Obesiti

Dua minggu kebelakangan ni riuh satu Malaysia tentang obesiti di kalangan kanak-kanak. Setiap hari media cetak melapor pelbagai sorotan berkaitan dengannya termasuk ulasan dari pelbagai pihak - Kementerian Kesihatan, pakar makanan, ibu bapa, wakil NGO malah dalam satu forum di kaca TV yang saya tonton mengutarakan panel pakar makanan, YDP PIBG sebuah sekolah dan seorang pengusaha kantin sekolah rendah di Kuala Lumpur. Semuanya kerana fokus yang dibincangkan obesiti di kalangan kanak-kanak termasuk murid sekolah adalah berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah yang mengandungi banyak kalori menyebabkan kegemukan.

Justeru pelbagai macam saranan diutarakan - pengetua/guru besar mesti buat pemantauan setiap hari, kompaun kepada pengusaha kantin, wujudkan jawatan khas pakar pemakanan di setiap sekolah, dan pelbagai macam saranan yang kadang kala kalau kita fikirkan betul-betul ada sebahagiannya logik dan diterima dan ada sebahagiannya cuma nak menyalahkan pihak tertentu sahaja terutamanya pihak sekolah.

Itulah sekolah. Semua perkara yang berlaku dalam lingkungan institusi sosial akan dituding kepada sekolah seolah-olah segala-galanya berkaitan pertumbuhan fizikal anak-anak adalah disebabkan oleh sekolah. Memang tidak dapat dinafikan sekolah adalah institusi yang penting dalam membangunkan semua dimensi pertumbuhan anak-anak tetapi ia bukan faktor mutlak kerana kombinasi pelbagai faktor lain adalah faktor yang banyak mempengaruhi - keluarga, masyarakat, persekitaran dan sebagainya.

Berbalik kepada kegemukan, obesiti didefinisikan sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan. Obesiti berlaku apabila saiz atau bilangan sel lemak di dalam tubuh meningkat (Myers, 2004).

Indeks jisim tubuh atau Body Mass Index (BMI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data asas tahap kegemukan dan obesiti. BMI digunakan dengan mengira berat badan dalam unit kilogram (kg) dan  dibahagikan kepada tinggi dalam unit meter kuasa dua (m2 ).

Obesiti merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit contohnya seperti :
1. Diabetis,
2. Darah tinggi,
3. Penyakit jantung,
4. Kegagalan sistem pernafasan ,
5. Kegagalan system perkumuhan
6. Kanser dan sebagainya.

Menurut satu kajian, (Kelishadi, WHO 2007), kes obesity semakin menular di kalangan kanak kanak dan remaja di negara- negara membangun. Penyakit obesiti merupakan satu faktor utama yang akan membawa kepada rintangan terhadap insulin dan sindrom metabolik. Sindrom metabolik juga adalah tinggi di kalangan penduduk dewasa di Asia. Di Malaysia, sehingga tahun 2006, 29% penduduk dewasa mempunyai berat badan yang lebih dan 14% mengalami obesiti. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada tahun 2015, secara kasar 2.3 bilion  penduduk di dunia akan mempunyai berat badan yang lebih dan 700 juta penduduk dunia akan mengalami obesity

Di Malaysia, peningkatan masalah obesity dalam kalangan kanak-kanak berumur 7-10 tahun adalah sebanyak 6.6% bagi umur tujuh tahun ke 13.8 % bagi umur 10 tahun. Sebanyak 12.8% peratus daripada kanak-kanak ini adalah lelaki. Masalah obesiti ini juga semakin ketara di kalangan remaja berumur 13-17 tahun. Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan adalah berisiko untuk menjadi obes apabila dewasa dan keadaaan ini akan menjurus kepada kewujudan masalah kronik yang lain pada masa hadapan (Chee et al, 2008)

Faktor- faktor yang menyebabkan obesiti, antaranya ialah :

1. Keturunan dan faktor genetik
2. Tiada senaman yang mencukupi
3. Nutrisi yang tidak seimbang/ Pengambilan makanan dengan kadar yang banyak
4. Hormon
5. Pengambilan ubat/ Rawatan
6. Virus

Larangan penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar adalah langkah tepat ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan bebas daripada penyakit berpunca daripada pengambilan makanan tidak seimbang. Malah sejak lama dulu pun memang sudah ada pekeliling berkaitan larangan ini.

Pihak sekolah juga akan memantau Indeks Berat Badan (BMI) pelajar bagi menentukan tahap kesihatan mereka, yang direkodkan dalam kad laporan masing-masing. Ia bertujuan melihat keadaan pelajar berkenaan sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur. Kedua-dua langkah terbaru itu diputuskan oleh Kabinet 4 April lalu dan ia pastinya dialu-alukan oleh ibu bapa, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membendung masalah obesiti di kalangan pelajar.

Dalam usaha menangani masalah berkenaan, Kabinet memutuskan bahawa semua minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan dilarang dijual di kantin sekolah, berkuat kuasa serta-merta. Larangan itu turut dikenakan ke atas penjaja yang berniaga di luar pagar sekolah kerana menjual makanan kurang zat, tinggi kandungan gula dan lemak kepada pelajar selepas waktu persekolahan. Sebahagian besar penjaja ini juga menjual makanan ringan dan minuman yang diperbuat dengan bahan murah serta menggunakan pewarna tanpa mengikut piawaian yang dibenarkan.

Menerusi langkah yang diputuskan itu, pegawai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan memantau peniaga yang menjual makanan ringan tidak berzat dan memudaratkan di kantin dan luar sekolah seperti yang diumumkan kelmarin. Sebelum ini isu berkenaan sering dibangkitkan dalam mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah kerap memberi alasan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk menghalang peniaga daripada berniaga di luar pagar sekolah dan hanya pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menghalang peniaga terbabit. Kita memahami kekangan yang dihadapi pihak pentadbiran sekolah dan berharap dengan adanya ketetapan terbaru kerajaan ini, pihak sekolah akan dapat bertindak secara proaktif dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. Amalan pemakanan tidak sihat ini boleh menyebabkan pelajar berasa letih dan tidak bermaya dan sering tertidur di dalam kelas. Sebaliknya, makanan yang seimbang sudah tentunya akan menyebabkan badan dan otak menjadi cergas, dan ini akan membantu pelajar membaiki prestasi mereka dalam pelajaran.

Namun, langkah membendung kegemukan di kalangan pelajar ini juga perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka dibekalkan dengan makanan dan minuman berkhasiat dan tidak menggemukkan. Kita harus ingat bahawa daripada 24 jam, pelajar hanya berada di sekolah 7-8 jam sahaja, selebihnya di rumah dan pelajar hanya menggunakan masa rehat 20-30 minit sahaja untuk tujuan makan semasa waktu rehat. Selebihnya sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makam malam adalah di rumah dan di bawah kawalan ibu bapa. Seharusnya didikan untuk mengatasi obesiti ini lebih difokuskan juga kepada keluarga dan ibu bapa. Cuba kita lihat hari ini di restoran fast food KPC, Pizza, McD dan lain-lain sentiasa dipenuhi oleh pelanggan yang kebanyakannya datang secara berkeluarga dan bukan pelajar sekolah dengan pakaian sekolah. Justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan bukan ditujukan kepada sekolah sahaja kalau nak membendung gejala obesiti ini.

Kita juga harus ingat bahawa pemakanan hanyalah satu faktor yang menjadi penyebab kegemukan tetapi ada 5 lagi faktor yang disenaraikan seperti di atas yang perlu diberi perhatian termasuk aktiviti melibatkan sukan permainan/senaman sekiranya benar-benar kita ingin bantu generasi muda kita daripada obesiti.





Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment