Beberapa hari yang lepas saya dan anak keempat menonton rancangan televisyen - petikan perbahasan di parlimen yang disiarkan oleh saluran televisyen sebuah negara jiran. Apa yang menyentuh perasaan saya apabila anak saya bertanya "Kenapa orang tu bercakap bodoh yah, kan tak baik". Saya terpanggil untuk membicarakan perihal adab berbahasa ini kerana malu seorang anak kecil mampu menilai baik atau sebaliknya standard pertuturan orang dewasa sedangkan orang dewasa yang kononnya matang, berpendidikan tetapi menuturkan bahasa yang memperlihatkan minda yang rendah.
Apabila seorang ahli parlimen memanggil seorang ahli parlimen lain, “Bastard, bloody bastard, monyet dan sebagainya” maka rosaklah decorum ahli parlimen yang mengeluarkan kata makian itu. Terjemahannya adalah lebih kurang begini, ”Anak haram, anak haram jadah.” Tentu sekali ungkapan demikian tidak sesuai dengan orangnya (ahli parlimen), majlisnya (parlimen) dan konteksnya (persidangan parlimen), dan khalayaknya (seluruh ahli parlimen) malah khalayak umum (penonton televisyen).
Di mana budi bahasa kita? Sebagai guru kita tidak pernah mengajar budi bahasa begini. Kita tidak perlu merujuk kepada buku komunikasi barat yang terakhir bagi mendapat panduan. Janganlah jadikan budaya barat sebagai landasan menghalalkan kesantunan berbahasa kita sebagai masyarakat timur. Sekiranya pemimpin yang wajar menjadi idola memaparkan kesantunan berbahasa yang rendah, wajarlah akhirnya masyarakat kita menjadi semakin bobrok dari segi laras dan kesopanan berbahasa.
Natijahnya lihatlah hari ini, bagaimana anak muda berbahasa sesama rakan sebaya dan kepada orang yang lebih tua. Istilah "lu", "gua", bahasa slanga dan lain-lain yang cukup memualkan. Cukup berbeza dengan zaman kita semasa remaja yang cukup menjaga adab sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih dewasa. Selalunya apabila timbul isu sosial seperti ini yang muda untuk dituding ialah sekolah dan apa yang dimainkan oleh para guru/pendidik sedangkan yang paling dominan mempengaruhi semua ini ialah persekitaran termasuk kelakonan masyarakat kita sendiri. Malah apa yang dipaparkan di media elektronik setiap hari banyak mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak kita. Tidak hairanlah kalau anak pelajar yang menulis karangan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat dan dengar daripada kaca televisyen.
Sebagai umat Islam kita perlu menjadikan Al-Quran sebagai pedoman untuk bersopan dalam pertuturan. Daripada al-Quran, Surah ke-31: Luqman, dapat kita belajar apa yang diajarkan oleh Nabi Luqman alaihis salam kepada anaknya supaya tidak sombong dan bongkak di muka bumi ini; Ayat 18: Janganlah anakanda sombong dan memandang hina kepada manusia lain. Dan janganlah anakanda berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan angkuh. Ayat 19: Oleh sebab itu, sederhanakanlah perilaku anakanda apabila berjalan di bumi Allah ini, dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.
Juga dalam Bab 4, Jilid 3 buku Ihya Ulum iddin karangan Imam Ghazali (lahir 1058 M dan meninggal 1111 M) dibincangkan Dosa-Dosa Lidah. Sepotong ayat di dalamnya berkata: “Bahayanya lidah itu adalah bercakap-cakap kosong, bertengkar, mencabar, memarahi orang, menengking, bercakap kasar, memaki, berdusta, memfitnah dan memuji diri, dll.”
Malah allahyarham P. Ramlee agaknya menyedari tentang perkara ini dan menyelitkan elemen kesantunan berbahasa ini dalam satu segmen filem Seniman Bujang Lapok berikut yang boleh kita jadikan renungan dan ingatan bahawa "BAHASA ITU MENUNJUKKAN BANGSA". Sudah sewajarnyalah kita rakyat Malaysia sentiasa memelihara kesantunan berbahasa kita ini.
Petikan dialog: Shamsuddin, ” Hoi! Ini wayang gambar pusingkah, hah?” Benggali, diam. Shamsuddin, “Eh! Lu pun tersampukkah? … Eh! Sudahlah! Mari kita baliklah! Dia orang sini banyak anginlah!” Semua, “Marilah!” Benggali, “Oh, Nama saja orang Melayu! Sikit adat pun tak tahu! Orang punya dekat panggil hoi! hoi! hoi! Saya ini apa? Batukah? Kayukah?” Shamsuddin, “Allah Mak! Benggali itu bahasakan kitalah!” Ramli, “Memang betul dia cakap! Engkau itu mana ada bahasa? Panggil orang hoi! hoi! hoi! Bahasa menunjukkan bangsa, tau!”
Terlajak perahu dapat diundur, terlajak cakap buruk padahnya!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment