Prinsip Kerja X-PLUS KPPM

Setiap pasukan profesional pendidik dan pegawai pendidikan perlu menerapkan budaya prestasi tinggi berasaskan PRINSIP KERJA X-PLUS.  Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP(Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi); memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan.  

Prinsip Pertama : CEMERLANG (EXCELLENCE)
Inilah kayu ukur kerhasilan kerja setiap individu.  Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti.  Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan dan mencapai sasaran kerja tahunan.  Cemerlang bermaksud ‘go beyond’, yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba dan melepasi rekod sedia ada.  Cemerlang bermaksud melepasi aras kualiti, melepasi pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.

Prinsip Kedua : PENGETAHUAN
Dalam era ini, faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan.  Oleh itu, pemimpin dan pengurus  tidak lagi semata-mata mentadbir tetapi memudah cara, menyelaras dan mempertalikan setiap pasukan kerja dalam organisasi.  Pemimpin dan pengurus sewajarnya memiliki spektrum pengetahuan yang luas, berkemahiran menatarkan maklumat yang dijana oleh setiap pasukan kerja dan berkemahiran sebagai mediator dan moderator.  Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan berdasarkan kebiasaan atau rutin.  Pengetahuan itu pula sewajarnya adalah yang terkini, teruji dan mantap.

Prinsip Ketiga  : LATIHAN
Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajamkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar.  Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan.  Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.  Ringkasnya hanya latihan yang bersistematik dan berterusan yang berupaya melestarikan profesionalisme jentera pendidikan negara.  Latihan yang berterusan bermakna pembelajaran berterusan.  Pembelajaran berterusan menjana perubahan.  Perubahan menjana pembaharuan, renewal.

Prinsip Keempat : USAHA
Usaha berbeza dengan kerja.  Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber, kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif.  Usaha bermaksud ‘go extra mile’.  Sedangkan ‘kerja’ bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan.  Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan.  Usaha mengutamakan matlamat dan objektif.  Ukuran kerja ialah kecekapan dan ukuran usaha ialah keberkesanan. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir.  Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang – matlamat dan objektif menjadi kenyataan.

Prinsip Kelima  :  SEPASUKAN
Dalam era transformasi dan menghadapi cabaran-cabaran besar globalisasi, anggota profesional jentera pendidikan negara wajib berusaha sebagai satu pasukan.  Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengenepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi.  Bekerja sepasukan menuntut aplikasi kepimpinan pada setiap tindakan.  Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang.  Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi.  

Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.  Justeru itu, pemimpin sekolah bertanggungjawab menjadikan sekolah sebagai satu pasukan profesional yang utuh dengan menyemarakkan rasa kepunyaan.  Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena ‘alienated labor’, pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran.  Pengetua dan guru besar adalah ketua platun.  Pasukan pekerja profesional memerlukan kehadiran pemimpin dan pengurus yang berperanan sebagai mentor dan fasilitator.  
Mentor dan fasilitator tidak menguasai dan mengawal pekerja, sebaliknya membebaskan mereka dan memberi ruang kepada mereka untuk mengimaginasi, menginvensi dan menginovasi.  Mentor dan fasilitator mewujudkan persekitaran kerja yang menggalakkan perkembangan diri profesionalnya dan menggalakkan mereka meneroka dan mencuba idea baharu.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment