Warden Asrama Sepenuh Masa


Laporan Akhbar 8 Mac 2009 menarik perhatian saya untuk tulisan pada kali ini “Kementerian Pelajaran dijangka mewujudkan jawatan warden tetap yang bertanggungjawab sepenuhnya memantau serta mengawal pelajar sekolah, terutama di asrama. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata warden tetap itu akan dilantik di kalangan kakitangan kementerian yang menerima latihan khas bimbingan kaunseling serta memiliki kemahiran psikologi dan mereka bertugas 24 jam di asrama sekolah. Beliau berkata, ketika ini warden asrama dilantik di kalangan guru sekolah dan mereka diberi elaun khas RM250 sebulan untuk melaksanakan tugas itu”.

Menurut Datuk Dr Wee Ka Siong, jawatan warden tetap atau sepenuh masa di semua sekolah berasrama penuh dicadangkan bagi memantapkan lagi pengawasan ke atas pelajar. Ini mungkin ada kaitannya ekoran beberapa insiden buli dan serangan yang dilaporkan berlaku di asrama atau di kawasan sekolah sejak kebelakangan ini. Insiden terburuk yang dilaporkan media bulan lalu membabitkan kematian ke atas seorang pelajar setelah koma beberapa hari akibat diserang oleh sekumpulan pelajar senior. Justeru saya melihat syor Timbalan Menteri Pelajaran sebagai suatu pendekatan positif khususnya dalam menangani masalah-masalah dan isu-isu kehidupan sosial murid di asrama.

Syor mewujudkan jawatan guru asrama sepenuh masa ini juga saya rasa adalah langkah paling tepat dalam mengatasi bukan saja masalah pengurusan sekolah untuk melantik warden di kalangan guru akademik, malah sudah sampai masanya kita memikirkan kepentingan aspek pembangunan keperibadian dan sahsiah dapat diterapkan secara berkesan di sekolah melalui pendekatan baru dan berbeza. Tumpuan kepada pendidikan watak hendaklah dijadikan anjakan strategik bagi mencapai kecemerlangan diri pelajar di asrama. Jika asrama mempunyai guru asrama sepenuh masa yang terlatih dengan model latihan bagi menzahirkan pembangunan karakter pelajar, saya yakin guru ini dapat memainkan peranan lebih fokus dalam aspek pembangunan karakter pelajar. Diharapkan nanti apabila cadangan ini menjadi realiti, warden yang dipilih adalah dari kalangan yang mempunyai kekuatan dari segi kemahiran bimbingan dan kaunseling, kemahiran mengurus personalia, ketinggian peribadi, memiliki ilmu kerohanian dan pelbagai kemahiran lain yang boleh membantu meningkatkan keperibadian pelajar yang jauh dari jagaan/kawalan ibu bapa mereka.

Tidak dapat dinafikan semua guru memainkan peranan sebagai pengganti ibu bapa khususnya di asrama. Namun demikian, dalam keadaan seperti dihadapi sekolah hari ini, tidak mungkin guru akademik yang memegang jawatan warden yang terpaksa bertugas sepenuh masa semasa pelajar berada di asrama dapat memberi fokus kepada pengajarannya dan membantu pembangunan intelektual jika mereka ini dalam keadaan tertekan setelah berdepan tugas di asrama yang semakin mencabar. Peranan 'dua dalam satu' ini tidak lagi sesuai dalam konteks situasi persekolahan hari ini.

Pemilihan warden asrama juga sudah pastinya turut menimbulkan sedikit masalah kepada pengurusan sekolah. Bagi guru-guru yang lama yang sudah memiliki keluarga dan rumah sudah pastinya rasa tidak sesuai dan selesa bertugas sebagai warden apatah lagi di asrama yang hanya mempunyai bilik warden yang sesuai untuk warden bujang sahaja. Ia mungkin sesuai bagi sekolah-sekolah berasrama penuh yang dilengkapi dengan kemudahan rumah warden dan guru dalam kawasan sekolah dan asrama. Elaun RM240 sebulan yang diberikan kepada warden juga tidak menjadi daya penarik kepada guru, lebih-lebih lagi guru lama dan berpengalaman untuk memikul tanggungjawab sebagai warden kerana harus menghabiskan masa setiap hari untuk mengawasi pelajar-pelajar di sekolah dan di asrama. Lantas guru yang baru sajalah pilihan yang ada.

Kesimpulannya, cadangan ini pada pendapat saya bukan bertujuan untuk mempertikaikan keupayaan warden sekarang yang bertugas di asrama seluruh negara. Realitinya rakan-rakan warden kita ini telah membuktikan keupayaan mereka sebagai guru yang boleh berfungsi “dua dalam satu”. Insiden yang berlaku dibeberapa asrama hanyalah sebahagian kecil kes sahaja atau kes terpinggir tetapi pastinya tidak boleh kita padang enteng begitu sahaja. Kewujudan jawatan baru ini yang jikia benar akan diambil bukan dari kalangan guru akademik sebenarnya menyamai apa yang dilaksanakan di asrama matrikulasi, PLKN dan IPTA iaitu warden adalah dari kalangan kakitangan akademik yang bukan guru sepenuh masa. Mudah-mudahan cadangan ini akan membantu memperkukuhkan pengurusan anak-anak kita di asrama seluruh negara.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment