GURU BARU : SATU PENGAMATAN

Hari ini saya menghadiri majlis penyerahan guru baru (Guru Sandaran Siswazah Terlatih atau disebut GSST) yang ditempatkan di sekolah-sekolah menengah. Mengimbas apa yang pernah guru sebelum ini lalui amat berbeza dengan apa yang dialami oleh guru sekarang. Dahulu, penempatan guru tidak dilaksanakan seperti kini yang serba serbi mudah, selesa dan sentiasa dibantu. Guru disambut oleh PPD di Jabatan Pelajaran Negeri, seterusnya disediakan pengangkutan untuk dibawa ke daerah sebelum diserahkan kepada Pengetua sekolah berkenaan yang turut menyediakan kemudahan pengangkutan ke sekolah. Di sekolah jawatankuasa peringkat sekolah telah mengenalpasti kemudahan untuk guru baru termasuk kemudahan penginapan buat sementara dan lain-lain kemudahan sama ada yang diberikan oleh pengurusan sekolah atau Kelab Bilik Guru. Dahulu, guru perlu ‘pandai pandai sendiri’ mencari sekolah di mana ditempatkan sama ada menaiki kenderaan sendiri, dihantar keluarga atau menaiki bas/teksi. Tiada pegawai baik JPN atau PPD yang menunggu dan menguruskan penempatan. Hanya surat tawaran sahaja yang diterima. Apabila tiba di sekolah yang serba asing, guru perlu memikirkan di mana dan tinggal atau menyewa. Kalau nasib baik dapatlah tinggal sementara dengan rakan-rakan bujang atau jika sekolah ada asrama dapatlah menumpang sementara di rumah warden. Kemudahan meja juga kadang-kadang kurang selesa – satu meja kadang-kadang berkongsi lebih seorang. Gaji pula dah pasti selepas 3 bulan baru dapat dan dalam tempoh itu ikat perutlah jawabnya. Dahulu jangan mimpilah kalau nak dapat ‘posting’ kat kampong sendiri – kalau dapat kira memang cukup bertuahlah tetapi kini penempatan guru amat ‘mesra guru’, seboleh-bolehnya jika guru mohon bertugas di negeri sendiri akan cuba ditunaikan kecuali atas kekangan tertentu termasuk opsyen dan keperluan perkhidmatan lain.


Kalau inilah perbezaan antara senario penempatan guru dahulu dan kini, maka guru kini adalah golongan yang cukup bertuah. Justeru kumpulan guru baru ini hendaklah bersyukur dengan apa yang dinikmati. Kemudahan yang dinikmati hendaklah dibalas dengan komitmen yan dedikasi yang tinggi untuk berbakti dan menyumbang kepada kecemerlangan sekolah tempat mereka mengajar. Perlu diingat, tanpa murid di sekolah maka tiadalah kerja atau profesion sebagai guru. Kadang-kadang kita mendengar rungutan guru-guru baru apabila mula ditempatkan – antaranya merungut kerana tidak dapat mengajar mengikut opsyen, merungut kerja terlalu banyak, gaji lambat dapat walaupun kadang-kadang disebabkan guru itu sendiri, komitmen terhadap kerja rendah, tidak sukakan murid, sukar bergaul dengan guru senior/lama, sombong, tidak tahan lasak, enggan mengitring pelajar dalam aktiviti luar bilik darjah, mengelak daripada mengikut kursus/kerja luar dan sebagainya. Cara yang paling mudah mencurah rungutan kepada media masa dan sebagainya. Ini yang selalu kita dengar. Walaupun kita tidak boleh menuduh semua guru baru begitu tetapi perbuatan segelintir guru yang sedemikian sebenarnya menyebabkan imej guru baru lain yang mempunyai komitmen tinggi terjejas.


Kadang-kadang keadaan ini berlaku kerana segelintir guru yang menjadi guru bukan memiliki minat mendalam terhadap kerja-kerja guru sebaliknya yang penting selepas keluar universiti mendapat pekerjaan yang menjamin kehidupan mereka. Malah ada sebahagian guru yang menjadi guru kerana tidak serasi dengan kerja lain di sektor swasta umpamanya yang sangat mencabar dan memerlukan komitmen/prestasi kerja yang sentiasa tinggi.

Oleh itu seruan saya kepada rakan-rakan sejawat yang baru menceburi profesion ini, peliharalah imej dan tunjukkan keupayaan yang tinggi secara berterusan untuk mendidik anak bangsa kita. Sekali menjadi guru maka ini adalah profesion yang kita akan jiwai dalam kehidupan sehingga hari tua iaitu sebagai seorang pendidik. Semoga kita akan terus menjadi pendidik yang sejati dan sentiasa berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk bersama-sama melahirkan dan membentuk generasi kini yang berguna, berketrampilan dan berwibawa dalam meneruskan gerbang kehidupan untuk episod hidup yang bakal menjelang tiba.

Akhirnya saya teringat kepada nasihat Pengetua saya yang pertama sewaktu saya mula ‘posting’ dahulu yang menyatakan teacher must CARE:

C - COMMUNICATION SKILLS
A - ATTITUDE: GOOD
R - RECOGNIZE STUDENTS AND OTHER TEACHERS NEEDS
E - ENCOURAGE STUDENTS TO LEARN

Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment