DISIPLIN PELAJAR - ISU YANG TIDAK PERNAH SELESAI


Sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira sama ada di sekolah bandar atau luar bandar mahupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita.

Sebenarnya terdapat beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab tentang masalah disiplin ini termasuklah para pelajar sendiri, para guru, ibu bapa, masyarakat serta kerajaan. Ketika ini apabila berlaku sesuatu insiden dengan mudahnya semua orang menuding jari ke arah guru. Sepatutnya setiap kes diteliti supaya punca kejadian itu dapat dikenal pasti. Selepas itu satu kajian yang lebih menyeluruh mesti dibuat bagi mencari ke akar umbi faktor yang menyumbang kepada berbagai masalah disiplin pelajar masa kini.

Para pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka. Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, kawan, keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Ini termasuk keadaan dunia yang tanpa sempadan kini menyaksikan pelbagai pengaruh dari luar menjajah minda para pelajar sekarang. Walaupun begitu institusi keluarga dan sahabat merupakan sumber yang paling rapat dapat mempengaruhi pelajar.

Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih. Guru yang pertama seorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Seorang bayi akan belajar dengan melihat dan mencuba apa yang dilakukan dan disebut oleh orang di sekelilingnya. Oleh kerana keperluan kehidupan ibubapa terpaksa bekerja maka anak-anak kecil ini sehinggalah ke peringkat remaja biasanya diasuh oleh pembantu rumah.

Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna. Ini perlu memandangkan ibubapa yang bekerja mempunyai masa yang terhad bersama dengan anak-anak. Masa yang singkat ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kasih sayang dan kemesraan kekeluargaan itu dapat dieratkan.

Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi. Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa. Pendidikan agama sejak kecil dan dimulakan di rumah seharusnya menjadi elemen yang penting dalam membentuk moral dan mengatasi masalah sosial ini. Ramai bertanya kenapakah pendidikan agama di sekolah kurang berkesan untuk membentuk peribadi pelajar seperti yang diharap-harapkan.

Nilai kekeluargaan yang dikatakan sebagai punca utama jenayah pelajar ialah perubahan tingkah laku. Pendidikan sejak kecil adalah penentu kepada tingkah laku yang positif. Nilai-nilai yang ditanam ini meliputi emosi, fikiran, pertembungan ideologi dan sebagainya boleh menimbulkan sahsiah salihah yang akan memberi kesan kepada nilai dan budaya dalam sesebuah keluarga.

Selain itu pengaruh persekitaran juga menjadi cabaran besar dalam menentukan hala tuju dan pembentukan nilai. Tanpa penerapan dan amalan nilai-nilai murni yang memberi penghargaan terhadap keluarga, sukar untuk mempunyai jati diri bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Pemahaman Dasar Sosial Negara (DSN) sebagai dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat wajar dijadikan sebagai teras di peringkat prasekolah lagi. Objektif dasar ini ialah mempastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi serta membangunkan dan memperkasakan insan sepanjang hayat supaya penerapan nilai-nilai murni dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Membuat perbandingan sistem pendidikan dengan negara lain juga boleh memberikan idea kepada kita untuk disesuaikan dengan iklim masyarakat kita. Umpamanya di Jepun, penekanan pendidikan bukan lagi kepada 3M tetapi untuk memupuk hubungan kasih sayang di antara guru dan pelajar serta menyuburkan jiwa berdikari dalam diri pelajar. Malah sejak sekolah tadika dan sekolah rendah, para pelajar diajar berdamping dengan komuniti melalui penjelajahan kerjaya seperti turun ke sawah padi, membersihkan kawasan sekolah dan sebagainya. Didikan seperti inilah yang bakal melahirkan ahli masyarakat yang peka dengan persekitaran dan tahu menjaga diri.

Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing. Cuba fikirkanlah apa yang akan terjadi kepada negara kita yang tercinta ini jika mereka yang bijak tetapi tidak mempunyai jati diri serta rosak akhlaknya menjadi pemimpin. Menjatuhkan hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka yang mempunyai masalah disiplin dan moral ini sebenarnya sedang sakit. Samada sakit jiwa, sakit hati, sakit fikiran atau sakit rohaninya. Mereka yang sakit perlu dirawat supaya dapat pulih semula. Mereka yang terjatuh perlu dibantu untuk bangun semula. Mereka yang tersesat perlu dibimbing ke pangkal jalan.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment