'Tak boleh mandi ... sungai ni sebak'


LAN dan Min belajar di sekolah berasrama penuh di Putrajaya. Lan berasal dari Melaka dan Min dari Perak. Pada cuti semester, Lan mengikut Min pulang ke kampungnya di Bota, Perak. Pada hari kedua di rumah Min....

Lan: Jom le pergi mandi sungai. Kau kata syok mandi kat sungai. Boleh terjun Tarzan.

Min: Tak boleh mandi sungai, sebak.

Lan: Apa yang kau sebakkan? Kau yang kata masa kat asrama, kau dah rindu sangat nak balik kampung. Sekarang dah sampai kampung patutnya kau gembira, bukannya sedih. Kau tak seronok ke balik kampung?

Min: Mestilah seronok. Dah satu semester tak balik. Cuti tengah semester dulu, dah ikut kau balik Melaka.

Lan: Habis tu kenapa sedih?

Min: Tak sedih pun. Siapa kata aku sedih? Happylah beb!

Lan: Kalau happy, kenapa sedih pulak? Tadi aku ajak mandi sungai kau tak mau, kau kata kau sedih.

Min: Bila pulak aku cakap aku sedih. Tak adapun aku cakap macam tu. Kau khayal ke? Atau dah buang tebiat, dengar yang bukan-bukan.

Lan: Habis tu kenapa tak nak pergi mandi sungai? Kau dah janji masa kat asrama nak bawak aku mandi sungai. Aku nak juga try terjun Tarzan macam yang kau selalu cerita tu.

Min: Tak boleh mandi sungai, sebak.

Lan: Apasal sebak?

Min: Hujan kat ulu agaknya, lagi pun malam tadikan hujan lebat.

Lan: Apa lak kaitan hujan dengan sebak? Takkan hujan lebat pun kau nak sebak?

Min: Bukan aku yang sebak! Tu! sungai tu yang sebak.

Lan: Kah! Kah! Kah! Kelakarlah kau ni. Sungai pun tau sebak juga ke? Sungai tu sedih sebab hujan ke?

Min: Bukan sedihlah! Apasal kau ni kurang cerdik sangat! Sebak tu maknanya air sungai dalam sebab hujan malam tadi. Bahaya untuk mandi-manda dan terjun Tarzan. Nanti terjun kat sini, timbul kembung kat Teluk Intan. Kau nak ke?

Lan: Ampun! Tak nak aku. Simpang malaikat empat puluh empat. Lain kali cakaplah air sungai dalam, bukannya sebak! Aku ingat kau sedih.

Min: Itu pun kau tak boleh faham ke? Rupa sebijik macam Melayu dengan hidung penyeknya, tapi bahasa Melayu tak tau. Kau ni banyak sangat cakap bahasa Inggeris kut?!

Glosari

Sebak - (a) sungai penuh dan banyak air, hampir akan banjir

(b) sesak dada kerana kesedihan

(c) air mata bergenang dan hampir menitik

Sumber : Mewah Bahasa BH
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment