CABARAN ANAK GENERASI


Sedih dan sayu bila mengenangkan remaja-remaja kita yang hilang arah tujuan. Masalah keruntuhan akhlak nampaknya bagaikan tiada berpenghujung. Daripada gejala melepak, ketagihan arak dan dadah sehinggalah kepada kes-kes jenayah, kebanyakkannya dikaitkan dengan anak-anak muda kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Bagi yang berpangkat dan berpelajaran juga tidak ketinggalan. Selain semakin menjauhi agama, mereka juga semakin mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua ibu-bapanya. Bagi mereka ibu-bapa adalah beban dan sanggup menghantar mereka ke rumah orang-orang tua.

Siapakah yang harus dipersalahkan?. Adakah selama ini kita telah mengabaikan anak-anak kita?. Atau adakah sistem pendidikan kita sudah tidak berkesan untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan?. Atau persekitaran kita semakin kacau bilau dan tidak lagi memberikan ketenangan untuk tumbesaran anak-anak kita?.

Saya rasa gabungan faktor-faktor inilah yang membentuk peribadi anak-anak kita. Kalau selama ini orang gaji yang membesarkan mereka sehingga sesetengahnya fasih berbahasa Indonesia, cubalah berikan sedikit masa kita yang berkualiti untuk kasih-sayang anak-anak. Rajin-rajinlah menyemak apa yang mereka pelajari kerana sekarang ini remaja-remaja kita begitu terdedah dengan bahan-bahan negatif daripada buku-buku bacaan dan media-masa. Begitu juga dengan pelajaran agama, ajarlah mereka dirumah dan jangan mengharapkan semuanya di ajar di sekolah. Dan awasilah aktiviti-aktiviti luar anak-anak kita khasnya dengan siapa mereka berkawan kerana pengaruh kawan adalah begitu hebat bagi mereka.

Sekiranya kita mengabaikan tanggungjawab ini semua, janganlah kita menyesal pada suatu hari nanti. Pada masa itu barulah kita sedar sebenarnya sekarang ini kita sedang membesarkan penjenayah.

Di bawah ini saya perturunkan kata-kata nasihat Lukmanul Hakim kepada anaknya semoga sedikit sebanyak boleh menjadi panduan kepada kita semua. Mungkin telah ramai orang yang telah membacanya, tetapi apalah salahnya kita mengingati dan menghayatinya semula.

01. Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah.

02. Wahai anakku, Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

03. Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

04. Wahai anakku, seandainya ibu-bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan, maka marahnya adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.

05. Wahai anakku, Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06. Wahai anakku, selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

07. Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08. Wahai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada itu, bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09. Wahai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan bila mana tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimu sendirilah yang layak menjadi utusan.

10. Wahai anakku, Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11. Wahai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Wahai anakku, Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Wahai anakku, janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya sesuatu itu dan janganlah pula terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Wahai anakku, Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim-ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Wahai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Perkara itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Wahai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17. Wahai anakku, Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan benda yang berharga.

18. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Wahai anakku, Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20. Wahai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Wahai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Wahai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu dan janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Wahai anakku, barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24. Wahai anakku, bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata- katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25. Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang menjadi beban kepada orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment