Thursday, June 18, 2009

Pelajar aliran agama sains boleh ambil 11 subjek SPM



Sumber : Berita Harian

Calon lain hanya dibenar maksimum 10 mata pelajaran

KUALA LUMPUR: Hanya calon aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 mata pelajaran termasuk empat subjek teras dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Calon lain hanya boleh mengambil maksimum 10 subjek dengan lima hingga enam mata pelajaran teras mengikut aliran pendidikan masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mempersetujui rayuan pentadbir sekolah menengah agama yang tidak dapat melaksanakan perubahan serta-merta dan memohon agar calon aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 subjek yang menjadi amalan selama ini.

Katanya, berikutan keputusan itu, mereka mempunyai waktu untuk membuat pengubahsuaian bermula dengan pelajar Tingkatan Empat sebelum kumpulan calon aliran agama sains yang seterusnya diwajibkan mengambil maksimum 10 subjek saja mulai 2011.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, enam subjek teras sedia ada tetap dikekalkan dalam perubahan sistem pensijilan terbuka SPM, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.

"Enam mata pelajaran itu seperti tercatat dalam Akta Pendidikan 1996 bukan saja wajib dipelajari, malah dijadikan subjek teras peperiksaan SPM kerana ia asas pembinaan modal insan dan jati diri rakyat Malaysia," katanya semalam.

Bagaimanapun, bagi calon aliran sains, subjek teras dikurangkan kepada lima dengan Sains dikecualikan kerana mereka boleh mengambil mata pelajaran elektif sains tulen seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan yang mempunyai standard lebih tinggi.

Subjek teras untuk calon aliran agama juga dikurangkan kepada lima dengan Pendidikan Islam dikecualikan yang secara langsung mengelakkan pertindihan dengan mata pelajaran elektif dalam aliran pendidikan itu yang mempunyai standard lebih tinggi.

Antaranya adalah Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah. Calon aliran agama sains pula hanya mempunyai empat subjek teras dengan mata pelajaran Sains dan Pendidikan Islam dikecualikan.

"Langkah ini adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan peperiksaan. Ia sekali gus menolak pandangan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Cara ini membolehkan pembangunan potensi pelajar dalam jurusan yang dipilih dibangunkan secara lebih intensif dan komprehensif.

"Di samping itu, pelajar dan guru juga mempunyai masa mencukupi untuk aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani, rohani dan emosi pelajar secara seimbang," katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan segelintir pihak berhubung kekangan dari segi bilangan mata pelajaran elektif boleh diambil, khususnya yang berkaitan kaum masing-masing, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak boleh mengorbankan enam subjek teras sedia kerana ia akan menjejaskan matlamat asal kepentingan calon mengambil mata pelajaran teras.

Mengenai cadangan mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM, Muhyiddin berkata, lebih 80 peratus daripada keseluruhan maklum balas yang diterima setakat ini, termasuk kira-kira 3,000 melalui emel rasmi Kementerian Pelajaran, menyatakan persetujuan dan mengakui kepentingan bahasa itu.

Beliau berkata, ia akan diputuskan tahun ini menerusi analisis dan kajian lebih terperinci dengan mengambil kira pandangan serta keperluan pelbagai aspek, termasuk silibus, pengukuhan tenaga pengajar yang mencukupi dan mahir serta bimbingan dan penyediaan guru terlatih untuk pelajar di sekolah luar bandar.