Membangun profesionalisme guru dan staf, menyemai budaya ilmu dan mewujudkan sekolah sebagai Organisasi Pembelajaran


Petikan artikel saya dalam "JURNAL PENDIDIKAN EDISI 2010" yang diterbitkan oleh MPSM Johor bertajuk "Inisiatif Pengetua Dalam Menentukan Kejayaan Organisasi Sekolah"

Amalan pengurusan berasaskan pasukan juga boleh membantu membangunkan profesionalisme guru. Melalui amalan pengurusan sebegini, pemimpin dan rakan sepasukan boleh membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru dalam menyelesaikan masalah dan seterusnya meningkatkan perkembangan profesionalisme dan mutu pengajaran mereka (Glickmen et al, 1995). Pembangunan kompetensi dan kapasiti guru perlu dilaksanakan secara sedar dan terancang kerana ia selari dengan konsep Organisasi Pembelajaran (Learning Organization) untuk memastikan setiap ahli organisasi sentiasa belajar bagi meningkatkan perkembangan profesionalisme dan seterusnya melonjakkan prestasi organisasi.

Bagi memastikan guru dan kakitangan sokongan sentiasa dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang proses `coaching mentoring’ perlu dilaksanakan terhadap semua pemimpin pertengahan di sekolah iaitu semua guru penolong kanan dan guru-guru kanan. Proses ini perlu dilakukan pada setiap minggu dan direkodkan dalam buku log pengetua. Melalui proses ‘coaching mentoring’ inilah pengetua dapat membimbing dan menunjuk ajar melalui perkongsian bersama pemimpin pertengahan berkaitan apa juga bidang kerja masing-masing. Melalui pendekatan ini pemahaman yang jelas tentang apa juga isu yang berlaku dan mekanisme yang terbaik untuk membantu mereka akan diperolehi. Pengalaman pengetua dalam laluan kerjayanya sebagai Guru Kanan, Penyelia Petang, Penolong Kanan dan seumpamanya di samping pengetahuan semasa mengikuti kursus dan sebagainya perlu digunakan sepenuhnya untuk tujuan bimbingan berkenaan.

Proses ini harus dibudayakan kepada semua pemimpin pertengahan dengan semua personel ini melaksanakan juga ‘coaching and mentoring’ kepada sumber di bawah kawalan mereka iaitu guru-guru atau kakitangan sokongan yang berkaitan. Melalui pendekatan ini guru dan staf sokongan dapat dibimbing secara sistematik. Secara tidak langsung proses pemantauan juga berlaku di segenap peringkat. Contohnya, apabila pengetua membuat bimbingan kepada guru penolong kanan dalam aspek penyeliaan pengajaran dan pembelajaran (P&P), penolong kanan seterusnya membuat bimbingan dan pemantauan kepada guru-guru kanan yang seterusnya proses yang sama berlaku kepada ketua-ketua panitia, penyelaras-penyelaras tingkatan dan akhirnya kepada guru-guru akademik.

Dalam usaha membangunkan kapasiti ini juga, perhatian yang serius harus diberikan terhadap program pembangunan profesionalisme guru melalui pembelajaran secara tidak formal maupun secara formal dan terancang. Pelbagai program melibatkan pembangunan staf perlu dilaksanakan di sekolah melibatkan kursus, bengkel, taklimat dan ceramah. Di samping merancang dan melaksanakan program pembangunan staf secara berkala berdasarkan analisis keperluan, pengetua perlu mengenalpasti kekuatan dan kepakaran yang ada pada di sekolahnya. Guru penolong kanan, guru kanan matapelajaran dan guru-guru senior yang mempunyai kepakaran tertentu harus dilibatkan untuk bertindak menjadi mentor bagi membimbing guru-guru yang baru dan kurang berpengalaman dalam pasukan masing-masing.

Selain itu bagi membugarkan budaya ilmu di kalangan pendidik dan kakitangan, mesyuarat atau perjumpaan guru perlu diisi dengan aktiviti wacana ilmu melalui pembentangan oleh guru dan kakitangan secara bergilir. Melalui wacana ilmu ini pelbagai imput baru berkaitan perkembangan mutakhir pendidikan dapat didedah dan dikongsikan bersama. Antara pengisian dalam wacana ilmu ini ialah ulasan buku, penemuan baru dalam pendekatan pembelajaran, teori-teori terkini pendidikan atau apa sahaja yang bermanfaat untuk tujuan pendidikan. Natijahnya, apabila sesorang pendidik berkenaan mempunyai kekuatan ilmu yang tinggi dan penguasaan trend pendidikan kontempori pastinya akan dapat membantu mendidik anak-anak murid dengan lebih berkesan.

Usaha memantapkan keilmuan guru seterusnya saya perluaskan kepada pelanggan utama sekolah iaitu pelajar-pelajar dengan menerapkan budaya ilmu bagi memastikan setiap mereka bukan sahaja bijak dari segi keintelektualannya tetapi juga pintar dan berketrampilan dalam aspek-aspek yang lain. Antara pendekatan yang boleh digunakan bagi merealisasikan aspirasi ini ialah melalui aktiviti setiap pelajar mesti memiliki sebuah buku catatan kecil yang sentiasa dibawa untuk mencatat apa juga yang diperolehi sepanjang berada di sekolah sama ada yang diperhatikan, didengar dan dilihat. Selain itu setiap pelajar secara bergilir akan diberi peluang memberikan pidato ringkas selama 5 minit pada setiap perhimpunan harian, menambah bilangan papan-papan kenyataan bermaklumat, menerbitkan bulletin persatuan atau unit secara berkala, mewujudkan kiosk maklumat secara atas talian sebagai sumber mengakses maklumat-maklumat sekolah melalui portal sekolah, portal jabatan pelajaran dan Kementerian Pelajaran Malaysia di samping mengadakan kempen membaca sepanjang tahun. Ini juga merupakan sebahagian daripada pendekatan bagi memastikan sekolah berperanan sebagai organisasi pembelajaran (learning organization) yang dapat melahirkan budaya kolaboratif iaitu semua orang mempunyai keyakinan dan keupayaan mengambil bahagian yang aktif dalam proses pembelajaran seperti yang disarankan Peter Senge (1990).

Ringkasnya, pelaksanaan program pembangunan staf yang telah dirancang secara formal, proses pembelajaran secara tidak formal yang berlaku semasa melaksanakan aktiviti dalam pasukan dan bantuan secara langsung melalui program mentoring oleh pihak pentadbir dan guru senior serta pelbagai usaha untuk menjadikan sekolah sebagai Organisasi Pembelajaran telah dapat meningkatkan perkembangan profesionalisme guru-guru dan seterusnya meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment