SMART PATNERSHIP 'SEKOLAH-KOMUNITI'


Sekolah sebagai satu sistem sosial yang tersendiri dan menjadi agen perubahan masyarakat seharusnya mengikut perubahan masyarakat. Ini kerana masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga. Maka dalam hal ini, tidak dapat tidak masyarakat perlu bekerjasama dengan sekolah untuk mencapai cita-cita sekolah dan negara. Justeru satu bentuk perkongsian antara masyarakat dengan sekolah merupakan pendekatan terbaik untuk merealisasikannya. Inilah yang menarik perhatian saya pada hari ini apabila bertemu rakan lama yang bertugas sebagai Pengurus di sebuah institusi perbankan dan kebetulan anaknya bersekolah di sekolah saya. Alangkah baiknya jika kekuatan komuniti dan sekolah ini digemblingkan untuk tujuan kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti bagi saya perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauhmana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum iaitu melalui PIBG.

Sesebuah institusi pendidikan tidak seharusnya boleh wujud bersendirian. Hubungan tiga dimensi di atas merupakan permuafakatan dan perkongsian bijak penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah institusi pendidikan pada masa kini. Selain itu perkongsian pintar atau bijak adalah satu gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat. Dalam konteks sektor awam, perkongsian pintar berlaku apabila agensi-agensi berkongsi kepakaran, mengguna pakai pengalaman atau produk dalam sesuatu bidang yang telah terbukti berjaya dan sesuai.

Berkaitan dengan konsep “Smart Partnerships” atau perkongsian bijak atau pintar adalah konsep “Smart community”. Konsep ini merujuk kepada satu kumpulan masyarakat di mana agensi kerajaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan institusi-institusi bukan kerajaan bersama-sama dengan orang awam dalam memahami dan menghayati potensi teknologi informasi untuk memperbaiki kerja dan cara hidup. Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat dua pula bermaksud : “Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.

Sebenarnya konsep perkongsian dalam pendidikan merupakan konsep lama yang telah diperbaharui daripada amalan-amalan yang telah biasa diamalkan dalam masyarakat kita seperti gotong-royong, kerjasama dan tolong-menolong. Malah masyarakat lain dalam dunia ini seperti Cina, Jepun dan India juga telah mengamalkan sikap bekerjasama sehingga terhimpun madah, ungkapan, bidalan atau perumpamaan yang menggambarkan kebaikan dan kepentingan mengamalkan semangat bekerjasama. Di kalangan masyarakat Melayu, ungkapan yang biasa kita dengar ‘seperti aur dengan tebing’, ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Di kalangan masyarakat Cina madah seperti ‘semua manusia adalah saudaraku, semua makhluk adalah sahabatku’. Sementara di kalangan masyarakat Jepun pula, ‘persaudaraan adalah perlindungan yang paling mahal’. Oleh itu perkongsian dalam institusi pendidikan termasuk di sekolah merupakan usaha
mengukuhkan semula segala kelakuan-kelakuan yang berunsurkan kerjasama untuk kebaikan bersama yang telah wujud dan diamalkan dalam agama dan budaya masyarakat kita. Ia merupakan usaha yang berterusan supaya dapat menangkis ancaman-ancaman dalam era globalisasi ini. Kalau tidak dikukuhkan ikatan perpaduan, sekolah akan bergerak bersendirian tanpa sokongan masyarakat.

Dalam usaha mencapai cita-cita sekolah dan negara, konsep perkongsian dalam pendidikan cuba mencapai matlamat supaya masyarakat dapat mengambil berat terhadap anak-anak mereka di sekolah. Permuafakatan dan kerjasama sekaligus akan menunjukkan keperihatinan mereka terhadap usaha membentuk dan mendidik generasi pada masa akan datang. Selain itu peranan pihak sekolah memerlukan masyarakat untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah seperti disiplin, kesihatan, kebajikan, akademik dan sebagainya. Diikuti pula suasana kehidupan bandar yang semakin ketara dan kompleks sifatnya menyebabkan sekolah sebagai institusi sosial memerlukan masyarakat ikut serta. Melalui perkongsian juga, kita kita boleh membetulkan srtuktur kekeluargaan yang semakin berubah seperti mengejar kebendaan dan bersikap individualistik tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling mereka. Keadaan ini kalau tidak diubah akan melemahkan lagi peranan pihak sekolah untuk menangani pelbagai isu secara bersendirian.

Justeru elemen perkongsan ini merupakan konsep yang boleh diaplikasikan untuk ‘memasyarakatkan sekolah’ – masyarakat mendekatkan diri kepada sekolah dan sekolah sentiasa bersama dengan masyarakat. Banyak program yang boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua entiti ini boleh saling berkerjasama untuk kebaikan sekolah.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment