PERANAN bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di alam Nusantara bukanlah suatu perkara baru, sebaliknya ia sudah tercatat dalam sejarah sejak hampir 700 tahun lalu.
Ahli sejarah Belanda yang terkemuka, Francois Valentijn pernah menyatakan bahawa, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa bertaraf antarabangsa sejak zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu kira-kira 500 tahun lalu. menurutnya, bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan segala negeri timur. Ia sebagai bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah. Atau sebagai lingua franca di Itali.
Sehubungan itu, tiada alasan mengapa bahasa Melayu harus diketepikan dengan sebegitu mudah, malah tidak dihargai pula oleh rakyat negara ini termasuklah pihak-pihak berkuasa kerajaan-kerajaan negeri. Isu-isu seperti pencemaran bahasa sama ada menerusi lagu, filem, drama, teater hinggalah pada tanda-tanda jalan sejak akhir-akhir ini, jelas memperlihatkan senario penyisihan bahasa kebangsaan itu di buminya sendiri.
Kelekaan kita dalam mempertahan serta memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam segenap aspek kehidupan seharian akan menjadikan bahasa ini hanya akan tinggal nostalgia sahaja pada suatu hari nanti. Tidak mustahil jika tiada usaha bersungguh-sungguh bagi mengembalikan semula kegemilangan bahasa Melayu, maka suatu hari nanti kita mungkin hanya akan mengingati khazanah berharga itu misalnya, menerusi seminar atau forum sahaja.
"Sampai bila kita hendak berforum atau berseminar, tetapi pada masa sama tiada tindakan susulan? Sedangkan di luar sana, bahasa Melayu terus diperlekehkan. Semua orang harus bangkit membantu pejuang bahasa, termasuklah juga ahli-ahli politik," kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum melancarkan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kali ke-4 di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.
Dalam hal ini, usaha ke arah itu bukan hanya setakat terletak di atas bahu para kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka semata-mata. Sebaliknya, semua pihak terutamanya kerajaan-kerajaan negeri haruslah menggunakan kuasa yang ada bagi memberi sokongan kepada DBP dan para pejuang bahasa. Kita harus bertanya, apakah sumbangan dan sokongan kita terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu cara bagi mengagumi legasi bahasa warisan ini? mJika tidak, maka suatu hari nanti generasi akan datang memang hanya akan layak mengimbau bahasa Melayu tidak lebih sebagai suatu nostalgia semata-mata.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment