan kepakaran bagi menjayakan program dirancang. Malangnya anggota masyarakat lebih terdorong untuk melemparkan tuduhan dan kecaman apabila anak-anak melakukan perkara yang tidak menyenangkan akibat cuti yang panjang daripada bertindak menyediakan pengisian positif. Jangan hanya mengharapkan pihak sekolah yang menganjurkan program untuk anak-anak mereka. Cukuplah anak-anak mengikuti proses pembelajaran selama 10 bulan setengah di sekolah, selebihnya semasa cuti peranan itu perlu dimainkan oleh ibu bapa pula.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

2 comments:

  1. Akum en azman,

    Lama kita tak bersua ya? Insyaallah one of these days kalau ada kelapangan silalah datang ke rumah. Tak jauh pun :)

    Salam dari kawan lama.

    Abdullah Mohd Nawi
    UTM

    ReplyDelete
  2. OK nanti kita boleh jumpa... selalu juga tanya-tanya khabar dari siti.....

    azman

    ReplyDelete