Blog mengutarakan komentar, pandangan berkaitan isu-isu pendidikan, pengurusan dan kepimpinan pendidikan dan apa sahaja isu yang relevan untuk dibincangkan.
Hari ini saya sempat mengunjungi sebuah jabatan kerajaan atas satu urusan rasmi. Di pintu masuk ke premis terpampang besar papan tanda “DILARANG MEROKOK”. Namun yang lebih malang orang awam yang masuk ke premis berkenaan seolah-lah tidak mengendahkannya, malah ada sebahagiannya yang membuang puntung rokok mengikut sesuka hati mereka sahaja. Ini adalah amalan rakyat Malaysia yang cukup tidak matang. Walaupun baru-baru ini kerajaan turut meluaskan zon larang merokok meliputi pusat membeli belah namun ianya seolah-olah tiada reaksi daripada perokok-perokok. Ungkapan “merokok mengundang kematian” semacam terlalu biasa kita dengar. Mungkin kerana ungkapan ini sering diperkatakan sehingga kebanyakan perokok bosan mendengarnya. Malah bagi yang merokok, ungkapan seperti ini seolah-olah tidak diendahkan langsung.
Kita maklum bahawa merokok adalah tabiat yang tidak baik sama seperti menghisap dadah dan minum minuman keras. Lebih malang lagi, tabiat merokok telah pun diamalkan oleh kebanyakan kanak-kanak yang masih berada di bawah umur, iaitu bawah 18 tahun. Saya percaya semua orang pasti tahu dan tidak menafikan betapa bahayanya merokok kerana tabiat buruk ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya seperti penyakit kanser paru-paru, penyakit jantung dan “bronchitis”. Malah, terdapat bukti perubatan yang menunjukkan bahawa merokok menjadi punca bagi sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang boleh menyebabkan maut. Perokok-perokok suka menghisap rokok di tempat awam seperti di hospital, stesen bas, pusat beli-belah dan lapangan terbang. Asap rokok mengandungi bahan-bahan kimia yang beracun dan mereka yang berada di sekeliling secara tidak langsung akan terhidu asap rokok yang dihembus oleh perokok. Sebagai contohnya, seorang bapa yang menghisap rokok boleh memberi kesan kepada seluruh ahli keluarganya temasuklah isteri dan anak-anaknya.
Pepatah Melayu pun ada menyatakan bahawa “tidak ada lajak yang tidak boleh diundurkan dan tidak ada simpul yang tidak boleh diuraikan”. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama memikirkan suatu pendekatan yang realistik agar dapat melahirkan masyarakat yang bebas merokok. Dalam hal ini, saya beranggapan bahawa kempen bebas merokok haruslah bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang boleh dicontohi kepada anak-anak dan bukan hanya bertindak “seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul”. Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab mereka dengan menasihati anak-anak agar tidak sesekali untuk cuba merokok. Malah, pergaulan anak-anak dengan rakan-rakan sebaya mereka juga perlu diawasi kerana kebanyakan daripada remaja mudah dipengaruhi oleh tindakan atau perlakuan kawan-kawan mereka, bak kata pepatah “kuning oleh kunyit, hitam oleh arang”. Ibu bapa juga perlu memberi kesedaran kepada anak-anak tentang betapa bahayanya merokok ketika mereka masih kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jelaslah di sini bahawa peranan ibu bapa dalam mewujudkan masyarakat yang bebas merokok amat penting. Institusi pendidikan khususnya sekolah sudah lama menguatkuasakan larangan merokok dan telah dimaktubkan sebagai peraturan sekolah.
Saya juga berpandangan bahawa kerajaan juga perlu memainkan peranannya dalam usaha menangani gejala merokok ini. Dalam konteks ini, pihak kerajaan patut mengadakan lebih banyak kempen antirokok. Kebanyakan daripada kempen antirokok seperti Kempen Tak Nak Merokok, Kempen Hari Tanpa Rokok dan sebagainya hanya dijalankan buat sementara waktu sahaja dan tidak mencapai objektif kempen tersebut. Oleh hal yang demikian, kerajaan patut mempergiat kempen tersebut dari semasa ke semasa dan bukan seperti “hangat-hangat tahi ayam sahaja”. Kempen yang dijalankan pula perlu menarik perhatian orang yang melihat dan mendengarnya dan dijalankan di kawasan tumpuan orang ramai. Untuk melahirkan masyarakat yang bebas merokok, kerajaan Malaysia perlu mengurangkan eksport dan import tembakau sama ada dari dalam atau luar negara.. Pihak-pihak badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu berganding bahu dengan kerajaan dengan mengadakan ceramah atau pameran . Untuk melahirkan masyarakat yang bebas merokok, kerajaan Malaysia perlu mengurangkan eksport dan import tembakau sama ada dari dalam atau luar negara. Di samping itu, saya beraggapan bahawa kerajaan sepatutnya mengharamkan penjualan rokok di negara ini. Kenaikan harga rokok sahaja tidak dapat mengurangkan bilangan perokok kerana perokok-perokok tersebut sanggup membazirkan wang untuk membeli rokok.
Sehingga kini larangan merokok masih kurang dihormati. Kawasan restoran, tandas awam dan kafe masih menjadi tempat pilihan ramai bagi perokok melepaskan asap yang menyesakkan. Maka, kehadiran Inspektor Kesihatan seharusnya sangat dialu-alukan dalam menguatkuasakan larangan merokok. Perokok perlu sedar mereka yang tidak merokok termasuk golongan kanak-kanak juga terdedah kepada bahaya asap rokok. Malah, kesan buruknya kepada kesihatan hampir sama atau lebih tinggi daripada golongan perokok. Cukup menjengkelkan apabila asap rokok dihembus di tempat terbuka tanpa mengambil kira sensitiviti orang sekeliling. Kita boleh perhatikan ia berlaku di banyak tempat termasuk ditetapkan sebagai zon larangan merokok.
Ia seolah-olah menjadi budaya golongan muda remaja sehingga berstatus profesional. Ada juga perokok yang hanya membiarkan debu rokok bertaburan di atas lantai dengan tidak menghiraukan kebersihan setempat. Puntung rokok juga ada kalanya dibiarkan bertaburan sebaik selesai sesi merokok.Perlu diingat kepada perokok supaya memilih kawasan merokok yang jauh daripada pandangan orang awam dan elakkan merokok terutama di kedai makan demi keselesaan bersama. Merokok mungkin terpaksa diterima sebagai hak individu, tetapi kawasan awam yang bebas daripada asap rokok adalah hak semua orang yang perlu dihormati.
Saya bukan anti rokok tetapi seperti ramai rakyat Malaysia yang lain saya juga mempunyai impian melihat Malaysia bebas daripada rokok. Bukan untuk kebaikan saya tetapi demi anak-anak dan demi generasi akan datang. Alangkah baiknya jika masyarakat kita mempunyai lebih orang yang berpendirian sedemikian, khususnya dalam kerajaan hari ini, untuk membantu mencapai impian itu.
This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
0 comments:
Post a Comment