5 Perkara menarik berkaitan pendidikan


Sepanjang petang saya tidak ke mana-mana kerana memaksa diri mengadap televisyen untuk mengetahui perkembangan terkini daripada pimpinan negera khususnya yang berkaitan dengan pendidikan semasa sesi penggulungan PAU2010. Kesimpulannya saya melihat terdapat 4 perkara penting berkaitan pendidikan yang dinyatakan oleh YAB Tan Sri Mahyuddin.

Pertama : Sejarah dijadikan subjek wajib dalam SPM 2013

Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Buat masa sekarang mata pelajaran itu adalah subjek teras yang wajib diambil, tetapi bukan wajib lulus. TSMY menyatakan dasar itu akan berkuasa kuasa mulai 2013 kerana KPM perlukan masa untuk melatih guru-guru.

Saya menyokong tindakan drastik ini kerana sepatutnya subjek ini telah dijadikan wajib lulus sejak dulu lagi. Anak-anak kita kurang berminat dengan subjek ini kerana dianggap tidak mempunyai nilai kerana bukan wajib lulus. Justeru dengan cara menjadikan wajib lulus kita telah memberikan nilai kepada subjek ini. Bagaimanapun kita perlu memikirkan dan mempunyai mekanisme untuk memastikan pelajar-pelajar berminat dengan subjek ini yang mungkin melibatkan aspek sukatan pelajaran, format soalan atau penilaian, kaedah pembelajaran dan sebagainya

Kedua : Sejarah sebagai subjek teras dalam KSSR bermula 2014


TSMY juga menyatakan bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah. Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini.

Saya mengalu-alukan langkah KPM berkaitan sejarah sebagai subjek teras di peringkat rendah, kerana sejak lama dulu saya telah mempunyai pandangan yang sama tentang perkara ini. Pada saya, dengan memahami dan menghayati matapelajaran sejarah inilah, yang mampu mendidik dan melahirkan rakyat yang sayang dan cintakan negara. Dengan menghayati sejarah juga, rakyat akan lebih faham tentang peranan dan tangungjawab mereka untuk membina sebuah negara bangsa yang aman dan bersatupadu. Malah semasa saya berada di darjah dulu melalui kurikulum pada masa itu saya telah mempelajari subjek sejarah yang dikenali dengan Tawarikh walaupun apa yang dipelajari banyak berkisar tentang sejarah Negara luar – Eropah, British dan Asia. Hingga kini saya masih lagi mengingati apa yang dipelajari. Kalau ini kita terapkan kepada anak-anak kita tentang sejarah Negara sendiri pastinya akan memberikan impak yang besar terhadap pandangan dan persepsi generasi kita pada masa akan dating khasnya berkaitan Negara sendiri.

Ketiga : Pentaksiran Sekolah menggantikan PMR dipercepatkan kepada tahun 2014


TSMY menyatakan pentaksiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014. PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan.

Saya juga bersetuju dengan langkah kerajaan ini kerana melalui kaedah ini kita tidak terlalu banyak penilaian di peringkat menengah. Malah PMR pada masa sekarang lebih bersifat peperiksaan dan dijadikan piawai untuk melihat layak atau tidak layak pelajar masuk ke tingkatan 4, aliran mana yang bersesuaian untuk masuk ke tingkatan 4 dan kayu ukur untuk pelajar beralih melanjutkan pelajaran ke SBP, SMT/V, SMA atau sekolah harian biasa. Melalui PBS yang saya difahamkan akan memasukkan elemen-elemen lain termasuk kokurikulum dalam penilaiannya akan menjadikan pentaksiran ini lebih holisitik dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Kalau ini dapat kita laksanakan maka kita telah menjuruskan anak-anak kita untuk memperoleh pendidikan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelej (JERI) sebagaimana dimaktubkan dalam Falsafan Pendidikan Kebangsaan kita.

Keempat : UPSR dikekalkan

“UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya,” katanya.
Penilaian ini bagi saya masih perlu kerana ini adalah penilaian kepada anak-anak kita di peringkat sekolah rendah. Melalui penilaian ini kita dapat menjuruskan anak-anak kita ke prringkat menengah bersesuaian dengan keupayaan, bakat dan kemampuan anak-anak ini.

Kelima : RM10 juta untuk aktiviti YGMB


Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.
Perkara kelima ini pada pandangan saya wajar agar YGMB dapat menggunakan untuk kebajikan dan keperluan golongan guru. Bagaimanapun YGMB sendiri harus responsive terhadap usaha kerajaan ini dan bukan menjadi satu organisasi yang setiap masa dan ketika perlu disokong oleh kerajaan. YGMB kini seolah-olah sunyi dan kalau kita Tanya kepada guru-guru termasuk saya yang menjadi ahli YGMB seumur hidup, kita tak pernah memperoleh maklumat tentang perkembangan YGMB ini.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment