UPSR DAN KE MANA SELEPAS ITU?

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau UPSR telah diumumkan minggu lepas. Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Keputusan ini adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya. Gred Purata Kebangsaan (GPK) untuk tahun ini juga bertambah baik pada pointer 2.36 berbanding purata 2.39 untuk tempoh lima tahun lepas. Di samping 46,641 atau 9.2 peratus calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, 317,404 atau 62.7 peratus calon mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran. Seramai 488,567 calon atau 96.3 peratus daripada jumlah calon telah mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu. Tahniah kepada semua yang telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Bagi yang lain buktikan kemampuan anda semasa PMR nanti dan selepas itu SPM pula.

Apabila menyebut keputusan 5A dalam UPSR ramai ibubapa dan ada juga para pelajar sendiri yang berharap akan dapat menyambung pelajaran sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Walaupun begitu tempat yang disediakan adalah amat terhad. Ketika ini cuma ada 54 buah SBP dan 18 buah MRSM daripada 41 buah MRSM membuat pengambilan pelajar tingkatan satu. Kenyataan oleh Ketua Pengarah Pelajaran menyebut hanya 6,100 daripada 46,461 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) Kementerian Pelajaran bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Selain jumlah itu, Mara pula menyediakan 5,320 tempat kepada lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini bagi memasuki Tingkatan Satu di 38 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara, bagi sesi persekolahan tahun depan.

Apabila ditolak keutamaan yang diberi kepada anak-anak bekas pelajar SBP dan MRSM, maka jumlah tempat untuk diisi oleh pelajar 5A lain semakin terhad. SBP dan MRSM diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang terbaik dan suasana pembelajaran yang lebih selesa. Walaupun begitu ada juga mereka datang dari keluarga yang berkemampuan dan tinggal di bandar berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama penuh. Bagaimanapun, keutamaan kepada murid luar bandar untuk memberi peluang kepada mereka yang kekurangan kemudahan pendidikan berbanding dinikmati penduduk di Bandar.


Mereka yang berjaya diterima belajar di sekolah berasrama penuh patut menghargai peluang yang dberikan ini. Ibubapa pula perlu sedar bahawa dengan menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh tidak bermakna tanggungjawab mereka tidak dikurangkan. Tidak dinafikan ada dikalangan para pelajar SBP yang alpa tentang betapa berharganya peluang yang diberikan kepada mereka itu sehingga menyebabkan mereka leka dan tidak memberi fokus kepada akademik dan kegiatan kokurikulum yang lain.

Malah ada ada ibubapa yang beranggapan apabila anak mereka belajar di sekolah berasrama, tanggungjawab untuk membimbing anak remaja mereka diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata. Ini kerana menurut mereka anak-anak remaja mereka ini sepenuh masa di sekolah dan cuma berada di rumah semasa cuti sekolah sahaja. Maka apabila berlaku sesuatu kepada anak mereka dengan mudahnya pihak sekolah dipersalahkan. Walaupun begitu mereka yang bersifat negatif ini cuma segelintir sahaja, cuma diharap mereka ini tidak mempengaruhi para pelajar dan ibubapa lain yang tahu dan sedar apakah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan.

Belajar di sekolah berasrama penuh bukanlah satu-satunya tempat yang boleh menjadikan pelajar itu seorang yang cemerlang dan terpuji dari segi akademik dan sahsiah diri. Sekolah harian juga mampu melahirkan mereka yang berjaya dan terbilang dalam pelajaran dan jati diri. Malah terbukti mereka yang terbaik dalam akademik dan kegiatan kokurikulum bukan hanya yang belajar di sekolah berasrama penuh. Apa yang penting diri pelajar itu sendiri berserta sokongan dan dorongan dari ibubapa, guru dan kawan-kawan. Ibu bapa perlu membuang tanggapan bahawa sekolah harian kurang berkualiti dan sebagainya. Kecemerlangan dalam pendidikan anak-anak bukan ditentukan oleh factor sekolah secara mutlak tetapi juga factor-faktor lain termasuk keluarga dan persekitaran. Majoriti besar pelajar yang cemerlang bukan datangnya dari SBP sahaja tetapi daripada seluruh sekolah harian yang ada di seluruh negara.

Malah saban tahun kedapatan kes pelajar yang ditawarkan ke SBP berpatah balik ke sekolah harian kerana tidak serasi dengan persekitaran asrama. Ini juga perlu difikirkan. Tidak semua anak-anak kita mempunyai kematangan yang sama. Jadi janganlah terlalu bimbang bahawa kegagalan masuk ke SBP boleh menyebabkan anak-anak kita tidak cemerlang. UPSR bagi saya lebih bersifat penilaian untuk mengukur sejauhmana keupayaan dan pencapaian anak-anak kita di peringkat rendah. Perjalanan mereka masih panjang untuk menempuh 5 tahun lagi persekolahan di peringkat menengah yang akan menentukan tahap pendidikan lebih tinggi atau kerjaya mereka. Kalau kita dan orang lain yang bukan produk SBP boleh cemerlang, mengapa anak-anak kita tidak? Fikirkanlah.


Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment