Perlu ke perubahan?
“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka…”
(Ar-Ra’d, 13:11)
PERUBAHAN. Istilah ini membawa konotasi tentang perubahan iaitu sesuatu yang berubah daripada sedia ada kepada yang baru. Manusia sentiasa menginginkan perubahan daripada yang kurang baik kepada lebih baik. Sebab itu timbul frasa popular “hari ini sepatutnya lebih baik dari semalam”. Dalam merealisasikan perubahan sesuatu, kita sering hanya mengharapkan perubahan itu berlaku berbanding berusaha keras merealisasikannya. Jika itu benar, maka ayat ini seharusnya dianalisis untuk menyedarkan kita bahawa perubahan memerlukan tindakan daripada kita sebelum Allah mengubahnya dengan kuasa-Nya.
Dalam Surah Muhammad, 47:7, Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kedudukanmu”
(Muhammad, 47:7)
Jika kita meneliti ayat ini, kita akan memahami bahawa sebelum datangnya pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus bekerja keras menolong agama Allah. Walaupun sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kita untuk memenangkan agama-Nya, namun usaha kita menjadi salah satu sebab turunnya pertolongan Allah.
Jika dikaitkan dengan ayat ke 11 surah Ar-Ra’d tadi, kita seharusnya memahami bahawa untuk mencapai sesuatu perubahan yang baik dan disertai dengan pertolongan Allah, kita terlebih dahulu harus berusaha ke arahnya dan tidak hanya menunggu bulan jatuh ke riba. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Frasa-frasa ini cukup baik dalam menggambarkan kesungguhan kita untuk mencapai sesuatu secara serius.
Apa yang menjadi masalah sekarang, banyak cabaran untuk seseorang itu menerima perubahan. Kekadang di kalangan kita lebih suka mengekalkan ‘status quo’ sahaja sedangkan dunia sudah semakin berubah dan kita seharusnya menerima perubahan-perubahan ini dengan senang hati demi kecemerlangan. Begitu juga dalam organisasi, banyak isu ditimbulkan dan wujud konflik dalam organisasi sampai tahap timbul fitnah melalui surat tanpa bernama (surat layang), email tanpa dapat dipertanggungjawabkan dan tulisan di blog yang juga tidak dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya.
Dalam bidang pendidikan khususnya perubahan akan terus berlaku kerana kedinamikan bidang pendidikan itu sendiri. Kurikulum sahaja sentiasa mengalami perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa. PPSMI yang tidak pernah wujud satu ketika dulu kini dilaksanakan, ISO 9000 yang satu ketika dulu hanya dilaksana di sektor korporat mula diimplementasikan dalam organisasi pendidikan, penggunaan ICT dalam pembelajaran, wujudnya laman web dan pembelajaran berasaskan web, pelbagai permohonan secara online, melaksanakan kajian tindakan dan inovasi, sistem maklumat berasaskan komputer, dan banyak lagi perubahan-perubahan yang berlaku. Kalau kita renung dari mula kita bersekolah hinggalah kini terlalu banyak perubahan yang berlaku. Bagi saya apa salahnya kalau perubahan itu berlaku jika ia membawa kebaikan dan kecemerlangan kepada organisasi kita.
Memang sukar pada peringkat awal untuk menerima perubahan kerana sudah pastinya ada tugasan baru yang perlu kita laksanakan untuk menjayakannya. Contohnya untuk melaksanakan ISO contohnya kita perlu akur kepada penggunaan pelbagai prosedur dan borang mengikut format yang ditetapkan. Malah untuk memohon pertukaran sekolah juga memerlukan kita mengakses melalui internet. Tetapi itulah perubahan baik yang sebenarnya perlu dilaksanakan mengikut trend-trend semasa. Semua itu akan menjadi kebanggaan apabila sesuatu perubahan itu berjaya dan memberi manfaat kepada kita dan organisasi. Selalunya apabila sesuatu perkara baru itu memberikan kerja tambahan kita akan merungut. Yang hairannya kita tidak pula merungut kalau perubahan itu memberi natijah langsung kepada kita seperti tambahan ganjaran, elaun dan sebagainya. Kita ambil contoh mudah, bagi perokok bukanlah suatu perkara yang mudah untuk meninggalkannya. Tetapi ia akan menjadi detik manis apabila mampu membuang tabiat ini kerana dapat menjimatkan perbelanjaan dan kesihatan menjadi bertambah baik. Tanyalah kepada mereka yang pernah terlibat.
Jadi, selepas ini kita tidak harus hanya berkata-kata tentang perubahan dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa terjadi tanpa diduga bahkan tanpa usaha. Namun, kita harus bekerja keras jika inginkan perubahan itu berlaku. Perubahan yang bagaimana? Ya! Apa sahaja perubahan ke arah yang lebih baik. Meningkatkan keputusan peperiksaan, menambah baik keadaan umat dan masyarakat, meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan, menambah ilmu pengetahuan dan macam-macam lagi. Kita cukup berbangga kerana setelah puluhan tahun kita mencapai kemerdekaan rakan-rakan guru kita tidak pernah jemu untuk menerima, melaksana dan membuat pelbagai perubahan demi kemajuan dan kecemerlangan anak-anak didik kita. Walaupun hanya sekadar membuat kajian tindakan untuk mebaiki keputusan/pencapaian 30 orang anak murid kita dalam bilik darjah, itu sudah merupakan sumbangan kita untuk membuat perubahan dalam organisasi kita. Teruskan komitmen kita bersama.
0 comments:
Post a Comment