Abad Ke-21 Yang Penuh Cabaran
Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory, Tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum mengganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999. Pada 2000, ISO menyokong kegunaan umum dengan mentakrifkan kalendar yang memulakan perhitungannya dari tahun sifar. Dari segi amalan, masalah ini telahpun diselesaikan dengan penggunaan 1 Januari, 2000 yang meluas untuk menandakan permulaan abad ke-21. Dekad-dekad sering dianggap sebagai bermula dengan tahun sifar dan diberikan nama yang sewajar, umpamanya "2010-an" dan sebagainya. Serupa dengan tempatnya abad ke-20 dalam penamaan "20th century Fox", abad ke-21 telah dipergunakan dalam nama pelbagai syarikat dan organisasi. (Sumber : Wikipedia bebas dalam Versi Bahasa Melayu)
Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa penganjakan paradigma kehidupan. Ini meliputi penganjakan daripada masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi; penggunaan teknologi manusia kepada penciptaan teknologi tinggi; pemusatan kuasa kepada pengagihan kuasa; konsep hierarki kepada konsep jaringan; ekonomi tempatan kepada ekonomi antarabangsa; dan perancangan jangka pendek kepada perancangan jangka panjang
Abad Ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat (IT) yang memungkinkan kepantasan dan menjumudkan faktor jarak dan masa. Perkembangan terkini dalam ‘open sky technology’ membawa implikasi kepada kehidupan manusia sejagat. Seperti yang kita lihat dan rasa, dunia yang luas pada hakikatnya telah dikecilkan dengan teknologi komunikasi yang canggih dan pantas.
Perkembangan yang pesat dalam teknologi komunikasi dan arus globalisasi ini telah mempengaruhi sistem komunikasi global. Jika satu ketika dahulu isu limpahan siaran melalui Direct Broadcasting Services, aliran berita antara negara yang tidak seimbang dan order baru maklumat dunia menjadi isu hangat dibincangkan dalam arena komunikasi, isu-isu ini kini tidak lagi begitu diperdebatkan. Sebaliknya isu-isu komunikasi tanpa sempadan, masyarakat bermaklumat dan masyarakat berpengetahuan menjadi isu-isu baru yang memenuhi ruang perbincangan di peringkat antarabangsa. Dunia abad ke 21 adalah satu dunia baru. Dunia sekarang ini bukan lagi terkenalkerana ideologi politiknya tetapi kepada kuasa ekonominya. Kuasa besar ekonomi dunia dengan sistem kapitalisnya ingin mewujudkan satu dunia global dengan pasaran global.
Kemajuan dalam bidang komunikasi ini juga telah memberikan pengaruh yang besar kepada keadaan sosial, pentadbiran, perubatan, hubungan antarabangsa, pengangkutan dan sebagainya tidak terkecuali bidang pendidikan yang menjadi teras kepada perubahan dunia abad ke 21 ini. Kesan globalisasi terhadap sektor pendidikan sangat ketara di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Australia, New Zealand, Jerman dan Russia. Ini dapat dilihat dengan pertambahan pelajar luar negara yang belajar di institut pengajian tinggi negara-negara tersebut. Demikian juga di Malaysia, Pendidikan Tertiari menunjukkan fenomena yang sama di mana pada setiap tahun universiti-universiti tempatan di negara kita menerima pelajar-pelajar luar dari seberang laut semakin meningkat.
0 comments:
Post a Comment