Global Warming - Sedikit Info berkaitannya


Tertarik dengan isu ini disebabkan sebahagian anak-anak pelajar saya terlibat dalam pertandingan Toyota Eco Youth dengan fokus aktiviti kepada "Global Warming". Saya cuba memahami isu ini melalu pembacaan beberapa bahan yang berkaitan dengannya.

Isu pemanasan global memberi kesan kepada keadaan iklim dan cuaca negara ini. Itulah yang sering diperkatakan. Tiada jaminan bahawa insiden atau kejadian seperti banjir di Johor awal tahun 2007 yang lalu tidak berulang dan menerima taburan hujan yang tinggi daripada paras normal.

Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal. Pemanasan global ini berkaitan dengan peningkatan suhu dunia .Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain . Perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja, jarak hanya 2 generasi sahaja.

Suhu bumi meningkat sejak tahun-tahun 90an. Kajian mendapati iklim panas melampau di Perancis , iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan "permafrost (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair . Paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak.

Pemanasan berlaku di seluruh dunia yang diakibatkan oleh aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, pembangunan ‘hutan batu’ dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi. Kesan saintifik pemanasan global ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Kesan material ialah kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.
Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC). Kajian mendapati 98 % punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18. . Perubahan penggunaan tanah menyumbang 30 peratus pelepasan karbon dioksida. Kesan rumah hijau lebih hebat dan iklim dunia akan berubah secara mendadak, tanpa dapat dibendung lagi.

Jika kita prihatin dan sedar, tahun 2005 adalah musim berlakunya ribut taufan yang sangat aktif. Difahamkan sebanyak 26 kejadian ribut dan 14 kejadian puting beliung telah berlaku. Buat pertama kali, taufan ganas iaitu Katrina, Rita dan Wilma terjadi dalam satu musim. Kejadian ribut taufan ini bukan sahaja melanda Benua Amerika, malahan menyerang juga negara China, Korea, dan pantai sekitar Laut China Utara.
Pada tahun 2007 pula dikhabarkan penduduk di beberapa negara di Afrika yang lazimnya terkenal sebagai negara panas kerana mempunyai kawasan gurun yang sangat luas telah menyaksikan salji dalam tempoh 25 tahun.

Di Eropah pula, diberitakan bahawa banyak kematian berlaku yang berpunca daripada kepanasan melampau pada bulan Julai lalu dan di Paris sahaja, seramai 29 orang telah maut. Walaupun kejadian ini tidak tidak seburuk kepanasan yang berlaku pada tahun 2003 yang menyebabkan kira-kira 15,000 maut di Perancis dan 20,000 telah maut di Itali.

Sebuah jurnal terkenal melaporkan bahawa keadaan kemarau panjang serta panas dan kering telah menyebabkan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih daripada 8.5 juta ekar kawasan dunia dan menghapuskan lebih 1 juta spesies hidupan di darat dalam jangka masa 50 tahun. Kejadian ini ada kaitannya dengan pemanasan global.

Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.
Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera seumpama pembebasan CFC. Pulau haba pula berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar.

Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal.

Sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan. Enam bilion penduduk dunia kini menggunakan sumber asli bumi secara berlebihan dan tidak terkawal . Jika pemanasan global berterusan , manusia dan tamdunnya akan pupus sebagaimana pupusnya dinosaur.
Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Keadaan monsun akan bertukar sama sekali kerana kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir.

Kesedaran rakyat Malaysia dan amnya masyarakat dunia sukar ditingkatkan. Hanya 3 /10 rakyat Malaysia yang prihatin kepada isu-isu alam sekitar. Kejadian Tsunami 2004 dan banjir besar di Johor adalah pengajaran terbaik .Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas tetapi meminta mereka bertindak secara betul dan tepat.
Umpama peribahasa, ‘sediakan payung sebelum hujan’ dan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, langkah-langkah awal pencegahan atau meminimumkan kesannya adalah perlu supaya kejadian seperti itu tidak memburukkan imej pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara.

Negara tidak boleh berkompromi dengan tanggungjawab sosial menjaga dan memelihara alam sekitar. Pendidikan alam sekitar kepada generasi muda perlu dimulakan sejak di rumah atau di bangku sekolah lagi. Pendidikan kepada generasi tua juga penting dilakukan kerana ada golongan yang kaya, mewah dan berpelajaran tetapi tidak mengambil berat soal alam sekitar.

Pusat pengajian tinggi atau jabatan-jabatan tertentu mesti melakukan kajian agar kejadian yang disebabkan oleh fenomena alam termasuk pemanasan dunia dapat boleh diminimumkan kesannya. Langkah-langkah lain boleh juga dilakukan seperti penanaman hutan semula, kitar semula, kempen kesedaran dan penggunaan sumber tenaga yang mesra alam. Kejayaan melaksanakan tugasan ini akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk.

Langkah-langkah negara lain seperti sistem Green Dot di Jerman, cukai bahan buangan di Denmark dan mengharamkan pengedaran beg plastik dan alas meja pakai buang di Taiwan patut menjadi teladan dan dorongan ke arah mesra alam sekitar di negara ini. Green Dot di Jerman ialah sistem kitar semula bahan-bahan pembungkus. Bahan-bahan pembungkus yang mempunyai green dot ini akan dikutip, diasingkan dan dikitar semula.
Cukai bahan buangan di Denmark yang dihantar ke pusat pelupusan dan insinerator akan dikenakan tetapi tidak kepada bahan buangan yang akan dikitar semula. Pembuangan, dan pembakaran beg plastik pula memberi kesan buruk kepada persekitaran kerana menjadi punca sampah dan kekotoran.

Isu pemanasan global adalah isu dunia dan bukan sahaja negara kita yang terlibat. Sumbangan negara kita ke atas pemanasan global mungkin tidak seberapa namun, sebagai satu sumbangan global, negara kita juga perlu melaksanakan ikhtiar agar tidak menyumbang untuk memanaskan alam sekitar.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment