RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI




Walaupun, Syawal telah memasuki hari ke-21 hari ini, namun di sana sini masih ada keluarga yang kunjung-mengunjungi walaupun tidak sehebat pada tiga hari Syawal bermula, tetapi bahang kemeriahannya masih dirasakan. Saya sendiri masih menerima kehadiran teman-teman dan bertandang ke rumah rakan-rakan sama ada kunjungan biasa atau atas jemputan. Kemeriahan itu dapat dilihat dengan lebih ramai mereka yang mengadakan Rumah Terbuka pada malam hari Sabtu dan Ahad.

Rumah Terbuka atau 'open house' sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk sambutan deepavali, tahun baru cina, hari natal dan paling istimewa pada sambutan Aidilftri sepanjang bulan Syawal. Istilah Rumah Terbuka juga memang sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia. Sebut saja Rumah Terbuka semua orang tahu, hatta kanak-kanak pun mudah memahaminya. Begitulah hebatnya pengaruh Rumah Terbuka.
Pada perayaan seperti ini, tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan berbagai generasi masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim buat pemimpin masyarakat, jabatan kerajaan dan swasta, individu, persatuan ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Cuma besar atau kecil dan berapa ramai tetamu terletak kepada perancangan, bajet atau jemputan sama ada di kalangan kakitangan di tempat kerja, ahli persatuan, jiran mahupun kawasan yang dijemput. Apa yang menarik berbagai hidangan makanan, minuman termasuk kuih muih, makanan ringan , berat serta berbagai jenis dan rasa makanan yang enak termasuk lemang, ketupat, rendang, selain kuih tradisional sama ada kuih bulan , kuih bahulu atau maruku akan kita temui di rumah terbuka.

Tidak ketinggalan bagi individu atau keluarga yang menganjurkan rumah terbuka berkenaan, mengambil kesempatan mencuba resepi baru untuk diperkenalkan kepada tetamu atau rakan yang berkunjung bagi memperbagaikan hidangan. Malah rumah terbuka juga memberi makna besar kepada masyarakat di negara ini mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelak sebarang prejudis kepada keharmonian hubungan kaum. Itulah keindahan konsep rumah terbuka yang memberi kebebasan kepada kita untuk berkunjung ke rumah terbabit tanpa sebarang halangan dan kekangan yang harus dibimbangi.

Suatu yang menarik. dalam keadaan ekonomi yang meruncing dan harga barangan yang sentiasa naik, ada trend beberapa kejiranan masyarakat di taman perumahan tempat saya tinggal telah mengadakan rumah terbuka secara berkongsi di antara beberapa rumah jiran. 6 keluarga berhampiran berpakat mengadakan rumah terbuka secara berkongsi dan ini adalah lebih menjimatkan di samping dapat mewujudkan suasana yang lebh meriah.

Rakan saya yang berkunjung dari Selangor pula menyebut bahawa setiap tahun kariah surau taman di tempatnya tinggal mengadakan rumah terbuka atau jamuan raya di surau. Semua dijemput dan masing-masing akan membawa makanan sendiri (pot luck). Jamuan raya yang diadakan sehari suntuk dari makan pagi, tengah hari hingga malam itu memberi kesempatan pada penduduk untuk saling berkenalan dan beramah mesra. Aktiviti turut diisi dengan bacaan Yasin dan mendoakan mereka yang sakit agar segera sembuh serta supaya kawasan perumahan tersebut selamat. Dengan kata lain, menurutnya, aktiviti yang dijalankan seakan-akan di kampung walaupun mereka tinggal di bandar. Ini juga antara konsep ’open house’ yang agak menarik.

Nikmat syawal juga nyata paling bernilai buat masyarakat islam di negara ini, berikutan amalan rumah terbuka adalah pentas untuk bertemu, berkenal mesra mahupun menjamu tetamu bagi mensyukuri rezeki yang diterima. Yang jelas amalan ini juga menjadi medan untuk antara tetamu dan penganjur untuk lebih mengenali secara istimewa termasuk anak-anak rakan, isteri serta keluarga masing-masing berikutan kebiasaan pertemuan antara mereka hanya terhad di pejabat atau di lokasi pekerjaan .

Saat kegembiraan di bulan Syawal yang mulia ini, janganlah sesekali kita melampaui batas atau terlupa untuk bersyukur kepada segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita semua, sama ada kita berada dalam kelompok kaya, sederhana mahupun miskin. Semoga amalan kita mensyukuri nikmat apa yang kita terima dengan rezeki melimpah ruah sepanjang Ramadan dan Syawal dipulangkan dengan pahala yang besar, serta keberkatan daripadaNya.

Tidak dapat dinafikan inilah keistimewaan Aidilfitri dalam bulan Syawal yang tidak diperolehi dalam bulan-bulan yang lain, berikutan di bulan inilah kita dapat berjumpa dan berkenal-kenalan, selain bertemu saudara yang jauh sambil bermaaf-maafan dengan melupakan persengketaan untuk dileraikan dengan ikatan persaudaraan yang sejati. Simboliknya, Rumah Terbuka ialah medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan silaturahim termasuk jiran tetangga selain sebagai jambatan mengeratkan tali persaudaraan dan menjalin ikatan perpaduan antara kaum ke arah hubungan yang lebih kukuh, dinamik dan harmoni. Aidilfitri secara langsung merapatkan hubungan rakan sekerja dalam suasana yang lebih harmoni berikutan setengah ketua pejabat mengadakan Rumah Terbuka untuk meraikan anak-anak buah atas dasar kesungguhan bekerja, produktiviti meningkat, galakan untuk bekerja lebih berkualiti selain merapatkan hubungan mesra berikutan keterbatasan pergaulan di pejabat.

Dalam sistem kekeluargaan, Rumah Terbuka amatlah bersesuaian kerana ternyata ianya dapat menghubungkan antara satu sama lain terutama sekali keluarga yang jauh yang hanya dapat bertemu setahun sekali. Dalam pada itu, ianya akan mengeratkan hubungan lebih rapat dalam satu ikatan simpulan yang padu dan kukuh. Ini kerana kadang-kadang ada terdapat saudara mara yang tidak mengenali saudaranya sendiri terutama di kalangan muda-mudi dan para remaja. Lantaran itulah Rumah Terbuka memainkan peranan yang cukup penting dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan yang sekali gus akan terus menjalin kesejahteraan berkeluarga dan bersaudara. Fenomena seumpama itu, amatlah perlu dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar.

Itulah sebenarnya roh Aidilfitri yang tetap menganjurkan umatnya mengeratkan silaturahim, saling bermaaf-maafan yang tentunya memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan. Jangan kita biarkan seruan-seruan perpaduan dan silaturahim itu tinggal sebagai 'janji kosong' dan retorik semata-mata. Buktikan ianya menjadi amalan seharian. Caranya sentiasa mendampingi dan bergaul mesra dengan sanak saudara dan sahabat handai.

Amalan yang mulia seperti ini hendaklah berterusan dan bukannya 'bermusim' seperti musim buah, tetapi jadikanlah ianya amalan yang bermula pada diri individu, kemudian kepada keluarga, beralih kepada masyarakat dan seterusnya negara. Sememangnya, amatlah sukar untuk memperkukuh perpaduan, andainya, kalangan keluarga bercakaran dan berdendam sesama sendiri. Padahnya amat buruk kepada sistem kekeluargaan yang pastinya membawa kepada perpecahan. Kita tidaklah mahu perkara ini berlaku dalam masyarakat kita yang tebal dengan tatasusila, memang sudah terkenal dengan kasih sayang dan menyayangi di antara satu dengan yang lain.

Kita juga merasa beruntung dapat merayakan Aidilfitri dalam nikmat aman, sejahtera dan harmoni yang berpanjangan, tidak seperti umat Islam lain yang terpaksa merayakan dalam keadaan tidak tenteram, malah ada yang langsung tidak berpeluang untuk meraikannya. Jadikanlah Aidilfitri sebagai medan untuk mengeratkan silaturahim dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wataala melalui sikap saling bermaaf-maafan di bulan Syawal yang mulia ini. Rebutlah peluang semasa Rumah Terbuka untuk memperbaharui lagi azam untuk kita lebih bersatu padu dan kekal dalam kesejahteraan dan keamanan.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment