PERANAN IBU BAPA DAN KOMUNITI MASA KINI


Artikel yang saya rasa baik dan boleh dikongsi baca yang saya petik daripada Portal Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim mengenai peranan ibu bapa dan komuniti masa kini.

Dalam membina kecemerlangan keluarga, sekolah dan institusi pendidikan, semua pihak terlibat sama memberikan kerjasama dan sumbangan ke arah tersebut. Ibu bapa dan komuniti adalah salah satu daripada penyumbang yang terpenting untuk memajukan institusi pendidikan anak-anak kita dan juga kesempurnaan perjalanan sekolah itu sendiri. Kerjasama, bantuan dan persefahaman yang baik dan mantap daripada pihak ibu bapa dan komuniti masa kini akan menjadikan keadaan sekolah sebagai satu organisasi atau badan yang kuat dalam hal-hal yang berkaitan dengan disiplin, kewangan, tindakan, pembangunan dan yang terpentingnya ialah dapat memajukan pelajaran pelajar itu sendiri.

Dalam gerak kerja untuk mendidik, memberikan pelajaran kepada anak-anak, dan menggerakkan jentera institusi pendidikan di sekolah, ibu bapa dan komuniti tidak boleh terpisah dan terpinggir dalam hal tersebut. Ibu bapa dan komuniti masa kini mempunyai kesan positif dan negatif kepada pelajar dan sekolah kita. Sesebuah sekolah dan intitusi pendidikan akan maju apabila ibu bapa dan komuniti masa kini memberi pengisian dan menyumbangkan sesuatu yang bermakna dan bererti kepada sekolah. Sebaliknya, pelajar dan sekolah akan menjadi huru-hara apabila ibu bapa dan kominiti mengambil langkah yang keterlaluan, terburu-buru dan tidak rasional.

Ibu bapa dan komuniti masa kini boleh membantu dan bersama-sama sekolah dalam memajukan institusi pendidikan dalam suasana dan keadaan berikut : -

1. Sewaktu pelajar-pelajar berada di rumah atau di bawah kawalan mereka.

2. Memberi bantuan moral dan material kepada sekolah dan pelajar sendiri.

3. Mewujudkan iklim yang baik dan suasana yang harmoni kepada pelajar-pelajar.

Dalam hal pendidikan, hakikatnya anak-anak kita, walaupun mereka menerima pendidikan secara formal di sekolah, tetapi ibu bapa tetap dan masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk membantu kecemerlangan pendidikan itu sendiri. Hubungan darah, perasaan hati, rasa ikatan yang erat menjadikan ibu bapa itu sebagai unsur yang sentiasa mempengaruhi kehidupan dan sikap anak-anak mereka. Sewaktu anak-anak berada bersama ibu bapa, adalah menjadi kewajipan mereka memberikan motivasi, bimbingan dan bantuan serta mewujudkan iklim pendidikan, samada secara formal atau melalui strategi dan kaedah yang tertentu melalui tindakan, percakapan, tingkahlaku, isyarat dan sebagainya.

Ibu bapa yang memperuntukan masa, fikiran, kewangan dan perhatian, untuk membantu pendidikan anak-anak mereka biasanya akan berjaya melahirkan pelajar yang berjaya dan cemerlang dalam pendidikan, tidak menghadapi masalah disiplin yang berat, pelajar yang bercita-cita dan berwawasan untuk memajukan diri.

Sewaktu di sekolah pula, pelajar-pelajar, lebih beradab, berminat dalam pelajaran, bersedia melakukan sebarang tugasan yang diberikan oleh guru. Suasana seperti ini tentunya akan lebih mudah untuk membantu kecemerlangan institusi pendidikan kepada pelajar tersebut.

Sesungguhnya proses pendidikan itu akan lebih berkesan dan berjaya jika ianya ada kesepaduan, keseragaman dan semangat sumbang-menyumbang antara pihak sekolah dengan institusi keluarga dan komuniti masa kini yang lain. Berdasarkan pengalaman dan keadaan yang telah berlaku, bahawa di antara punca dan sebab kegagalan kita dalam pendidikan serta tidak mencipta kecemerlangan yang hebat ialah tidak adanya suasana kesepaduan dan sumbang-menyumbang antara kedua-dua pihak dalam hal tersebut. Banyak perkara dan nilai yang baik yang diajar dan diberikan di sekolah tidak berjaya dan terhakis apabila pelajar berada bersama keluarga. Pendidikan dan disiplin yang baik di sekolah terhakis dan cair apabila pelajar tersebut berada dalam dua keadaan yang sangat berbeza.

Pihak ibu bapa dan kominiti masa kini berkewajipan mewujudkan suasana pembelajaran di rumah masing-masing. Sewaktu pelajar belajar di rumah, mereka mestilah diperuntukkan masa supaya mereka dapat melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan pendidikan, di sediakan tempat yang sesuai untuk mereka belajar dengan selesa dan berkesan. Di samping itu semua ahli keluarga sewajarnya menghormati dan difahamkan bahawa mereka mesti membantu keluarga dalam mencapai kecemerlangan dalam ilmu pengetahuan dan pendidikan. Budaya ilmu harus dihidupkan di rumah-rumah kita, terutamanya rumah orang Islam. Perbuatan, amalan dan suasana yang tidak menolong kepada kemajuan mestilah dikurangkan dalam institusi keluarga kita.

Menyedari bahawa perkara-perkara yang menghalang kecemerlangan pendidikan anak-anak kita terlalu mudah memasuki dan diperolehi oleh anak-anak kita. Ibu bapa dan komuniti kita bertanggungjawab mengatur dan menyediakan sistem kawalan dan pemantauan yang berpsikologi bagi menjamin bahawa pendidikan dan disiplin anak-anak kita tetap terbina serta berjalan dengan sempurna dan baik.

Anak-anak kita tidak boleh dikorbankan semata-mata berpunca daripada sikap kejahilan dan budaya kita yang lalai dan leka, yang mana lebih mengutamakan perkara-perkara lain seperti hal hiburan, kesibukan dengan urusan perniagaan dan makanan sehingga anak-anak kita gagal dan tercicir dalam pembinaan ilmu dan moral yang akhirnya pelajar tersebut tidak dapat menjadikan dirinya sebagai seorang yang beribadah kepada Allah S.W.T. dan memberikan sesuatu yang bermakna kepada dirinya sendiri, keluarga, bangsa dan agama yang tercinta.

Kelancaran dan kelicinan peraturan, aktiviti dan program yang dibuat dan dirancang oleh pihak sekolah juga terletak kepada kerjasama, sokongan dan bantuan daripada kedua-dua pihak ibu bapa dan komuniti. Sesetengah daripada peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak begitu berkesan, kerana tidak adanya sokongan moral ibu bapa dan kominiti. Contoh yang paling mudah peraturan melarang merokok di kawasan sekolah, ada ibu bapa, warga sekolah dan komuniti kita tanpa segan silu merokok di kawasan sekolah dan juga tidak menghalang anak-anak mereka morokok sewaktu berada di rumah dan di hadapan mereka. Ada sesetengah peraturan dan tindakan disiplin yang diambil oleh pihak sekolah menjadi huru-hara serta merumitkan lagi keadaan dan masalah tersebut kerana tiada sokongan daripada ibu bapa dan kominiti. Malah sesetengah peraturan dan tindakan disiplin itu dibawa oleh ibu bapa ke mahkamah dan kadang-kala ada campurtangan orang-orang tertentu yang berpengaruh.

Budaya menghormati ilmu, guru dan tempat anak kita dididik dan diasuh mestilah ada di kalangan ibu bapa. Memang diakui kadang-kadang terdapat kesilapan dan keterlanjuran daripada pihak guru dan sekolah, namun keadaan itu tidak sewajarnya menghilangkan rasa hormat dan sokongan moral kepada guru dan sekolah. Ilmu dan pendidikan itu ada kaitan dengan keberkatan dan keberkesanan. Doa dan perasaan guru mestilah dijaga, dikhuatiri kesan keberkatan itu akan hilang dan ilmu itu tidak boleh mendidik dan memandu anak-anak kita kearah lebih baik.

Selain sokongan moral, pihak ibu bapa dan kominiti seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ), boleh membantu sekolah dalam pelbagai bentuk material terhadap keperluan dan program yang diaturkan oleh pihak sekolah, contohnya menyediakan hadiah kepada guru dan pelajar yang cemerlang dan berjaya dalam sesuatu bidang. Membantu sekolah menyediakan peralatan pelajaran, sukan dan mengadakan majlis-majlis ilmu untuk ibu bapa, guru dan pelajar. Malah adalah sangat baik pihak ibu bapa mempunyai jadual khas untuk sama-sama membersih dan menceriakan kawasan sekolah tempat menuntut ilmu.

Dengan mengemukakan satu pengalaman, sebuah sekolah telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam akademik, iaitu salah satu daripada sebabnya ialah sokongan material ibu bapa, melalui PIBG itu sendiri, dengan mengadakan kelas khas iaitu diberikan sedikit saguhati, menyediakan bahan bacaan tambahan, menyediakan peralatan peperiksaan, seminar, motivasi dan hal-hal yang berkaitan dengan teknik belajar cemerlang dan memotivasikan diri pelajar. Projek ini dapat berjalan sepanjang masa dan tiada sebarang masalah kewangan dan kehadiran mereka.

Semangat dan rasa tanggungjawab bersama untuk membantu sekolah mestilah menjadi budaya kita. Ibu bapa dan komuniti tidak boleh terlepas tangan dan menyerahkan bulat-bulat hal pendidikan kepada guru dan sekolah semata-mata. Dari sudut lain pula, pihak guru dan sekolah akan merasa gembira dan bermotivasi jika pengajaran dan pendidikan mereka diperkuat serta diperkukuh oleh kedua belah pihak ibu bapa dan komuniti dan penat lelah mereka dihargai dan dihormati dengan sedikit sumbangan, pujian dan hadiah cenderamata.

Walaupun sekolah adalah institusi pendidikan yang dibawah tanggungjawab kerajaan, samada dari segi penyediaan peralatan, gaji guru dan kakitangan, tetapi untuk mencipta kecemerlangan secara total, bantuan moral dan material kepada sekolah tersebut dan akan memperolehi kecemerlangan dan perjalanan urusannya semakin mudah dan senang.

Urusan dan keberkesanan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pendidikan di waktu akhir-akhir begitu mencabar dan merumitkan, sesetengah dari cabaran dan kerumitan itu berpunca dari pihak ibu bapa dan komuniti.

Oleh itu tidak sesuai dan sukar diatasi tanpa sokongan dan bantuan daripada ibu bapa dan kominiti itu sendiri. Sekolah, ibu bapa dan guru tidak boleh membawa haluan sendiri, apatah lagi jika berlaku keadaan guru membina sesuatu nilai pendidikan yang tinggi dan murni tetapi dari sudut lain pula ibu bapa dan komuniti meruntuh dan memalapkannya, tangan kanan yang membina, tangan kiri pula yang meruntuhkannya, seolah-olahnya begitu.

Satu lagi perkara yang perlu difahami di kalangan kita, bahawa untuk melahirkan golongan pelajar yang berketrampilan serta memahami falsafah kejadian insan itu, maka proses pendidikan kepada mereka mestilah dilakukan oleh ibu bapa, guru dan juga komuniti. Manusia yang baik bukan sahaja mengetahui tentang teori dan formula tertentu sahaja, tetapi lebih dari itu dan dapat mendidik dirinya dengan ilmu yang mereka peroleh dan diterima pakai. Penghayatannya kepada ilmu tidak boleh ditentukan oleh tempat dan masa atau hanya di sekolah, tetapi penghayatan hidup dan bergerak berterusan di sepanjang hayat itu sendiri. Hakikatnya sekolah, guru dan ibu bapa mestilah serentak dan berkongsi memainkan peranan penting untuk membentuk sesebuah kecemerlangan yang hakiki itu.

Bagi pelajar yang tinggal di asrama pula, kehidupan mereka lebih banyak terdedah kepada hal dan suasana yang ada pada keluarga dan komuniti mereka, yang merupakan tempat mereka hidup dan bersosial. Alangkah beruntungnya pelajar kita jika di rumah mereka dapat dididik dengan baik oleh ibu bapa mereka dan dalam masyarakat pula mereka memperoleh sesuatu yang bermakna dan bersifat menyumbang dan memperkukuhkan institusi pendidikan dan pelajaran yang mereka terima itu di sekolah. Secara umumnya pelajaran,pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah tunggak kepada kejayaan hidup bagi seseorang itu.

Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments: