Aplikasi video dalam pembelajaran

Sudah pasti suatu pengalaman yang menyeronokkan akan dialami oleh murid apabila sesuatu topik pembelajaran itu dapat difahami melalui pelbagai elemen yang terdapat dalam tayangan video.

Walau bagaimanapun tayangan video yang digunakan sebagai media pengajaran dalam proses pembelajaran perlu melalui beberapa pemeringkatan perancangan yang akan bertindak sebagai strategi dalam proses pembelajaran murid.

Terdapat 3 pemeringkatan perancangan iaitu pra tontonan, semasa tontonan dan pasca tontonan.

Pra tontonan: Pada peringkat ini murid terlebih dahulu harus mendapat maklumat awal tentang isi kandungan video tersebut. Sebagai contoh jika video ini berkaitan dengan binatang seperti harimau, pelajar harus mencari pelbagai jenis harimau yang terdapat di pelbagai lokasi di dunia ini. Murid boleh lakukan ini dengan cara melayari internet, membaca akhbar, majalah atau melalui pelbagai pengalaman sama ada melalui teks, grafik atau melalui video klip. Ini bertujuan untuk memberi satu pengenalan serta gambaran umum terhadap isi yang ada pada video yang belum ditonton itu.

Semasa tontonan: Murid harus menonton tayangan tersebut serta mencatat perkara-perkara yang penting mengikut kehendak dan panduan yang diberikan oleh guru masing-masing. Kebiasaannya murid akan mencatat mengikut klasifikasi yang diberikan seperti alam dan benda, aktiviti manusia, persekitaran, cuaca, dan sebagainya. Cara ini membolehkan murid membuat perkaitan antara satu klasifikasi dengan klasifikasi yang lain. Sebagai contoh cuaca hujan mungkin dapat dikaitkan dengan banjir, kejadian tanah runtuh serta juga hubungkaitnya dengan aktiviti manusia di lokasi tersebut.

Pasca tontonan: Dengan bantuan guru catatan yang dilakukan oleh murid akan dijadikan perbincangan. Perbincangan akan menjadi lebih menarik apabila guru menyediakan beberapa soalan tambahan berlandaskan apa yang ditonton tetapi dalam masa yang sama mampu memberi penerangan dan bimbingan kepada murid terhadap topik yang dipelajari pada ketika itu.

Dengan lain perkataan ketiga-tiga peringkat dalam proses pembelajaran melalui tontonan video tadi bukan sahaja memperluaskan lagi sudut pandangan dan pengalaman mereka tetapi juga mampu mewujudkan suasana persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.

Sumber : Portal Pendidikan Utusan
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment