Apa yang penting..... Kerjasama..........


Apa yang penting?………KERJASAMA. Segmen daripada cerita “Wonder Pets” yang saya paparkan di atas itulah juga yang kalimatnya yang sering anak-anak saya yang berumur 2 ½ tahun dan 7 tahun tonton di kaca TV iaitu rancangan Wonder Pets. Malah anak saya Farah yang berumur 2 ½ tahun sering menyanyi-nyanyi riang sebelum tidur selain zikir dan nyanyian kanak-kanak yang dipelajarinya di taska. Ia amat menarik perhatian saya untuk menulisnya kerana kalau anak-anak yang masih kecil boleh mengambil iktibar moral melalui cerita-cerita binatang ini, apatah lagi kita orang yang dewasa. Satu ketika dulu semasa saya masih kecil, nenek saya sering bercerita tentang cerita-cerita binatang (sang kancil dan buaya, kucing dengan anjing, arnab dan kura-kura serta cerita-cerita lain yang penuh dengan pengajaran dan moral. Kini cerita-cerita binatang ini sebenarnya masih punya banyak peranan untuk mendidik anak-anak kita. Cuma yang membezakannya ialah medium yang digunakan sahaja. Dulu – melalui cerita lisan sedangkan kini – media elektronik.

Bagaimanapun marilah sama-sama kita hayati apa maksud kalimah KERJASAMA ini atau dalam bahasa arab disebut Taawun. Apabila kita membongkar khazanah Al Quran dan As-Sunnah banyak membicarakan tentang kepentingan memupuk dan memelihara semangat kerjasama. Hidup bermasyarakat, hidup saling bantu-membantu, konsep kerjasama seperti ayat yang dirakamkan di dalam surah Al-Maidah ayat yang kedua menyebut,

“Bertolong-tolonglah kamu kepada perkara kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolng kepada perkara kejahatan”. (Surah al-Maidah ; 2)

Ayat ini menegaskan kewajipan sesama umat manusia menolong di antara satu sama lain di dalam perkara kebaikan dan landasan keimanan. Tetapi pada masa yang sama, umat manusia ditegah sama sekali bertolong bantu di dalam perkara dosa dan juga permusuhan. Walaupun niatnya betul tetapi jalannya salah juga ditegah dalam Islam seperti Zorro mencuri untuk membantu jiran kemiskinan.

Begitu juga dalam organisasi, tanpa amalan kerjasama tidak mungkin kita mampu melaksanakan semua tugas dengan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Tiada manusia yang dapat hidup bersendirian tanpa bantuan daripada orang lain. Dalam organisasi kita umpama sebatang lidi yang mempunyai peranan masing-masing dan jika lidi-lidi ini dapat ditautkan menjadi secekak umpamanya maka bolehlah kita gunakannya untuk menyapu agar kawasan kita menjadi bersih. Jika kita umpamakan diri kita sebagai lidi, dengan kerjasama yang baik dalam kumpulan pastinya kita dalam melakukan yang terbaik untuk organisasi kita.

Dalam kumpulan panitia contohnya, jika ada 4 atau 5 orang guru maka mudahlah kita melaksanakan apa juga aktiviti – daripada merancang program, melaksana program, membuat soalan penilaian, membuat penilaian dan sebagainya. Maka disarankan agar kita sentiasa bekerja dalam satu kumpulan atau pasukan yang mantap. Istilah kerja sepasukan ini amat popular sekarang. Pasukan bola sepak tidak mampu menang kalau 11 orang pemain tidak dapat memainkan peranan mengikut posisi masing-masing. Tugas untuk memenangkan pasukan bukan digalas oleh striker sahaja tetapi semua pemain termasuk penjaga gol dan penyokong.

Mari kita sorot kembali sejarah peristiwa hijrah, salah satu kisah bersejarah di dalam lipatan sejarah umat Islam telah pun menzahirkan peri pentingnya semangat kerjasama dan ia disemai dan dibajai di dalam setiap sanubari umat Islam. Melalui peristiwa ini, seluruh para sahabat dan pengikut Nabi Muhammad SAW bersatu sepenuh hati, jiwa dan raga bersama- sama menjayakan misi hijrah demi menyelamatkan Islam.

Yang paling penting, faktor keberjayaan misi hijrah Nabi adalah disebabkan semangat “kerjasama” yang cukup ampuh di kalangan sahabat para sahabat pada ketika itu. Senjata “kerjasama” inilah yang menjadi formula kejayaan misi Hijrah Nabi yang penuh berstrategi. Sebagai contoh, di dalam misi Hijrah Nabi, Sayyidina Ali memainkan peranan yang cukup penting apabila beliau menggantikan tempat tidur Nabi ketika Nabi diancam oleh Kafir Musyrik. Di dalam perjalanan Hijrah ke Madinah pula, Sayyidina Abu Bakar berperanan menemani Rasulullah sepanjang perjalanan menuju ke destinasi. Ini merupakan contoh yang membawa pengertian dan kesan yang cukup besar tahap pentingnya konsep kerjasama ini dihayati dan dibudayakan dalam kehidupan seharian.

Seperti dalam cerita kartun “Wonder Pets”, Apa yang penting ? …….kerjasama….. Kita pula bagaimana? Marilah kita menjadikan nilai yang dimaktubkan sebagai antara nilai-nilai yang perlu diterap dalam jiwa penjawat awam sebagai kebiasaan, seterusnya amalan dan budaya bekerja kita. Insyallah.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment