PERLEMBAGAAN, RUKUN NEGARA DAN PERPADUAN BANGSA
Negara Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik dengan kaum terbesar ialah Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban, dan lain-lain. Kewujudan pelbagai etnik ini memberi banyak dimensi kepada budaya, perpaduan dan sering menjadi agenda yang mewarnai politik, sosial dan pentadbiran negara. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, Malaysia menghadapi keresahan masa depan yang tidak menentu. Walau bagaimanapun kewujudan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya menjadi kekuatan walaupun masyarakat luar melihat ia merupakan suatu mimpi ngeri bagi negara ini.
Terdapat suara sinis ke atas kemampuan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk mengurus kepelbagaian ini biarpun ada yang meyakini kepelbagaian tersebut dapat diurus dengan sempurna. Perubahan yang dilalui oleh sebahagian besar masyarakat setelah mendapat kemerdekaan daripada British masih lagi menjadi persoalan sehingga kini. Sepanjang meniti usia kemerdekaan ini, beberapa peristiwa besar telah menggugat perpaduan kaum yang dilihat sebagai mencacatkan rekod perpaduan yang dilalui. Dengan peristiwa 13 Mei 1969 menjadi igauan buruk kepada generasi tua, ia seolah-olah tidak lagi menjadi satu yang diutamakan oleh generasi muda, generasi "hip-hop atau generasi "reformasi."
Laluan perjalanan sejarah bangsa dan negara tidak harus dipinggirkan apabila kita ingin melihat hala tuju pada masa depan. Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang agama, bangsa, bahasa dan budaya, andaian-andaian yang buruk sering kali menjadi fokus. Contohnya, sebelum mendapat kemerdekaan, malahan selepas merdeka turut menjadi persoalan iaitu perkauman.
Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja yang dibuat sebelum mesyuarat majlis itu Khamis lalu, adalah sesuatu yang sangat bermakna memandangkan banyak kontroversi ditimbulkan ahli politik tertentu sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai hak dan perlindungan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kenyataan itu menyentuh isu kontrak sosial, keperluan untuk menghormati perlembagaan, hak semua kaum, kedudukan raja, status agama Islam dan bahasa Malaysia, adalah peringatan tepat pada masanya untuk kita semua mengenai tanggungjawab terhadap perpaduan, keamanan dan keharmonian. Ia sangat penting kepada kejayaan dan kemakmuran negara kita yang pelbagai kaum, agama dan budaya ini.
Kenyataan Majlis Raja-Raja berkenaan sebenarnya dengan sendiri yang menjadi pelindung kepada negara, adalah peringatan kepada mereka yang berterusan mengungkit isu perkauman, boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam negara kita. Inti pati kenyataan itu ialah mesej mengenai perpaduan, keamanan dan keharmonian yang amat diperlukan, tidak boleh diambil mudah walaupun sudah 51 tahun kita menjadi negara merdeka. Janganlah kita gugat apa yang dicapai setakat ini. Janganlah kita benarkan sikap keterlaluan dan keganasan dalam bentuk apa pun untuk memecahbelahkan negara yang kita semua sayangi, tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat bersemadi nanti.
Kita perlu ingat bahawa negara kita memiliki Rukun Negara - ideologi kebangsaan Malaysia yang telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Rukun Negara diwujudkan pada 1970 dengan tujuan untuk mencapai persetujuan paling minimum terhadap aspirasi nasional di kalangan rakyat negara ini daripada pelbagai kaum, keturunan dan kebudayaan. Selain meningkatkan perpaduan rakyat, mengekalkan sistem demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, pendekatan liberal terhadap budaya, di samping membangunkan masyarakat progresif berorientasikan sains dan teknologi; Rukun Negara juga menjadi panduan sosial dalam bentuk prinsip berikut: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan
agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankankeluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya
untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semu pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik
dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa
undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.
Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan
merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada
dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Prinsip-prinsip inilah yang selama ini berjaya menyatukan rakyat dan menjadi prinsip kenegaraan kita, perlu disemaikan kepada generasi muda yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah panduan kepada kita dalam membangunkan negara dan perlu dihormati semua. Ia adalah wawasan yang perlu dikongsi bersama untuk perpaduan nasional.
Justeru, kita seharusnya bersyukur dengan kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Lihatlah negara lain betapa sengsaranya mereka di negara sendiri terpaksa hidup dalam kelaparan , ketakutan , kesengsaraan dan kehinaan. Mengapa perkara sebegini berlaku - disebabkan perpaduan, kesetiaan, hormat menghormati dan sayang menyayangi sudah hilang dalam diri mereka. Janganlah kita lupa sejarah bangsa dan renteten peristiwa yang menjadikan negara kita kekal aman. Jangan bersifat seperti "marahkan nyamuk kelambu dibakar", hanya kerana sedikit tidak puas hati hingga sanggup memperjudi masa depan perpaduan negara. Jangan hanya hendak memuaskan hati sekarang maka sanggup menyebabkan kedukaan berterusan pada masa depan. Kita seharusnya tidak terikut-ikut dengan segelintir manusia yang hanya mementingkan agenda peribadi untuk jangka pendek dan kesampingkan jutaan rakyat yang sememangnya mahukan keamanan dan perpaduan di bumi bertuah ini.
0 comments:
Post a Comment