KESERONOKAN BEKERJA SEPASUKAN


Satu aspek yang sangat rapat dengan cara hidup masyarakat dan budaya orang Timur ialah kerjasama dan muafakat. Dalam konteks masyarakat Melayu misalnya, budaya kerja kolektif telah menjadi identiti dan warisan kehidupan, iaitu seperti yang digambarkan menerusi pantun berikut:
Hendak belayar ke Teluk Betung,
Sambil cuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Tidak cukup dengan itu, kerjasama dan hubungan erat dalam kehidupan anggota masyarakat ini terlihat menerusi perbilangan adat berikut::
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tiada sama dicari
Sama sakit sama senang
Ke bukit sama mendaki
Ke lembah sama menuruni
Sama menghayun sama melangkah
Jika khabar baik diberitahu
Jika khabar buruk serentak didatangi
Jika jauh ingat mengingati
Jika dekat temu menemui
Dapat sama laba
Hilang sama rugi


Masyarakat Melayu tradisi sememang kuat berpegang kepada amalan gotong-royong, tolong-menolong, bekerjasama dan bermuafakat dalam menyempurnakan keperluan hidup serta sesuatu pekerjaan. Misalnya, mereka bekerjasama untuk membina rumah, membersihkan perkuburan, melangsungkan kenduri-kendara, menyempurnakan jenazah dan segala aspek berkaitan dengan tanam-tanam di sawah padi.

Menerusi hubungan baik dan harmoni, permuafakatan mudah diperolehi untuk melaksanakan amalan kebajikan dan mencegah kebatilan. Oleh itu sentimen kepunyaan, semangat berkumpulan, kerja bersama-sama, gelak ketawa bersama, dan obligasi kerja secara kolektif adalah amalan warisan dalam organisasi masyarakat Melayu.

Pasukan merupakan satu kelompok atau kumpulan pekerja yang bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu matlamat spesifik dalam organisasi. Anggota pasukan adalah terdiri daripada dua atau lebih pekerja yang saling bersandaran, berinteraksi dan bersepakat untuk melaksanakan strategi tertentu ke arah pencapaian matlamat secara bersama.

Secara mudahnya kerja berpasukan merujuk kepada sekumpulan pekerja dalam organisasi yang melaksanakan tugas secara berganding bahu antara satu sama lain dalam kumpulan tersebut dan sama-sama bergabung bagi mencapai matlamat kumpulan. Ahli-ahli pasukan akan berinteraksi rapat, berkongsi maklumat, membuat keputusan dan memikul tanggungjawab bersama bagi melakukan tugas yang ditetapkan dalam ruang lingkup tugas dan kuasa yang diperturunkan.

Justeru, kerja berpasukan adalah gabungan kebolehan, kemahiran dan pengalaman serta melahirkan keseronokan bekerja individu dalam pasukan, yang dilakukan secara bersepadu untuk menghasilkan output kerja yang lebih tinggi dari segi kuantiti dan kualiti berbanding usaha yang dilakukan secara perseorangan. Oleh itu menerusi kerja berpasukan, organisasi dapat mengharapkan berlakunya peningkatan hasil yang maksimum berbanding dengan pertambahan kos dan sumber yang minimum.

Melalui kerjasama secara berkumpulan membolehkan produktiviti dan kualiti ditingkatkan iaitu hasil penggabungan kepakaran, pengetahuan dan komitmen semua ahli. Masa dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu kerja dapat diminimumkan. Manakala kos operasi juga akan dapat menjimatkan.

Oleh kerana setiap anggota berpeluang untuk berkongsi kebolehan dan bakat, mereka boleh menjadi lebih bijak dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Malah proses membuat keputusan berdasarkan pergaulan dan pengalaman kerja secara berkumpulan, akan mematangkan mereka, menyeronokkan dan meluaskan pengalaman dan kemahiran.

Dengan adanya kumpulan membolehkan maklumat dan idea terkumpul. Sekiranya sepuluh orang menganggotai satukumpulan dan setiap orang memberi satu idea, kumpulan akan mempunyai 10 jenis idea. Lebih banyak pandangan adalah lebih baik kerana kumpulan berpeluang untuk menapis dan memilih idea yang terbaik untuk dilaksanakan. Akhirnya organisasi akan menjadi lebih cekap dan mampu berdaya saing.

Apabila pekerja diberi kepercayaan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah, ia adalah satu bentuk empowerment. Pekerja akan memperolehi dorongan berikutan kepercayaan dan penghargaan yang diberi oleh majikan. Anggota kumpulan akan merasa puas apabila mereka terlibat sama dalam proses membuat keputusan. Dengan itu, cadangan dan strategi yang dihasilkan secara berpasukan adalah lebih mudah dilaksanakan.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment