CUTI SEKOLAH DAN PENGISIANNYA


Minggu ini hanya ada baki dua minggu sahaja lagi anak-anak akan menghabiskan musim cuti mereka sebelum sesi persekolahan dibuka mulai 5 Januari 2009. Hari ini saya menghantar dua orang anak saya menghadiri kursus membuat blog bagi remaja yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Masjid Taman Universiti berhampiran kediaman saya yang diadakan di Makmal Komputer Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM Skudai dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dengan kadar bayaran hanya RM10.00 sahaja. Kedua-dua anak saya berminat menghadiri kursus berkenaan setelah melihat iklan di papan kenyataan masjid minggu sebelumnya. Sebagai bapa saya gembira kerana paling tidak program seumpama ini dapat memberi ruang kepada anak-anak kita melakukan aktiviti berfaedah dan menambah skil mereka dalam dunia internet dan komputer. Syabas kepada pihak masjid yang saya nampak telah memperkasakan peranan institusi masjid termasuk pelbagai program untuk remaja seperti kursus komputer, tuisyen, lawatan dan sebagainya.

Sepertimana sedia maklum, apabila tiba sahaja musim cuti sekolah, sudah pastinya murid-muridlah insan yang paling gembira kerana mereka tidak perlu ke sekolah selama sebulan lebih. Oleh itu, sudah tentu banyak masa terluang bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara serta keluarga yang lain.

Bagi golongan pelajar pula, saya percaya kebanyakan pelajar menganggap musim cuti persekolahan adalah musim rehat daripada belenggu pembelajaran di sekolah. Justeru itu ramai dari kalangan pelajar akan 'bercuti panjang' dengan meletakkan buku-buku ke satu sudut bilik dan melupakannya sehinggalah tiba pula musim persekolahan tahun hadapan.

Para pelajar akan mengosongkan otak masing-masing daripada memikirkan tentang pelajaran sehingga tidak lagi mahu menyentuh buku apatah lagi membaca. Ini suatu amalan yang tidak baik malah tidak sewajarnya diamalkan. Para pelajar sepatutnya sentiasa belajar walaupun bukan secara sistematik seperti di sekolah, tetapi perlu mencari masa untuk terus belajar kerana belajar atau menuntut ilmu itu bukan sahaja di sekolah.

Belajar boleh sahaja dengan cara membaca, mengarang, berinteraksi dengan orang lain, mengikuti program-program kecemerlangan diri dan sebagainya. Melalui pembacaan banyak pengetahuan dapat diperolehi. Bacalah apa sahaja buku ia pasti memberikan pengalaman baru kepada kita. Begitu juga dengan cara mengarang, iaitu melahirkan cetusan pemikiran atau perasaan ke atas kertas. Mengarang boleh membantu seseorang mempertajamkan minda, lebih berfikiran positif dan lebih kritis.

Mengikuti program-program kecemerlangan diri yang dianjurkan banyak pihak akan dapat membantu para pelajar sekalian di dalam banyak perkara. Inilah di antara peluang untuk mendapat pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan kecemerlangan diri para pelajar sekalian. Oleh itu, jika berkesempatan dan berkemampuan, cubalah ikuti program-program sedemikian. Ia tidak akan merugikan.

Banyak pihak memperkatakan sejauhmana kita dan pelajar-pelajar dapat memanfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya. Saya teringat kandungan khutbah Jumaat yang menyentuh tentang cuti sekolah beberapa minggu yang lalu. Antaranya disebut bahawa masa adalah satu ciptaan allah yang amat berharga. Ia adalah satu hadiah yang dianugerahkan kepada semua makhluk, anugerah ini pula berterusan sehingga hari kiamat. Ia seperti air yang mengalir.Jika tidak diceduk dan disimpan,ia akan berlalu dan terus meninggalkan kita buat selamanya.Kegagalan memanfaatkan masa akan membawa kepada kegagalan di dalam kehidupan,sebaliknya kejayaan sentiasa akan dimiliki apabila ianya dimanfaatkan.

Namun keinginan untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu sering membawa manusia melupakan kepentingan menghargai masa kurniaan allah s.w.t tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Terdapat dua nikmat yang sering diabaikan kebanyakkan manusia iaitulah kesihatan dan masa lapang".

Oleh itu, kita sebagai ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak kita agar masa cuti sekolah ini tidak menjadi sia-sia. Ibu bapa juga hendaklah membuat perancangan yang terbaik untuk memastikan masa cuti sekolah ini dapat dimanfaatkan oleh anak-anak mereka sebaik mungkin. Beberapa tips di bawah mungkin berguna untuk para ibu bapa untuk memudahkan mereka membuat perancangan dan memanfaatkan musim cuti sekolah ini bersama anak-anak. Antaranya ialah :
  • Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.
  • Bawa keluarga melancong dalam negeri. Lawatlah temapt-tempat yang menarik di seluruh negara bersama anak-anak. Kalau anda kurang mampu, bawalah anak-anak berkelah ditepi pantai atau taman rekreasi.
  • Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Ajar anak-anak permainan tradisional.
  • Menonton bersama anak-anak. Apabila menonton televisyen bersama, bincang dengan anak-anak rancangan yang ditonton serta iklan-iklan yang disiarkan.
  • Makan bersama semua ahli keluarga. Ahli-ahli keluarga berpeluang menjalinkan kemesraan pada waktu makan.
  • Kalau ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, bawalah anak-anak ke sana dan tanamkan tabiat membaca
  • Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat bersama anak-anak.
  • Menggalakkan anak-anak mengasah bakat mereka dengan menghadiri kelas tarian, kelas vokal, kelas muzik dan kelas drama
  • Menggalakkan anak-anak menghadiri aktiviti-aktiviti sihat seperti kelas bela diri, sukan dan permainan, kembara dan lawatan
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment