Keperluan mewujudkan tenaga sumber manusia berdaya saing adalah usaha yang perlu diberi perhatian di abad ini. Baik di sektor swasta mahupun awam, pembentukan modal insan berkualiti mampu menjana produktiviti berlipat ganda serta mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama dan bertaraf dunia.
Memperkatakan modal insan, ia begitu relevan untuk dibincangkan. Modal merujuk kepada sesuatu yang menjadi bahan keperluan untuk menggapai sesuatu. Modal dalam perniagaan misalnya diperlukan bagi menjana keuntungan dan membangunkan syarikat. Tetapi modal bagi membangun insan bukannya berbentuk material tetapi kemampuan, kualiti diri, ilmu dan kemahiran yang wujud dalam diri individu.
Sementara Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 menetapkan Teras Membangunkan Modal Insan sebagai tunjang utama pelaksanaannya. Ia bertujuan untuk memastikan bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan.
Di samping itu diharapkan pelajar dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat, komunikasi, kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis, mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai nilai yang tinggi serta mampu untuk menjadi pemimpin dalam keluarga dan masyarakat.
Namun apakah ramuan menjadikan modal insan terbaik ini? Adakah acuan sistem Barat menjadi taruhan. Sebahagian sarjana berpendapat pembangunan modal insan berteraskan kefahaman Barat tidak mementingkan aspek kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras utama. Konsep modal insan Islam pula berteraskan kepada pegangan aqidah yang utuh. Gabungan unsur aqidah, syariah dan akhlak dalam islam akan melahirkan modal insan berkualiti yang dapat menghindarkan mereka daripada terbabit dengan salah guna kuasa, rasuah dan lain-lain lagi.
Proses melahirkan modal insan kelas pertama harus didasari oleh perancangan strategik dan berkesan. Program latihan pembangunan sumber manusia harus membangunkan potensi insan lantas menjadikannya sebagai seorang pekerja yang berkebolehan menggunakan segala sumber untuk dijana menjadi sesuatu bermanfaat kepada organisasi dan negara.
Program kemahiran harus mengambil kira keperluan organisasi dengan kapasiti untuk memaksimumkan produktiviti. Ia harus merangkumi aspek latihan ICT, teknologi, komunikasi, pengurusan, motivasi, kepimpinan dengan tidak meminggirkan penerapan nilai dan kerohanian di dalam setiap program yang dianjurkan.
Selain itu, aspek pembangunan kerjaya modal insan juga tidak harus dilupakan. Modal insan berkualiti harus mampu untuk melonjakkan diri ke suatu tahap perkembangan dalam sesebuah organisasi. Andainya seorang pekerja bermula dengan kerjaya dalam bidang pengeluaran, seharusnya mereka mempunyai ruang untuk meningkatkan akademik ke tahap diploma ataupun ijazah hingga dapat menguruskan sasaran pengeluaran.
Dalam bidang pentadbiran misalnya, biarlah individu itu bermula dengan mentadbir sesuatu unit, namun mempunyai akses kepada program latihan dan perkembangan kerjaya sehingga melayakkan mereka untuk mentadbir sebuah jabatan besar.
Maka proses itu tidak seharusnya diletakkan di bahu ketua jabatan sahaja. Titik tolak ke arah pembentukan modal insan kelas pertama bermula dari dalam diri seseorang pekerja itu sendiri. Tanyalah diri sendiri sejauh mana diri mahu dilonjakkan menuju puncak kecemerlangan.
Dalam konteks guru contohnya, sekiranya guru tidak mahu berusaha untuk meningkatkan kelayakan akademik, malas membaca, tidak berminat menghadiri atau mengikuti pelbagai kursus/bengkel/seminar/wacana ilmu dan sebagainya sebaliknya hanya bersyukur dengan apa yang ada tanpa ada usaha untuk memberi nailai tambah dalam diri, ianya tidak akan sampai ke mana. Ada sesetengahnya hanya mahu kenaikan pangkat, gaji dan lain-lain ganjaran tetapi tidak berusaha untuk memastikanya ganjaran itu setimpal dengan khidmat yang diberi.
Kemajuan sesuatu sistem latihan dan perkembangan kerjaya sesuatu organisasi itu tidak dapat berjalan seandainya individu sumber manusia itu sendiri tiada usaha untuk melonjakkan dirinya sebagai modal insan terpilih dan berkualiti.
0 comments:
Post a Comment