KECEMERLANGAN PELAJAR DAN PELUANG KE SBP


Calon-calon UPSR kini sedang menunggu hasil yang akan dituai pada November ini. Calon-calon PMR pula akan menjalani peperiksaan berkenaan pada 13-17 OKTOBER 2008 depan. Dalam pada itu juga sebahagian ibu bapa kini sudah berkira-kira untuk mencari peluang agar anak-anaki mereka terpilih ke mana-mana sekolah berasrama penuh seperti Sekolah sains, MRSM dan sebagainya. Kita berharap ibu bapa yang mempunyai anak yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan PMR tahun ini akan memahami hakikat, bahawa tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebenarnya terhad dan tidak dapat menampung sebahagian besar calon yang cemerlang dan sentiasa meningkat setiap tahun. Keputusan cemerlang dalam akademik bukan jaminan bagi mereka diterima masuk ke sekolah berasrama penuh. Bagi memenuhi tuntutan sebagai insan mulia dan mempunyai sahsiah tinggi, murid juga harus menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.
Walaupun minat pelajar dan ibu bapa ini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap SBP, mereka harus menerima hakikat kejayaan sebenar anak bukan terletak pada sekolah semata-mata, tetapi pada diri murid itu sendiri serta sokongan keluarga. Ini bermakna jika murid itu tekun dan menumpukan perhatian kepada pelajaran serta mempunyai azam yang tinggi untuk maju, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pun sudah memadai. Lihat saja di sekeliling kita, begitu ramai orang berjaya tidak semuanya mendapat pendidikan menengah di SBP. Sekolah adalah tempat pelajar menimba ilmu dan mendapat tunjuk ajar sebelum menghadapi peperiksaan. Apa yang penting ialah disiplin diri untuk mendapat kejayaan dalam pendidikan dan azam kuat yang mendorongnya untuk memperoleh keputusan cemerlang. Malah, cabaran di SMK adalah lebih hebat memandangkan bilangan pelajar lebih ramai dan latar belakang pendidikan yang berbeza. Selain SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga turut menjadi sasaran utama pelajar dan ibu bapa, namun keadaannya juga sama kerana tempatnya yang terhad.
Memandangkan kecenderungan yang tinggi di kalangan pelajar dan ibu bapa untuk ke SBP dan MRSM, adalah amat wajar apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah membaiki mutu pendidikan di SMK dengan mewujudkan kelas khas yang mungkin boleh menempatkan pelajar cemerlang ini seperti Kelas Rancangan Khas (KRK), Kelas Aliran Agama (KAA), Program Khas (PK) dan sebagainya. Malah prasarana di banyak SMK sekarang adalah lebih baik, lebih canggih dan memiliki prasarana pembelajaran yang lengkap. Selain memberi peluang kepada mereka bersaing sesama sendiri, guru juga boleh merangka strategi agar mereka mendapat layanan seperti diperoleh pelajar di SBP atau MRSM. Di samping itu, sebagai langkah merapatkan jurang antara pelajar cemerlang dengan yang kurang cemerlang, sekolah juga boleh melaksanakan program mentor-mentee bagi pelajar tidak bermasalah dari segi disiplin yang ingin meningkatkan kemampuan mereka dalam bidang akademik. Selain itu, dari segi jangka panjang, pihak kementerian perlu juga melihat kepada kemungkinan mewujudkan lebih banyak SBP dan MRSM di seluruh negara bagi menampung pelajar cemerlang yang meningkat setiap tahun. Apapun, kita berharap pencapaian pelajar kita akan terus mencatat kecemerlangan tidak kira sama ada mereka belajar di SBP mahupun di SMK yang tidak kurang hebatnya dari segi prestasi akademik.Akhirnya saya berpandangan bahawa di mana juga kita menimba ilmu itu bukan persoalan utama kerana yang penting kehebatan dan kecemerlangan boleh dicipta di mana-mana sekolah jua. Pencapaian yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar di sekolah harian biasa selama ini membuktikan bahawa hakikatnyanya SMK harian boleh berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan sekolah elit seperti sekolah-sekolah SBP.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment