Belajar Dari Angsa?


Hari ini saya menghadiri kursus peningkatan profesionalisme graduan NPQH negeri Johor yang dianjurkan oleh Majlis Perhubungan NPQH Johor dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor di Hotel Traders Muar. Saya hanya sempat menghadiri kursus ini sehari sahaja kerana selepas itu akan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur selama 4 hari. Di sini saya berpeluang berjumpa kembali dengan rakan-rakan lama yang satu ketika dulu bersama-sama mengikuti program NPQH di IAB dan Unibersiti Malaya. Saya adalah antara kumpulan pertama program berkenaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ceramah malam tadi oleh Timbalan Ketua Sektor JPNJ yang antaranya menyentuh tentang kerja berpasukan mengingatkan kembali saya kepada apa yang berlaku 11 tahun yang lalu bersama-sama rakan-rakan lain untuk mendapatkan 3 dalam 1 iaitu sijil NPQH, diploma dan sarjana dalam bidang kepengetuaan. Semuanya kita laksanakan dalam bentuk satu pasukan yang cukup jelekit. 2 tahun menggambarkan bagaimana kerjasama dalam ‘team’ yang baik, jika kita dapat optimumkan pastinya akan membuahkan hasil.

Pemandangan luar bilik hotel no. 9007 menghadap panorama sungai Muar yang indah menggamit perhatian saya kepada sekumpulan angsa putih yang sedang bermain air di hujung sungai dan kemudiannya terbang rendah dan tinggi secara berkumpulan. Kenapa angsa-angsa berkenaan terbang secara berkumpulan? Pastinya kita juga boleh belajar dari kumpulan angsa ini yang sebenarnya bekerja dalam satu pasukan macam kita manusia.

Fakta 1 :
Setiap kali angsa mengipas kepaknya semasa terbang, ia membantu angsa-angsa lain yang terbang di belakangnya. Apabila terbang beramai-ramai dalam bentuk formasi ‘V’ angsa-angsa yang mengekorinya mempunyai kuasa terbang 75% lebih tinggi daripada terbang secara bersendirian

Teladan 1 :

Jika kita berkongsi matlamat yang sama dalam pasukan dan ada sikap kebersamaan maka kita akan lebih mudah dan cepat mencapai tujuan yang hendak dicapai. Ia juga memperlihatkan rasa kepercayaan yang penuh antara satu sama lain.

Fakta 2 :
Sekiranya ada angsa yang terkeluar dari formasi ‘V’ angsa itu akan menghadapi kesukaran apabila terbang bersendirian. Dengan segera ia akan terbang kembali masuk dalam formasi

Teladan 2 :

Kita akan berasa sukar apabila kita keluar dari pasukan. Kita tidak seharusnya lokek dalam menyumbang kepada pasukan kerana ia juga memberikan bantuan kepada kita akhirnya.

Fakta 3 :
Apabila angsa di hadapan penat ia akan undur ke belakang formasi dan dapat terbang dengan mudah. Secara automatik ada angsa lain yang akan mengambil tempat itu dan menguasai formasi berkenaan.

Teladan 3 :
Sebagai ahli pasukan setiap ahli pasukan saling bergantung antara satu sama lain. Oleh itu setiap ahli perlu menyumbang kemahiran, kemampuan, bakat, komitmen dan sumber yang dimiliki ahli.

Fakta 4 :
Angsa-angsa yang berada di belakang berbunyi dan menguak kepada angsa-angsa di hadapan. Ini adalah baik menaikkan semangat angsa-angsa di hadapan untuk mengekalkan kelajuan.

Teladan 4 :

Pastikan ‘teriakan’ kita dalam pasukan adalah berbentuk ‘teriakan’ bagi memberi perangsang dan motivasi. Semakin banyak dorongan dari ahli kumpulan semakin hebat pasukan itu.

Fakta 5 :
Sekiranya ada angsa yang sakit atau ditembak jatuh, dua ekor angsa akan keluar dari formasi dan mengikuti angsa yang jatuh bagi melindungi dan memberi bantuan. Mereka akan menunggu angsa yang jatuh sehingga boleh terbang semula ataupun dipastikan mati. Kemudian mereka akan kembali kepada formasi berkenaan.

Teladan 5 :
Dalam pasukan kita kena bantu rakan yang dalam kesukaran. Ini adalah sistem jaminan yang penting dalam pasukan. Dalam sistem kerja berpasukan kita seharusnya saling jamin-menjamin. Ini bagi memastikan ahli pasukan kita sentiasa dalam keadaan dan rasa selamat dan bersemangat untuki bekerja.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment