Sunday, May 29, 2011

Karakter Pendidik Dalam Menjuarai Perubahan

Saya amat tertarik dengan aspek karakter pendidik apabila selesai membaca buku Y.Bhg Dato KPPM - Haluan Kerja Pendidikan - Merealisasikan Agenda Transformasi Negara. Guru tidak dinafikan antara golongan barisan depan yang bertindak sebagai agen perubahan. Sesuailah dengan sajak Usman Awang "Guru Oh Guru" - siapa pun juga kita......semuanya bermula dengan seorang guru....... Justeru tahun ini tema hari guru - "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" amat bersesuaian sekali.

Jadi, apakah sebenarnya karakter atau personaliti yang perlu ada pada seseorang pendidik yang akan menjuarai perubahan-perubahan ini? Ada 4 karakter yang digariskan oleh Dato' Abd Ghaffar Mahmud iaitu :

1. Pendidik perlu peka kepada persekitaran pekerjaannya yang telah berubah. Justeru guru hendaklah berupaya mengenalpasti kewujudan faktor atau angkubah perubahan yang baharu. Contohnya jangkaan ibu bapa terhadap pelajar lepasan sekolah, keterlibatan masyarakat (GO, NGO, sektor industri) dalam pendidikan, Transformasi pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah, transformasi pentaksiran dan era digital. Apabila kita peka dengan persekitaran ini mudahlah kita bertindak mendepani penyelesaian berkaitan isu-isu pendidikan di sekolah.

2. Pendidik tidak pernah berpuas hati dengan tahap pencapaian sedia ada. Sehubungan itu pendidik tidak hanya mencanag rekod lamanya yang cemerlang tetapi sentiasa terus mendorong diri untuk mengatasi pencapaian semalam dan mencipta standard baru yang lebih tinggi. Oleh itu apa yang perlu dilakukan ialah memerah ikhtiar, menyertai latihan, menunjau rahsia kejayaan orang lain, membuat inovasi demi mewujudkan budaya kerja yang cemerlang. Itulah yang sepatutnya dipamerkan oleh pendidik kita.

3. Paradigm breaker - pendidik perlu menjadi peneroka penyelesaian baharu terhadap isu-isu yang mendatangkan kekusutan dalam kerja guru ini.  Pendidik perlu memiliki mentality 'can do' - bersedia mendengar, meneliti, mempelajari, memahami dan menerima idea-idea serta konsep baharu demi keberkesanan kerja, kesempurnaan strategi dan pencapaian matlamat untuk menggerakkan jentera pendidikan negara.

4. Sentiasa belajar, sentiasa berusaha menguasai pengetahuan dan kemahiran, mencari peluang latihan dan mencerna idea serta metodogi baharu dalam melaksanakan tugas. Inilah yang dinamakan pendidik yang komited dalam tugas sepanjang hayat. Dalam erti kata lain dapat melaksanakan tanggungjawab dan memacu inovasi tanpa disuruh dan didorong. Apatah lagi dalam era digital kini segala-galanya mudah untuk diperolehi asalkan mempunyai keinginan untuk melakukan dan memperolehnya.

Thursday, May 26, 2011

Haluan Kerja Pendidikan - KPPM

Judul : Haluan Kerja Pendidikan–Merealisasikan Agenda Transformasi Negara
Penulis: Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Jumlah halaman: 124
Tahun terbitan: 2011
ISBN: 978-983-43018-3-5
Penerbit: Kementerian Pelajaran Malaysia
Pengurus penerbitan dan pengedaran: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. 

Buku Haluan Kerja Pendidikan ini amat baik dan wajib dibaca oleh semua kerabat pendidik di seluruh negara dan boleh
dimuaturun menerusi laman di bawah :
BUKU HALUAN PENDIDIKAN

Ulasan Buku Oleh Azman Adnan :

Haluan Kerja Pendidikan mengandungi idea inovatif Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmod sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) untuk menjana dan menggembleng semua resos professional pendidikan khususnya golongan pendidik, bagi menjulang idea besar dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan impian Wawasan 2020 serta agenda operasional  1Malaysia. Tulisan beliau turut mempamerkan kepada masyarakat bahawa penyumbang terbesar dan terbaik kepada agenda transformasi negara ialah kaum pendidik dan jentera pendidikan kebangsaan.

Buku Haluan Kerja Pendidikan secara keseluruhannya bukanlah catatan impian atau sekadar tulisan retorik Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Sebaliknya Haluan Kerja Pendidikan mengemukakan kerangka tindakan responsif terhadap fenomena baharu sejagat, acuan untuk menempa juara perubahan, resepi bekerja aras cemerlang, program untuk menterjemah agenda ‘rakyat didahulukan’, dan inovasi pengajaran dan pembelajaran untuk melaksanakan agenda ‘pencapaian diutamakan’.

Bab 1 disajikan dengan 3 hala tuju pendidikan 2010-2012 berdasarkan ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri iaitu merealisasikan matlamat asas pendidikan membentuk sahsiah insan, merealisasikan hasrat membentuk modal insane dan merealisasikan asirasi 1Malaysia di samping ingatan beliau terhadap golongan pendidik tentang cabaran daya saing dalam menjana modal insan, membantu Negara dalam ekonomi berpendapatan tinggi dan menjamin soal kelestarian jati diri bangsa Malaysia.

Bab ke-2, beliau menggarap misi jentera pendidikan di segenap peringkat – KPM, IAB, IPG, JPN, PPD, sekolah dan lain-lain untuk merealisasikan falsafah “1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai hala tuju dan perancangan baharu kerajaan untuk menjayakan wawasan 2020.

Dalam bab 3 belau menggariskan 4 karaktor pendidik untuk menjuarai perubahan – peka persekitaran yang berubah, tidak puas dengan tahap pencapaian dan keberhasilan, karaktor paradigm breaker, peneroka penyelesaian baharu terhadap isu-isu yang mendatangkan kekusutan pekerjaan dan profesyen dan sentiasa menjadi juara perubahan iaitu sentiasa belajar, berusaha menguasai pengetahuan, mengintai peluang, menyediakan diri mahami dan mencerna idea baru. Sehubungan itu beliau telah membentangkan Prinsip Kerja X-PLUS :

“Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP dan ETP: memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence), berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan. Prinsip kerja X-PLUS.” (Muka surat 43.)

Beliau seterusnya mengajak kaum guru merealisasikan gagasan 1Malaysia menerusi GTP, kepimpinan berwawasan, mengupayakan modal insan, membudayakan inovasi, dan mencegah sindrom kompetensi terbiar. Jelas dalam buku ini Dato’ Abd Ghaffar mengajak dan merangsang daya juang golongan pendidik sebagai barisan depan menggalas tanggungjawab transformasi negara menerusi mekanisma pendidikan.

Dalam bab keempat beliau turut menggariskan 4 pendekatan untuk mengangkat profesionalisme kaum guru iaitu melalui watak profesional guru, professional guru mengajak murid berfikir, professional guru belajar sepanjang hayat dan ketua guru/pengetua dan guru besar yang berkelayakan dan terlatih.

Dato’ Abd. Ghafar menamatkan catatan gagasan pemikiran Haluan Kerja Pendidikan dengan ungkapan yang mengandungi pesanan yang cukup mendalam terhadap warga pendidik seperti di bawah :

“Sesungguhnya kerja besar menterjemahkan agenda besar transformasi negara ini bukan alang kepalang beratnya dan bukan calang-calang orang mampu menyempurnakannya. Justeru kerja pendidikan ini melibatkan jutaan murid yang berlainan paras rupa dan berbeza usia, jutaan ibu bapa yang berlainan cita rasa, ribuan cendekiawan yang bijak bermain bahasa dan ribuan orang yang pandai berkata-kata, maka guru, pengurus guru dan ketua guru hendaklah sentiasa menjaga air muka, mengawal amarah rasa, menyantunkan kata bicara, dan sentiasa bersabar dalam kerja usaha.” (hlm 124)
Kesimpulannya, buku ini amat menarik untuk dibaca oleh semua golongan guru dan kandungannya memerlukan kita berfikir aras tinggi dan penghayatan serta tindak ikut operasional di segenap peringkat berdasarkan kapasiti di mana kita berada untuk membantu kerajaan menjayakan aspirasi dan idea besar yang digariskan sebelum ini.  Lebih menarik dalam buku ini menerusi prakatanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin telah memberi ulasan tentang buku ini iaitu :
“Inilah inti pati gagasan pemikiran dan tekad bekerja Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, yang dibentangkan dalam buku Haluan Kerja Pendidikan – Merealisasikan Agenda Transformasi Negara. Gagasan pemikiran bagi menyatukan tumpuan dan tujahan warga profesional Kementerian Pelajaran Malaysia supaya berupaya bangun sederap dan bergerak seiringan dengan agenda besar transformasi negara menerusi pembinaan tunas modal insan berpengetahuan aras tinggi, berpemikiran aras kreatif, berkemahiran aras inovatif, berjiwa patriotik dan bersahsiah mulia.”

Haluan Kerja Pendidikan - Kppm

Thursday, May 19, 2011

Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011


Perayaan Hari Guru peringkat negeri Johor akan diadakan pada 19 MEI 2011 di Dewan Raya Bandar Putra, Kulaijaya sepelaung sahaja jaraknya daripada sekolah saya SMK Bandar Putra. Selamat berkunjung ke sana buat teman-teman pendidik negeri Johor.


Tarikh    : 19 Mei 2011
Tempat : Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulaijaya. Johor

Atur cara Majlis :

8.30 pagi    : Ketibaan tetamu jemputan
8.45 pagi    : Ketibaan Yang Berbahagia
                    En. Mohd Nor bin A. Ghani ,
                    Pengarah Pelajaran Johor

9.00 pagi    : Ketibaan YAB
                    Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman,
                    Menteri Besar Johor

                    : Nyanyian Lagu Bangsa Johor
                    : Lagu Selangkah Di Hadapan
                    : Bacaan Doa
                    : Ucapan Alu-aluan oleh En. Mohd Nor bin A. Ghani,
                      Pengarah Pelajaran Johor

                    : Ucapan Perasmian oleh
                       YAB Dato' haji Abdul Ghani bin Othman,
                      Menteri Besar Johor

                    : Nyanyian Lagu Tema
                    : Ikrar
                    : Nyanyian Lagu Guru Malaysia
                    : Penyampaian Anugerah Pertandingan
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Guru
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan
                    : Nyanyian Lagu Negaraku
                    : Bersurai

Tuesday, May 17, 2011

Insentif Guru - Jasa Pendidik Terus Diiktiraf


BERITA gembira buat guru sempena Hari Guru semalam, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat sebagai lanjutan transformasi kecemerlangan pendidikan negara. Kalau sebelum ini skim Guru Cemerlang diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah, tahun ini sekali lagi jasa guru dihargai.

Pengumuman Najib itu membolehkan hampir 400,000 warga guru di seluruh negara menarik nafas lega berikutan skop perjawatan diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai guru mendapat kenaikan pangkat. Sebelum ini struktur perjawatan guru berakhir dengan jawatan pengetua atau guru besar, selepas melalui jawatan guru biasa atau guru kanan. Kini sudah ada jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru bagi memastikan mereka meneruskan pengajaran di sekolah.

Dua jawatan baru ini, selain Guru Cemerlang dijangka dapat membuka ruang yang lebih luas kepada guru yang ingin berada terus dalam sistem pendidikan iaitu proses P&P, jika enggan menjadi pentadbir sekolah atau bertugas di jabatan pelajaran negeri. Hakikatnya, memang ada guru yang hanya mahir dalam P&P, tetapi gagal menjadi pentadbir ketika diberi jawatan guru besar atau pengetua di sekolah. Melalui kaedah baru ini, guru boleh kekal mengajar dengan imbuhan yang lebih baik.

Dengan lapisan struktur baru ini, guru yang mempunyai minat mendalam dan kepakaran dalam P&P boleh dilantik sebagai Guru Wibawa, malah boleh mengisi jawatan Pendeta Guru jika tahap kecemerlangan mereka melepasi ujian dan kriteria yang ditetapkan. Selama ini, sekolah hanya mempunyai lapisan guru biasa dan guru kanan sebelum pengetua atau guru besar. Mulai tahun depan sekolah akan mempunyai lapisan guru dan pentadbir yang berwibawa dalam usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

Bagi guru yang terpinggir berikutan perubahan Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terutama pada 1990 hingga 1994, mereka turut mendapat perhatian kerajaan melalui skim baru yang diumumkan itu. Dalam pada itu, langkah kerajaan menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah daripada Gred DG48 ke Gred DG52 membabitkan 1,228 jawatan tentunya memberi dorongan baru kepada pengetua kerana ia satu pengiktirafan yang cukup tinggi daripada kerajaan.

Begitu juga Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah daripada Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 membabitkan 6,585 jawatan. Malah, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah kluster turut menerima kenaikan daripada Gred DGA32 ke Gred DGA34 sebanyak 99 jawatan. Semua ini adalah langkah kerajaan bagi memartabatkan profesion perguruan selari dengan dasar transformasi dilaksanakannya. Kita percaya tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ menepati usaha kerajaan itu, apatah lagi dengan memberi pelbagai imbuhan dalam bentuk perjawatan baru, ia pastinya mendorong mereka untuk terus mencatatkan kecemerlangan.

Monday, May 16, 2011

Terima Kasih Cikgu.........katanya.

Saya menerima 121 sms ucapan Selamat Hari Guru daripada anak buah, rakan-rakan guru dan bekas anak murid. Bagaimanapun malam ini saya menerima sms ke 122 yang agak berbeza daripada seorang anak murid saya pada tahun 1990 di sebuah sekolah menengah sya berkhidmat yang jauhnya lebih kurang 200 km daripada bandar Johor Bahru dan merupakan kawasan perkampungan FELDA. SMS beliau kepada saya dan respon saya seperti berikut :

Alex  : Selamat hari guru cikgu - Asp Alekzandra Dawam.
            Troop Comander 4A, FRU KL  (8.25pm)
Azman  : Terima kasih atas ingatan dan tahniah kerana berjaya
                dalam karier.
Alex  : T.ksh ckgu. Ckgu pnh ckp, 'sy xkira kamu nk brcinta ke,
            apa ke, tp mesti struggle',
            Ms tu sy tgh mabuk cinta. Hahaha...
Azman : Itu nasihat supaya anak murid berjaya dan
               bekalannya ialah ilmu.
               Tahniah sekali lagi kerana terus hebat.
               Ketika itu saya nampak awak memang ada potensi
               besar untuk berjaya
               dn kini awak telah menuai hasilnya. Saya doakan
              awak terus berjaya.
Alex  :  Sbnrnya ckgu sy risau esok2 nk kerja apa ckgu.
             Sbb tu kena struggle juga
             spt pesan ckgu dulu. Doa saya lps smbyg tak lupa
             utk semua ckgu2 saya.
             U r the best ckgu bro :-D
Azman : TQVM Alex.

Itulah secebis manisnya pengalaman menjadi guru. Tiadak ada yang menggembirakan selain mendengar anak murid berjaya dan kita masih diingatinya. Walaupun mungkin pengalaman Alex 'kena teruk ' dengan saya, apatah lagi saya adalah guru kelasnya dan kelas berkenaan adalah kelas terbaik harapan sekolah menyebabkan Alex mungkin  tidak menggemari saya pada ketika itu dek 'mabuk kepayang' tapi akhirnya semua yang dilalui memberikan impak yang besar dalam hidupnya.

Namun Alex pelajar yang baik. Selepas diterima berkhidmat dalam PDRM  beliau masih mengingati saya malah banyak membantu saya selaku PK HEM ketika itu untuk berkongsi pengalaman dan bimbingan kepada generasi adik-adiknya di sekolah berkenaan. Beliau adalah antara anak murid yang tidak pernah lupa mengucapkan selamat hari guru setiap tahun kepada saya walaupun telah 20 tahun telah berlalu. Terima kasih Alex.

Perutusan PM Hari Guru 2011 - Insentif Baru Buat Guru............

PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI GURU 
 
PUTRAJAYA: Berikut adalah perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru, Isnin.

Dalam perutusannya itu, perdana menteri telah mengumumkan beberapa kaedah baru kenaikan pangkat untuk guru cemerlang dan juga kenaikkan pangkat untuk lebih 1,200 guru dari Gred DG48 ke Gred DG52. Terima kasih YAB PM.

BismilLahirRahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,

1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.
2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.
Para guru yang dimuliakan sekalian,

14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.
Pujangga bermadah:
Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Berita gembira hari guru 2011. Yang ditunggu-tunggu..........

Berita baik yang kita tunggu-tunggu semasa Pelancaran Hari Guru 2011 hari ini.

Antara yang diumumkan Perdana Menteri :
  1. Kaedah Kenaikan Pangkat Time Based diberi nafas baru…
  2. Kaedah baru kenaikan pangkat dengan memperkenalkan 4 kategori guru iaitu Guru Biasa,Guru Kanan,Guru Wibawa dan Guru Pendeta.
  3. Peningkatan yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
  4. Gred Khas C P&P dinaikkan 100% dari 36- 72 jawatan.
  5. Menaikkan gred pengetua  SMK daripada  DG 48 kepada DG 52.
  6. Menaikkan gred guru Pen Kanan SM daripada DG 44 ke DG 48.
  7. Guru Besar dan PK Sekolah Rendah dinaikkan gred daripada DG 32 ke DG 34.
Berkuatkuasa 1 Januari 2012….

Tahniah diucapkan kepada  Tokoh Pendidik/ guru  tahun 2010 ialah :
  1. Datuk ( DR ) Haji Nor Bin Daim ( Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2001 ).
  2. Dato’ Prof Dr.Abd Rahim Bin Selamat ( Tokoh Guru )
  3. Dato’ Siva Subramaniam ( Tokoh Guru )
  4. Cik Hamedah Binti Awang ( Tokoh Guru )
  5. Datuk Hajah Rita T Jaafar @ Rita Bagong ( Tokoh Guru )
     
     
    TEKS UCAPAN PENUH MENTERI PELAJARAN SEMPENA HARI GURU
     
    KUCHING: Berikut adalah teks ucapan penuh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru 2011 yang berlangsung di Borneo Convention Centre di sini pada petang Isnin.

    Dalam ucapannya itu, Muhyiddin telah mengumumkan beberapa keputusan penting tentang jawatan dan profesion perguruan.

    Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia;

    Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak;
    Yang Berhormat Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
    Yang Berhormat Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
    Yang Berbahagia Datuk Dr Rosli Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
    Yang Berbahagia Datuk Abdul Ghafar Mahmud,Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
    Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
    Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
    Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri;

    Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para guru yang saya hormati sekalian.

    1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.

    2. Selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, sama ada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bersara. Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan memajukan negara kita.
    Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

    3. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada hemat saya adalah amat bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan, yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara kita. Sentuhan keramat guru telah melahirkan ramai cendakiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini.

    4. Maka, pada saat negara kita sedang berada di ambang peralihan daripada sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi, peranan guru menjadi lebih penting lagi. Di pundak guru-guru letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dan dengan itu memastikan sistem pendidikan negara kita dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara dipertaruhkan kepada saudara dan saudari yang bergelar guru.

    5. Kerajaan sememangnya telah membuat perencanaan yang amat rapi untuk menjayakan proses transformasi pendidikan negara. Ini termasuklah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Namun, kita juga akur bahawa perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang para guru dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas jerih perih anda semua dalam mencapai sasaran-sasaran penting yang ditetapkan di bawah NKRA pendidikan, dan juga di bawah dasar-dasar serta program lain yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pelajaran.

    6. Dari segi pencapaian sasaran NKRA Pendidikan, Alhamdulillah, berkat curahan jasa dan bakti para guru sekalian, kita telah berjaya meningkatkan kadar penyertaan prasekolah kepada 72.42 peratus, iaitu melebihi sasaran 72 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2010. Kadar literasi murid juga telah meningkat daripada 64 peratus kepada 85 peratus, manakala kadar numerasi meningkat daripada 73 peratus kepada 91 peratus. Kita juga telah mengumumkan senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010 dan untuk tahun 2011 sebanyak 23 buah sekolah lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

    7. Lebih membanggakan kita, jasa guru untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan tidak mengenal batasan geografi. Guru-guru di pedalaman pun berupaya untuk melonjakkan prestasi sekolah. Ini dibuktikan misalnya dengan kejayaan SK Ulu Lubai, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak, mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini. Di samping itu, inisiatif Tawaran Baru juga telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru daripada 1,400 buah sekolah telah berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan untuk sekolah masing-masing, dan dengan itu layak untuk menerima bayaran insentif di atas perkhidmatan mereka yang cemerlang.

    8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan pelbagai inisiatif di bawah empat sub-NKRA pendidikan. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila Kementerian Pelajaran mendapat markah tertinggi dalam pencapaian KPI bagi tahun 2010. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru dan semua pegawai Kementerian yang telah membantu saya menerajui Kementerian Pelajaran dengan baik sehingga kita berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang ini. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru sekalian! Kejayaan yang amat bermakna ini adalah milik anda semua!
    Sumbangan dan Sokongan Padu Guru

    9. Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan. Atas kesedaran inilah, saya selaku Menteri Pelajaran telah menggagaskan beberapa dasar penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.

    10. Pertama, menyedari betapa mustahaknya anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi untuk membolehkan mereka menjadi manusia yang cerdas, maka saya telah memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Dasar ini memberi peluang kepada setiap murid untuk melibatkan diri dalam acara sukan yang digemari dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka. Seperti kata pepatah Arab, “Al-‘aqlu al-salim, fi al-jismi al-salim”, yang bermaksud akal yang sihat terletak pada badan yang sihat.

    11. Kedua, saya juga telah memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita sedar bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah amat penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa Kebangsaan negara kita dan bahasa pengantar di sekolah. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita.

    12. Pada masa yang sama, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia. Maka, di bawah dasar MBMMBI ini, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Ini termasuklah dengan menggunakan khidmat kepakaran guru penutur jati bahasa Inggeris yang ditempatkan di Institut Pendidikan Guru dan di zon-zon tertentu untuk melatih guru-guru meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris.

    13. Ketiga, selaras dengan keperluan untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu kemajuan negara, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan pada tahun ini akan membuka lembaran baru kepada guru-guru untuk meneroka kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif untuk mengasah bakat dan daya kreativiti murid secara lebih berkesan.

    14. Keempat, untuk memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, maka saya telah memberi tumpuan khusus kepada program transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Sebagai langkah untuk memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran yang berkualiti, maka KPM akan mengambil guru vokasional dan kemahiran baru yang diiktiraf dari pasaran terbuka seperti pusat latihan kemahiran tinggi dan universiti teknikal awam. Proses pengambilan guru-guru tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah 10,000 orang menjelang penghujung 2015. Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, insyaAllah, kita akan berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2015.

    15. Kesemua dasar dan program yang saya sebutkan ini memerlukan sokongan padu para guru. Tanpa sokongan guru-guru sekalian, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang dihasratkan melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dasar akan tinggal dasar, perancangan akan tinggal perancangan. Untuk itu, saya berharap agar guru-guru sekalian dapat berada dalam satu saf bersama-sama saya dan seluruh kepimpinan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan setiap dasar ini dan seterusnya menjayakan agenda transformasi pendidikan demi masa depan negara kita.

    Memartabatkan Profesion Keguruan
    16. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam hubungan ini, pelbagai program latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah program pensiswazahan guru yang mensasarkan bilangan guru siswazah sebanyak 60 peratus di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.

    17. Dari segi peluang kenaikan pangkat pula, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai faedah kepada perkhidmatan perguruan yang tidak dinikmati oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain. Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima (5) kaedah kenaikan pangkat iaitu:
    (i) kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan,
    (ii) kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP),
    (iii) kenaikan pangkat secara time-based,
    (iv) kenaikan pangkat untuk Pengetua atau Guru Besar cemerlang dan
    (v) kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

    18. Di samping itu, perkhidmatan perguruan juga menikmati satu lagi bentuk imbuhan berasaskan prestasi yang tidak dinikmati oleh mana-mana perkhidmatan awam lain iaitu Bayaran Insentif Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Alhamdulillah, insentif Tawaran Baru ini telah membuahkan hasil yang amat baik apabila jumlah guru dan pemimpin sekolah yang berjaya mendapat ganjaran adalah jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan. Ini bermakna, guru-guru kita mempunyai motivasi yang amat tinggi untuk melonjakkan prestasi sekolah. Saya berharap agar pencapaian cemerlang ini akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.

    19. Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan Bayaran Insentif Sekolah Berprestasi Tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di Sekolah Berprestasi Tinggi. Insentif ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan guru-guru dalam melahirkan sekolah-sekolah yang berpencapaian cemerlang di negara kita. Dengan usaha berterusan guru-guru di seluruh negara untuk melonjakkan prestasi sekolah, saya berkeyakinan bahawa sasaran mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2013 akan dapat dicapai.

    20. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar para guru kepada negara, kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambahbaik skim perkhidmatan pendidikan. Terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri hari ini mengenai beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan pegawai pendidikan yang pastinya disambut baik oleh guru-guru sekalian.

    21. Saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesyen keguruan dengan mengumumkan hadiah Hari Guru paling bermakna buat guru-guru di seluruh negara pada hari ini. Saya tahu YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru-guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang kenaikan ke gred yang lebih tinggi.

    22. Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, YAB Perdana Menteri masih bersedia untuk menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan, dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred, khususnya secara time-based. InsyaAllah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini.

    23. Begitu juga dengan pertambahan jumlah jawatan Gred Khas C daripada 36 kepada 72 jawatan untuk guru-guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertambahan sebanyak 100 peratus ini akan memperluaskan peluang guru-guru di bilik darjah untuk memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam tanpa perlu menjawat jawatan pentadbiran. Pewujudan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam juga merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan amat serius dalam memartabatkan profesyen keguruan.

    24. Selain itu, kenaikan gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada DG44 kepadaDG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan Penolong Kanan sekolah menengah. Kenaikan gred ini adalah setimpal dengan pertambahan bebabanan yang terpaksa ditanggung oleh para pengetua dan penolong kanan. InsyaAllah, kenaikan ini akan menambah minat guru-guru untuk memegang kedua-dua jawatan ini yang amat penting dalam kepimpinan sekolah.

    Kerjasama Dengan Kesatuan Guru dan Ibubapa
    25. Usaha memartabat profesyen keguruan adalah satu proses yang berterusan. Untuk itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada guru-guru dan menambahbaik keseluruhan perkhidmatan pendidikan dari masa ke semasa, termasuk penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD). Dalam hubungan ini, saya akan bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan profesyen keguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan profesyen keguruan agar setara dengan darjat kemuliaannya. Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian Kementerian sebelum ini. Pihak Kementerian juga akan mempergiatkan program pensiswazahan guru untuk memartabatkan profesyen keguruan di samping memastikan semua guru dapat menikmati pelbagai faedah yang disediakan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah.

    26. Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

    Penutup

    27. Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru merupakan pemimpin dan penjana utama transformasi negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depan yang sejahtera.

    28. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Bak kata pujangga:
    Dialah pemberi paling setia
    Tiap akar ilmu miliknya
    Pelita dan lampu segala
    Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
    Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
    Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
    Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
    Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
    29. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah terpilih sebagai tokoh guru sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Kepada semua guru, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
    “Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.
    Wabillahi al-taufik wa al-hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua rakan khususnya di SMK Bandar Putra dan semua rakan pendidik di mana juga berada. Moga sambutan kali ini akan menyemarakkan lagi iltizam kita untuk terus berkhidmat kepada anak bangsa. Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara. Terima kasih cikgu.

Berita gembira hari guru 2011. Tunggu..........

Khabar gembira pada sambutan hari guru isnin ini?

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: “Insya-Allah, tunggulah...”. Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. "Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.      Bernama 14/5/2011

Petikan di atas merupakan kenyataan YABM kita yang kita nanti-nantikan sempena perayaan hari guru pada 16 MEI pada tahun ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar pengumuman beliau nanti adalah pengumuman yang memberikan kegembiraan, kelegaan, pengiktirafan dan penghormatan kita sebagai guru dan profesion pendidikan di negara ini.  Mudah-mudahan jika iaya berupa insentif atau apa sahaja akan semakin memotivasikan kita menjadi pendidik yang hebat, agar ungkapan guru menjana tranfsformasi pendidikan negara akan menjadi realiti, Insyallah.

Guru jana transformasi pendidikan - Apa kata Dato' KPPM ?

PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.

Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.
"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.

"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.

Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.

"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.

Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.

"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.

"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.

Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya
"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.

"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.

Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.

"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

Thursday, May 05, 2011

Obesiti

Dua minggu kebelakangan ni riuh satu Malaysia tentang obesiti di kalangan kanak-kanak. Setiap hari media cetak melapor pelbagai sorotan berkaitan dengannya termasuk ulasan dari pelbagai pihak - Kementerian Kesihatan, pakar makanan, ibu bapa, wakil NGO malah dalam satu forum di kaca TV yang saya tonton mengutarakan panel pakar makanan, YDP PIBG sebuah sekolah dan seorang pengusaha kantin sekolah rendah di Kuala Lumpur. Semuanya kerana fokus yang dibincangkan obesiti di kalangan kanak-kanak termasuk murid sekolah adalah berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah yang mengandungi banyak kalori menyebabkan kegemukan.

Justeru pelbagai macam saranan diutarakan - pengetua/guru besar mesti buat pemantauan setiap hari, kompaun kepada pengusaha kantin, wujudkan jawatan khas pakar pemakanan di setiap sekolah, dan pelbagai macam saranan yang kadang kala kalau kita fikirkan betul-betul ada sebahagiannya logik dan diterima dan ada sebahagiannya cuma nak menyalahkan pihak tertentu sahaja terutamanya pihak sekolah.

Itulah sekolah. Semua perkara yang berlaku dalam lingkungan institusi sosial akan dituding kepada sekolah seolah-olah segala-galanya berkaitan pertumbuhan fizikal anak-anak adalah disebabkan oleh sekolah. Memang tidak dapat dinafikan sekolah adalah institusi yang penting dalam membangunkan semua dimensi pertumbuhan anak-anak tetapi ia bukan faktor mutlak kerana kombinasi pelbagai faktor lain adalah faktor yang banyak mempengaruhi - keluarga, masyarakat, persekitaran dan sebagainya.

Berbalik kepada kegemukan, obesiti didefinisikan sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan. Obesiti berlaku apabila saiz atau bilangan sel lemak di dalam tubuh meningkat (Myers, 2004).

Indeks jisim tubuh atau Body Mass Index (BMI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data asas tahap kegemukan dan obesiti. BMI digunakan dengan mengira berat badan dalam unit kilogram (kg) dan  dibahagikan kepada tinggi dalam unit meter kuasa dua (m2 ).

Obesiti merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit contohnya seperti :
1. Diabetis,
2. Darah tinggi,
3. Penyakit jantung,
4. Kegagalan sistem pernafasan ,
5. Kegagalan system perkumuhan
6. Kanser dan sebagainya.

Menurut satu kajian, (Kelishadi, WHO 2007), kes obesity semakin menular di kalangan kanak kanak dan remaja di negara- negara membangun. Penyakit obesiti merupakan satu faktor utama yang akan membawa kepada rintangan terhadap insulin dan sindrom metabolik. Sindrom metabolik juga adalah tinggi di kalangan penduduk dewasa di Asia. Di Malaysia, sehingga tahun 2006, 29% penduduk dewasa mempunyai berat badan yang lebih dan 14% mengalami obesiti. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2015, secara kasar 2.3 bilion  penduduk di dunia akan mempunyai berat badan yang lebih dan 700 juta penduduk dunia akan mengalami obesity

Di Malaysia, peningkatan masalah obesity dalam kalangan kanak-kanak berumur 7-10 tahun adalah sebanyak 6.6% bagi umur tujuh tahun ke 13.8 % bagi umur 10 tahun. Sebanyak 12.8% peratus daripada kanak-kanak ini adalah lelaki. Masalah obesiti ini juga semakin ketara di kalangan remaja berumur 13-17 tahun. Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan adalah berisiko untuk menjadi obes apabila dewasa dan keadaaan ini akan menjurus kepada kewujudan masalah kronik yang lain pada masa hadapan (Chee et al, 2008)

Faktor- faktor yang menyebabkan obesiti, antaranya ialah :

1. Keturunan dan faktor genetik
2. Tiada senaman yang mencukupi
3. Nutrisi yang tidak seimbang/ Pengambilan makanan dengan kadar yang banyak
4. Hormon
5. Pengambilan ubat/ Rawatan
6. Virus

Larangan penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar adalah langkah tepat ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan bebas daripada penyakit berpunca daripada pengambilan makanan tidak seimbang. Malah sejak lama dulu pun memang sudah ada pekeliling berkaitan larangan ini.

Pihak sekolah juga akan memantau Indeks Berat Badan (BMI) pelajar bagi menentukan tahap kesihatan mereka, yang direkodkan dalam kad laporan masing-masing. Ia bertujuan melihat keadaan pelajar berkenaan sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur. Kedua-dua langkah terbaru itu diputuskan oleh Kabinet 4 April lalu dan ia pastinya dialu-alukan oleh ibu bapa, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membendung masalah obesiti di kalangan pelajar.

Dalam usaha menangani masalah berkenaan, Kabinet memutuskan bahawa semua minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan dilarang dijual di kantin sekolah, berkuat kuasa serta-merta. Larangan itu turut dikenakan ke atas penjaja yang berniaga di luar pagar sekolah kerana menjual makanan kurang zat, tinggi kandungan gula dan lemak kepada pelajar selepas waktu persekolahan. Sebahagian besar penjaja ini juga menjual makanan ringan dan minuman yang diperbuat dengan bahan murah serta menggunakan pewarna tanpa mengikut piawaian yang dibenarkan.

Menerusi langkah yang diputuskan itu, pegawai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan memantau peniaga yang menjual makanan ringan tidak berzat dan memudaratkan di kantin dan luar sekolah seperti yang diumumkan kelmarin. Sebelum ini isu berkenaan sering dibangkitkan dalam mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah kerap memberi alasan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk menghalang peniaga daripada berniaga di luar pagar sekolah dan hanya pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menghalang peniaga terbabit. Kita memahami kekangan yang dihadapi pihak pentadbiran sekolah dan berharap dengan adanya ketetapan terbaru kerajaan ini, pihak sekolah akan dapat bertindak secara proaktif dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. Amalan pemakanan tidak sihat ini boleh menyebabkan pelajar berasa letih dan tidak bermaya dan sering tertidur di dalam kelas. Sebaliknya, makanan yang seimbang sudah tentunya akan menyebabkan badan dan otak menjadi cergas, dan ini akan membantu pelajar membaiki prestasi mereka dalam pelajaran.

Namun, langkah membendung kegemukan di kalangan pelajar ini juga perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan dan minuman berkhasiat dan tidak menggemukkan. Kita harus ingat bahawa daripada 24 jam, pelajar hanya berada di sekolah 7-8 jam sahaja, selebihnya di rumah dan pelajar hanya menggunakan masa rehat 20-30 minit sahaja untuk tujuan makan semasa waktu rehat. Selebihnya sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makam malam adalah di rumah dan di bawah kawalan ibu bapa. Seharusnya didikan untuk mengatasi obesiti ini lebih difokuskan juga kepada keluarga dan ibu bapa. Cuba kita lihat hari ini di restoran fast food KPC, Pizza, McD dan lain-lain sentiasa dipenuhi oleh pelanggan yang kebanyakannya datang secara berkeluarga dan bukan pelajar sekolah dengan pakaian sekolah. Justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan bukan ditujukan kepada sekolah sahaja kalau nak membendung gejala obesiti ini.

Kita juga harus ingat bahawa pemakanan hanyalah satu faktor yang menjadi penyebab kegemukan tetapi ada 5 lagi faktor yang disenaraikan seperti di atas yang perlu diberi perhatian termasuk aktiviti melibatkan sukan permainan/senaman sekiranya benar-benar kita ingin bantu generasi muda kita daripada obesiti.