SURAT UCAPAN TAHNIAH SPM 2010



SURAT TAHNIAH

Kepada anak-anak pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  2010 SMK Bandar Putra yang saya kasihi sekalian.

Pertamanya, saya bagi pihak seluruh warga SMK Bandar Putra mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak pelajar yang telah memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada hari ini. Kejayaan yang anda capai adalah kejayaan kita bersama – pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti sekolah.

Tahun ini kita telah dapat mengekalkan peratusan 100% dan memperbaiki Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 2.39. Ini bermakna anda telah dapat melunaskan tanggungjawab untuk mencapai dan melepasi End Targeted Result (ETR) kita iaitu 2.50 berdasarkan Take Off Value (TOV) kita iaitu 3.67. Malah bilangan perfect scorer juga amat memberangsangkan iaitu  19 orang dengan seorang memperoleh semua A+ dan 18 orang semua A sekaligus kita telah dapat melepasi sasaran dari segi kualiti pencapaian keseluruhan kita.. Seorang daripada rakan anda telah dinobatkan sebagai calon terbaik SPM negeri Johor. Kita masih kekal sekolah terbaik di daerah Kulaijayajaya dan antara yang terbaik di negeri Johor. Syabas dan Tahniah. Kejayaan yang kita tuai pada hari ini adalah berkat kesungguhan, kesabaran, ketabahan dan doa anda semua yang menyahut cabaran sebagai ‘pejuang-pejuang SMKBP’ untuk meletakkan sekolah kita sebagai antara sekolah terbaik negeri Johor selaras dengan  misi dan visi yang kita sering laung-laungkan. Keputusan ini juga adalah hadiah yang paling berharga bukan sahaja buat diri anda, tetapi keluarga, sekolah, PPD, JPNJ  dan masyarakat anda.

Sesungguhnya kejayaan ni adalah milik kita bersama yang telah kita lalui hasil perit jerih selama bertahun-tahun. Saya cukup bangga dengan kalian dan saya amat terharu serta berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru yang sentiasa berusaha untuk menghasilkan anak-anak SMK Bandar Putra yang hebat. Malah kita bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang cukup tinggi komitmennya dan sokongan, dorongan serta dokongan tidak berbelah bahagi daripada PIBG, anggota sokongan, PPD, JPN, komuniti serta semua pihak berkepentingan dalam pendidikan di sekolah ini.
 
Saya mengharapkan kejayaan pada tahun ini akan terus menyuburkan iltizam dan komitmen waris kalian iaitu adik-adik yang kini berada di tingkatan 1,2, 3, 4 dan 5 untuk mengikut jejak langkah yang cemerlang ini malah terus berusaha untuk menambah baik pencapaian sedia ada. Anda semua memang layak menjadi suri teladan kepada adik-adik anda yang lain.

 Saya selalu menyebut bahawa dalam perjalanan hidup ini kita hendaklah sentiasa berusaha mencipta sejarah kecemerlangan diri dan salah satunya telah anak-anak pelajar buktikan melalui keputusan SPM ini. Anda telah membuktikan kemenjadian diri anda dalam bidang akademik telah dapat direalisasikan dan kemenjadian diri dalam bidang yang lain telah anda terokai melalui kejayaan-kejayaan kita dalam kokurikulum sebelum ini sesuai dengan sloga yang kita laungkan iaitu “Semuanya Cemerlang” . Justeru apa juga pengalaman dan kemahiran sama ada berbentuk pengetahuan dan kemahiran insaniah (soft skill) yang anda peroleh diharapkan akan dapat membantu menjadikan diri anda insan yang lebih berketrampilan.  Jadikanlah keputusan cemerlang ini sebagai landasan untuk anda meneruskan kehebatan di peringkat lebih tinggi. Saya dan seluruh warga SMK Bandar Putra sentiasa mendoakan anda berjaya menempatkan diri di mana-mana institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri dan seterusnya dapat merealisasikan impian anda selama ini.


Tahniah sekali lagi kepada anda semua. SMKBP sentiasa BOLEH!

Sekian, terima kasih.










(AZMAN BIN ADNAN)
Pengetua
SMK Bandar Putra 
                                                                              
 23  MAC 2011.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment