Kepimpinan Pendidikan Di Sekolah



Sedutan artikel "Melestarikan Kepimpinan Sekolah" tulisan saya dan Shamsudin Haron yang disiarkan dalam Jurnal PKPSM Kebangsaan edisi 2010.

Kepemimpinan pendidikan merupakan satu bidang yang telah banyak dikaji oleh penyelidik. Ini mengabadikan hakihat peri pentingnya aspek kepemimpinan dalam institusi pendidikan. Antara kajian tersebut melibatkan pembangunan kepemimpinan pengetua di sekolah. Dalam hal ini, kajian oleh Institut Aminudin Baki (2008) mendapati bahawa arah aliran pembangunan kepimpinan pendidikan menunjukkan bahawa gaya kepimpinan dan pengurusan sekolah didominasi oleh lima gaya kepimpinan berikut:

a. Managerial Leadership – Memberi fokus kepada kestabilan dan kerja
secara rutin
b. Instructional Leadership – Memberi fokus kepada pengurusan P&P
c. Transformational Leadership – Memberi fokus kepada pengurusan
perubahan
d. Distributed Leadership – Memberi fokus kepada peranan kepimpinan
yang perlu diagih dan dikongsi bersama
e. Sustainable Leadership – Memberi fokus untuk melestarikan
kecemerlangan kepimpinan
f. Personal Leadership – Memberi fokus terhadap kesempurnaan
dan keunggulan peribadi sebagai pemimpin.

Kitaran pembangunan gaya kepemimpinan pendidikan tersebut dapat digambarkan seperti dalam Rajah 1 di bawah ini:


Rajah 1: Kitaran Pembangunan Gaya Kepemimpinan Pendidikan

Pada tahap awal, pengetua terutama yang baru dilantik akan memberi fokus kepada aspek pentadbiran pendidikan melibatkan kestabilan dan kerja secara rutin yang perlu dilakukan. Tumpuan yang besar diberikan terhadap pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja pejabat seperti pengurusan fail, penjadualan tugas, pengurusan kewangan dan seumpamanya. Gaya kepemimpinan pada tahap ini lebih mementingkan kepada tugas dan tugasan.

Tahap kepimpinan berikutnya melibatkan pengetua betindak sebagai pemimpin instruksional dan memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dan menjadikan kualiti instruksional sebagai keutamaan teratas dalam pengurusannya. Kepemimpinan instruksional sering dikaitkan dengan usaha penetapan visi yang jelas, berfokus kepada pencapaian dan keperluan murid di samping mewujudkan iklim sekolah yang menyokong kepada pencapaian matlamat yang ditetapkan. Gaya kepemimpinan sebegini masih memberi penekanan terhadap tugas dan tugasan terutama melibatkan aspek instruksional dengan memberi tumpuan kepada pembelajaran dan pencapaian pelajar.

Pembangunan kepimpinan pengetua perlu ditingkatkan lagi ke tahap seterusnya melibatkan gaya kepemimpinan transformasional bagi mendepani cabaran yang mendatang. Pemimpin sebegini dikatakan mampu membawa perubahan dan membuat trasformasi pendidikan bagi memastikan kehadiran organisasinya tetap releven. Gaya kepemimpinan sebegini tidak lagi memberi fokus kepada tugas dan tugasan tetapi aspek hubungan interpersonal berkesan dan pendekatan yang lebih humanistik menjadi tunggak amalan pengurusan. Menurut Leithwood dan Jantzi (2000), “ Transformational leadership deals with change, inspiration, motivation, influence and people development”. Justeru, pendekatan kepimpinan transformasional ini sebenarnya dapat memperkukuhkan pendekatan kepimpinan Instruksional yang telah diamalkan. Amalan kepimpinan instruksional yang telah dipupuk sebelum ini, kini ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dengan mengamalkan pendekatan kepemimpinan transformasional. Hakikat ini dinyatakan dengan jelas oleh Dr Mohd Yusof Bin Mohd Nor (IAB, 2008):

“Transformational leadership leads to more effective Instructional
leadership as it allows for instructional (teaching and learning)
activities in his school improvement. The key is the ability to manage
change. This, in a nutshell, is what transformational leadership
is all about.”

Tahap perkembangan kepemimpinan seterusnya dalam kitaran tersebut melibatkan penyuburan amalan perkongsian kuasa dan empowerment dalam pengurusan sekolah. terutamanya melalui amalan kerja sepasukan. Pendekatan distributed leadership melalui amalan pengurusan berasaskan kerja sepasukan membolehkan warga sekolah melibatkan diri dalam proses menentukan objektif, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan secara kolaboratif terutama berhubung operasi pasukan, merangka perancangan, melaksana pelan tindakan, menilai dan mengawal pencapaian pasukan secara lebih meluas (Pounder, 1997).

Sementara itu, kejelekitan, semangat kerja sepasukan, kreativiti dan inovasi serta proses pembelajaran pasukan diberi perhatian agar ahli-ahli pasukan dapat dibimbing ke tahap perkembangan profesionalisme yang lebih tinggi (Shamsuddin Haron, 2005). Justeru, pendekatan kepemimpinan sebegini dapat memperkukuhkan amalan kepemimpinan transformasional terutama dalam aspek membangunkan sumber manusia dan kapasiti kepemimpinan dalam kalangan ahli organisasi.

Pekembangan gaya kepemimpinan seterusnya melibatkan pengetua bertindak sebagai sustainable leadership dengan memberi fokus terhadap usaha untuk melestarikan prestasi dan kecemerlangan sekolah yang menjadi pokok perbincangan kertas kerja ini. Pada tahap ini, pengetua perlu mengamalkan beberapa prinsip kepemimpinan lestari di samping berusaha untuk melestarikan prestasi dan kecemerlangan sekolah yang telah dikecapi pada tahap perkembangan kepemimpinan sebelum ini terutama melibatkan aspek transformasi dalam pendidikan (Hargreaves dan Fink, 2000).

Personal leadership merupakan tahap terakhir dalam kitaran perkembangan gaya kepemimpinan pendidikan di sekolah. Kepemimpinan sebegini lebih berfokus terhadap pencapaian kesempurnaan dan keunggulan peribadi sebagai pemimpin pendidikan di sekolah.

Ringkasnya, gaya-gaya kepemimpinan yang dibincangkan di atas merupakan pelbagai tahap perkembangan pendidikan yang dilalui oleh pengetua di sekolah. Walau bagaimanapun, secara realiti, pengamalan gaya tersebut tidak semestinya berlaku secara berturutan seperti yang diperbincangkan. Tidak mustahil sekiranya berlaku seseorang pengetua itu mengamalkan dua atau lebih gaya tersebut dalam satu-satu masa tanpa mengira susunan tahapnya. Perbincangan tentang kitaran tahap-tahap tersebut dilakukan secara terpisah satu per satu hanyalah untuk tujuan memudahkan pemahaman pembaca semata-mata.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment