Membaca - Perlu Dipupuk Dari Keluarga
Berita hari ini tentang amalan membaca menarik perhatian saya untuk menulis pada kali ini.
KUALA LUMPUR: Amalan pemberian hadiah mahal sempena hari jadi anak yang menjadi ikutan masyarakat moden perlu diubah kepada pemberian hadiah buku sebagai pendorong untuk mereka menggemari buku sejak kecil. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata usaha mengembangkan budaya membaca perlu dimulakan pada peringkat awal dan ibu bapa seharusnya tidak keberatan membelikan anak buku dan bahan bacaan sesuai membolehkan mereka mengisi masa lapang dengan membaca. Katanya, ibu bapa perlu bijak mengimbangi cabaran virtual dan digital yang semakin digemari kanak-kanak yang terdedah kepada pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi. "Bukan setakat buku akademik saja, kanak-kanak juga harus digalakkan membaca buku dalam pelbagai genre seperti fiksyen dan bukan fiksyen," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dilancarkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Isu amalan membaca ini bukan lagi perkara baru. Seingat penulis sejak di bangku sekolah hinggalah kini masih tetap diperkatakan. Kenyataan TPM semalam juga menyebut kini kadar literasi rakyat Malaysia pada kelompok umur 15 tahun ke atas adalah 93.2 peratus, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan 2008. Manakala laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi, pada tahap 99 peratus.
Pembangunan sesebuah negara adalah bergantung kepada rakyatnya yang berilmu pengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat diperoleh melalui amalan membaca. Membaca bukan hanya daripada bahan bercetak tetapi juga bahan tidak bercetak. Amalan membaca pula perlu diperlengkapkan dengan kemahiran memilih bahan bacaan yang berkualiti. Institusi keluargalah yang saya anggap berperanan penting untuk mula melahirkan individu yang bukan sahaja gemar membaca tetapi menjadikan membaca sebagai budaya. Institusi keluarga pada asasnya yang terdiri daripada datuk, nenek, bapa, ibu, abang, kakak dan adik sama-sama bertanggungjawab untuk membentuk, menyemai dan memupuk minat membaca di kalangan ahli keluarga dan seterusnya melestarikan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Peranan ini perlu bagi memenuhi perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi yang memberi tamparan hebat kepada perkembangan mental kanak-kanak dan bagi memenuhi keperluan, cita rasa, aspirasi, kerenah dan sikap ingin tahu yang hanya dapat dipenuhi melalui membaca. Membaca perlu dibudayakan.
Peruntukkan Masa Membaca Bersama Keluarga
Ibu bapa perlu memperuntukkan masa yang tetap untuk membaca bersama keluarga umpamanya pada cuti hujung minggu. Peruntukan masa ini amat perlu untuk membolehkan ahli keluarga berkumpul bagi menyertai aktiviti membaca bersama dengan membaca bahan bacaan yang digemari sama ada buku, majalah, novel, kitab agama at au lain-lain bahan bacaan. Waktu membaca bersama ini boleh dimanfaatkan oleh ahli keluarga untuk berkongsi bahan bacaan di samping mendalami ilmu pengetahuan. Ibu bapa boleh berkongsi maklumat daripada bahan yang dibaca kepada anak-anak dan anak-anak pula boleh berkongsi bahan bacaan yang dibaca sesama ahli keluarga. Bagi menggalakkan suasana pembacaan, wujudkan ruang membaca yang selesa dan terang.
Jadikan Sesi Bercerita Sebagai Amalan Sekeluarga
Ahli keluarga perlu terlibat sama dalam sesi bercerita bersama keluarga. Adakan sesi bercerita mengikut giliran dan jadikan sesi ini sebagai rutin dalam kehidupan seharian. Cerita boleh terdiri daripada cerita rakyat, cerita binatang, cerita agama dan cerita-cerita yang boleh memberi pengajaran dan panduan yang berguna dalam kehidupan. Aktiviti ini akan menjadi lebih menarik sekiranya ibu bapa dapat memberikan cenderamata kepada anak-anak sebagai dorongan kepada mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti bercerita. Ibu bapa juga perlu meluangkan sedikit masa untuk membaca kepada anak-anak. Peruntukkan masa sekurang-kurangnya 15 minit ketika waktu lapang atau sebelum anak-anak tidur untuk membacakan cerita kepada mereka.
Wujudkan Sudut Bacaan di Rumah
Amalan membaca sekeluarga amat berkesan dipraktikkan sekiranya diwujudkan sudut bacaan di rumah. Kumpulkan bahan-bahan bacaan keluarga dan tempatkan di sudut yang santai dan tenang. Lazimnya kebanyakan keluarga telah mempunyai bahan bacaan sendiri yang dibeli dari kedai buku atau pesta buku serta hadiah dari saudara mara atau kenalan. Bahan-bahan ini jika dikumpulkan dan disusun dengan sempurna bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga, malah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Bawa Buku ke Mana-mana
Amalkan membawa dan membaca buku bersama keluarga ketika berkelah, melancong, balik kampung atau ketika bercuti. Membaca merupakan cara terbaik untuk menghabiskan masa ketika dalam perjalanan sama ada semasa menaiki kereta, bas, kereta api, feri atau kapal terbang. Bacalah buku, majalah, novel, surat khabar atau apa sahaja bahan bacaan yang sesuai. Isikan masa santai dengan membaca bersama ahli keluarga ketika berada di tepi pantai, tempat-tempat peranginan, perkelahan atau ketika berehat di hotel penginapan. Amalkan membaca tanpa mengira masa dan tempat.
Kunjungi Perpustakaan, Kedai Buku dan Pesta Buku
Jadikan aktiviti mengunjungi perpustakaan, kedai buku dan pesta buku sebagai salah satu aktiviti utama keluarga. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mendaftar sebagai ahli di perpustakaan desa, sekolah, cawangan, Perpustakaan Awam Negeri atau lain-lain perpustakaan untuk membolehkan anggota keluarga
meminjam buku. Ketika mengunjungi kompleks membeli belah, bawalah anak-anak mengunjungi kedai buku dan bantu mereka dalam membuat pemilihan bahan bacaan. Cara ini dapat melatih ahli keluarga untuk memilih bahan bacaan yang digemari dan mengikut kesesuaian. Kunjungi juga pes!a buku yang diadakan di tempat tinggal yang berdekatan bagi memupuk minat ahli keluarga kepada bahan bacaan dan seterusnya menggalakkan membaca.
Hadiahkan Buku atau Bahan Bacaan Sempena Hari-hari Istimewa
Keluarga perlu mengubah pemberian hadiah sempena hari jadi, hari ulang tahun perkahwinan, hari ibu atau hari bapa daripada berbentuk cenderamata kepada buku atau bahan bacaan bukan buku. Sekarang ini terdapat banyak buku dan bahan audio visual pembacaan di pasaran yang dihasilkan oleh penerbit-penerbit yang ternama. Banyak novel dan bahan ilmiah yang diterbitkan dalam bentuk cakera padat dan cakera video digital yang boleh dibaca, didengar dan ditonton serta boleh dikongsi bersama oleh ahli keluarga. Bahan-bahan bacaan ini boleh menyuburkan
minat membaca ahli keluarga.
Ibu Bapa Sebagai Individu Contoh Mengamalkan Membaca Kepada Anak-anak
Ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak untuk mewujudkan budaya gemar membaca di kalangan ahli keluarga. Ibu bapa perlu terlebih dahulu mengamalkan membaca bagi membentuk sikap positif anak-anak kepada tabiat membaca terutamanya membaca bahan bacaan yang berkualiti dan bermaklumat. Sikap positif ini akan melahirkan ahli keluarga yang menghargai buku dan ilmu serta memastikan membaca untuk kemajuan diri dan keluarga.
Layari Internet
Pada zaman kemudahan maya yang serba canggih ini, amalan memupuk budaya membaca ini juga boleh dibuat melalui akses internet. Pelbagai laman, portal dan blog yang bermanfaat boleh dilayari untuk menggalakan anak-anak membaca. Apatah lagi sekrang ini pelbagai bahan bacaan telah dijadikan dalam bentuk ebook yang boleh dibaca melalui skrin komputer sahaja.
Mutiara Kata Membaca
Membaca adalah penting bukan sahaja untuk memelihara budaya atau menambah ilmu. Ianya mempunyai nilai yang tersendiri. Membaca itu sendiri menyeronokkan. Ianya telah menjadi satu bentuk hiburan bagi manusia selama beberapa abad dan tiada sebab mengapa ianya tidak boleh diteruskan sebagai bentuk hiburan. Membaca mencetus imaginasi dan mempengaruhi kita bagi tempoh yang melampaui dari mas a membaca. Kuasa buku dan membaca amat sukar diukur dan oleh itu marilah kita mengekalkan dan menghidupkan tradisi membaca.
- Y.B. Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang sentiasa berfikiran kreatif dan berdaya saing dalam era komunikasi dan teknologi maklumat (ICT), amalan membaca seharusnya dijadikan asas yang kukuh dalam masyarakat. Tanpa ilmu dan maklumat, masyarakat Malaysia akan terus ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan di dunia yang semakin kompleks hari ini.
- Y.B. Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein
Elak nyanyuk bacalah novel.
- Dato' Abd. Aziz Abdul Rahman
Pembacaan dapat membantu kita melukiskan sesuatu perkara itu dengan tepat dan berkesan.
- Abd. Talib Hassan
Bacalah dengan (menyebut) nama TuhanMu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan TuhanMu yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.
Mulailah dengan Bismillah yakni dibaca setiap kali membaca al-Quran dan pada permulaan setiap surah. Al-Quran itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacanya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bahagian demi bahagian.
- Al-Quran
Setiap orang yang pandai membaca berupaya menjadikan dirinya gagah, mempelbagaikan corak kehidupannya, membuat hidupnya bermakna, penting dan menarik.
- Aldous Huxley
Membaca buku ibarat hadir dalam sebuah pesta. Suatu pesta di mana di dalamnya terkumpul segala cerita: pengalaman suka duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup dan lebih dari itu, kita tenggelam dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri.
- Derek Braker
Jangan membaca hanya untuk menyangkal, jangan percaya sepenuhnya, jangan pula dijadikan bahan percakapan dan perdebatan tetapi untuk menimbangkan dalam berfikir.
- Elizabeth Barret Browning
Kanak-kanak diasuh menjadi pembaca di atas pangkuan ibu bapa mereka.
- Emilie Buchwald
Membaca menjadikan seseorang itu lengkap (dengan ilmu), berdiskusi itu menjadikan seseorang itu bersedia dan menulis itu menjadikan seseorang itu tepat. Ada buku yang cuma perlu dibaca sebahagian, ada yang hanya perlu dengan santai, ada yang perlu dibaca dengan penuh perhatian, ada yang mewakilkan orang lain untuk membacanya dan ada yang hanya dibaca ringkasannya.
- Francis Bacon
Dalam sesetengah buku ada terdapat catatan-catatan yang ditulis oleh pembacanya di sebelah tepi halaman. Catatan-catatan itu lebih seronok dibaca daripada isi kandungan buku itu sendiri. Dunia ini adalah salah satu daripada buku-buku seperti itu.
- George Santayana
Membaca buku pada petang hari, tilawah al-Quran di antara maghrib dan isyak dan tahajjud serta munajat selepas tengah malam adalah ubat yang paling mujarab bagi penyakit muram dan kesepian.
Perhalusi jiwa dengan pembacaan berfaedah dengan tasauf, filsafat, ciptaan ahli seni. Maka bertambah halus perasaan, bertambah nampaklah kewajipan kit a hidup.
- Hamka
Tak guna membeli buku kalau tak dibaca, tapi itu lebih baik daripada langsung tak kenaI buku.
- Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
Orang yang mahir dalam membaca al-Quran nanti tempatnya bersama-sama para nabi dan rasul yang baik-baik.
- H. R. Bukhari
Membaca menjadikan seseorang itu berisi.
- Lord Bacon
Bacalah untuk meningkatkan pengetahuan, latar belakang, kepekaan serta pengamatan anda.
- Lord Byron
Buku adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan ;
Buku adalah pintu dunia keseronokan ;
Buku adalah jalan menuju kejayaan;
Buku adalah sahabat, ayuh! Mari membaca.
- Lord Channing
Surat khabar adalah benda yang tidak boleh diabaikan. Barang siapa yang tidak mahu ditolak keluar dari zamannya, hendaklah membaca surat khabar.
- L.Simons
Orang yang tidak membaca buku tidak mempunyai kelebihan dari orang yang tidak tahu membacanya.
- Mark Twain
Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibaca, akan dapat memerintah dunia.
- Napoleon Bonaparte
Pertama kali saya membaca buku yang baik, seolah-olah saya telah menemui seorang sahabat baru ; apabila saya membaca semula buku yang telah saya baca, ia seolah-olah seperti bertemu dengan sahabat lama.
- Oliver Goldsmith
Pembacaan yang baik menjadi makanan otak, mendengar muzik menjadi makanan jiwa.
- Peribahasa Melayu
Pengetahuan yang tidak digunakan adalah seperti harta benda yang disimpan di dalam tanah dan dilupakan. Kita harus membaca hal-hal yang telah kita ketahui setiap masa agar dengannya kita dapat mempergunakan harta yang tersimpan itu untuk kebatinan kita.
- Dr. P.H.Ritter Jr
Membaca tidak boleh dianggap mentelaah kecuali apa yang dibaca diingat dalam kepala, dihayati dan diamalkan bagi pengajaran dalam kehidupan harian. Untuk mempastikan kesan pembacaan, batasilah bacaan anda dengan beberapa penulis yang tertentu saja dan isilah jiwa anda dengan jiwa merdeka.
- Ralph Waldo Emerson
0 comments:
Post a Comment