Bangau oh Bangau

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.
Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul?
Macamana aku nak timbul, Rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput,
Kenapa engkau panjang sangat?
Macamana aku tak panjang,
Kerbau tak makan aku.
Katak oh katak,
Kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil,
Ular nak makan aku.
Ular oh ular,
Mengapa nak makan katak?
Macamana aku tak makan.
Memang makanan aku.


Kenangan saya menerjah ke zaman kanak-kanak semasa bersekolah di tadika KEMAS semasa berumur 6 tahun dulu, apabila anak bongsu saya Amira menyanyikannya di dalam kereta semasa saya mengambilnya pulang dari taska. Inilah antara lagu yang saya dan rakan-rakan seusia nyanyikan di tadika yang hanya menggunakan balai kerja kahwin terbuka daripada kayu dan beratapkan zing di kampung saya, jauh berbeza dengan kelas tadika hari ini yang serba canggih.

Apa yang menarik perhatian saya bukan kelas tadika tetapi lagu “Bangau Oh Bangau” yang sudah menjadi lagu ‘evergreen’ pada tahap kanak-kanak. Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak.

Cikgu saya dulu apabila mengajarkan melodinya disulami dengan cerita tentang binatang. Memang saya tabik dengan guru dahulu yang punya keupayaan tinggi apabila bercerita hingga anak-anak dapat memberi tumpuan sepenuhnya walaupun tanpa alat bantu audio video seperti sekarang. Apakah guru-guru kita hari ini dapat menandingi kreativiti bercerita seperti guru-guru dulu?

Walaupun lagu bangau oh bangau itu lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, apabila kita kaitkannya dengan kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat. Ia sangat relevan dengan tabiat sesetengah orang/masyarakat kita yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat. Tetapi apa yang penting lagu lisan seperti ini dihasilkan dalam masyakat yang sinonim dengan alam pada zaman dahulu – pokok, haiwan dan persekitaran.

Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

Moral daripada kisah berlagu ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan dilakukan secara bersama dalam rakan pasukan.

Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

Dalam masyarakat atau organisasi memang terdapat golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas kita menyalahkan ibu-bapanya. Bila ditanyakan kepada ibu bapa, dikatakan itu semua salah guru yang mengajar anak mereka dan ia akan terus tuding menuding yang ada kalanya tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Masing-masing cuba menegakkan benang basah dengan pelbagai macam helah bela diri masing-masing. Memang satu perkara yang lumrah, memang mudah menyalahkan orang lain daripada kita muhasabah diri sendiri apabila berlaku sesuatu masalah.

Sekiranya budaya menuding jari begini berterusan, sampai bila-bila pun masalah tidak akan selesai. Inilah bahananya apabila kita sering menyalahkan pihak lain. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah antara sifat yang ada dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial di kalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain. Menyalahkan ibu bapa, guru, kerajaan dan sebagainya, itulah yang sering kita dengar. Sedangkan kita tidak sedar 1 jari kita menuding kepada pihak lain, 4 jari lari sebenarnya menuding kepada diri kita sendiri.

Kesimpulannya lagu “bangau oh bangau” ini meminta kita sentiasa mencermin diri untuk melihat permasalahan sebenar dengan rasional dan mengambil tindakan-tindakan konkrit secara kolektif supaya penyelesaian dapat diambil.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment