Masih segar di ingatan saya semasa di sekolah rendah dan menengah :
1. Allayarhamah Cikgu Zaharah (yang comel) menghadiahkan saya ‘colour magic’ kerana mendapat tempat pertama dalam setiap kali peperiksaan darjah 1 dan 2.
2. Cikgu Tukiman menarik ‘side burn’ saya kerana tidak hafal sifir 12 semasa dalam darjah 3.
3. Cikgu Hamsan menghadiahkan kami satu kelas 1 rotan setiap orang kerana berbuat bising dalam kelas semasa dalam darjah 4.
4. Allahyarham cikgu Anuar menghadiahkan saya sehelai baju sekolah kerana mewakili sekolah dalam pertandingan pameran dan kuiz sains dan menang tempat pertama untuk sekolah semasa saya dalam darjah 5.
5. Cikgu Maznah memberi bonus ‘cubitan gila’ kerana gagal subjek Matematik kerana dia guru kelas semasa di tingkatan 1.
6. Cikgu Masnah memberi saya duit RM5.00 kerana dapat A1 dalam Bahasa Melayu SRP. Masa tu RM5.00 cukup besar le…
7. Cikgu Markom beri saya RM30.00 kerana jadi satu-satunya pelajarnya yang dapat A1 dalam Geografi SPM.
Itu secebis ingatan suka dan duka menjadi pelajar di alam persekolahan. Apabila mengingati itu semua membatkan saya sedar bahawa saya tidak akan berada di tahap sekarang kalau bukan kerana cikgu-cikgu saya. Kalau tidak kerana dendaan tidak mungkin saya berjaya dan kalau tidak kerana ganjaran tidak mungkin juga saya akan menjadi manusia yang berguna.
Semasa menulis pada malam ini saya menerima panggilan yang nombornya tidak saya kenali. Rupanya bekas anak murid saya yang menghubungi – Alexandra Dawam, pelajar saya tingkatan 5 Prinsip Akaun tahun 1990 di sebuah sekolah di Kota Tinggi. Sekarang telah berjaya – menjadi pegawai polis di Bukit Aman Kuala lumpur. Alex – antara pelajar yang pernah saya tarik ’side burn’nya kerana tidur dalam kelas, yang pernah saya marah kerana banyak dapat ’merah’ dalam peperiksaan dan yang pernah saya rotan kerana tidak membuat tugas Bahasa Malaysia yang saya ajar. Hari ini dia masih lagi mengingati saya dan memperoleh nombor telefon saya yang entah dari mana. Dalam kehidupan seorang guru tidak ada yang menggembirakan selain mendapat khabar anak didiknya menjadi insan yang cemerlang. Terima kasih Alex kerana masih mengingati saya......... walaupun telah berpuluh tahu tidak berjumpa. Moga anda terus berjaya dalam hidup.
0 comments:
Post a Comment