Meningkatkan kreativiti melalui Kajian Tindakan
Sebagai front liners, para guru merupakan pegawai yang berhadapan secara terus dengan kerenah murid terutama di dalam kelas. Mereka memerlukan segala persediaan berupa pengetahuan, kemahiran dan personaliti untuk mendidik para murid dari berbagai latarbelakang, potensi dan motivasi. Mereka merupakan pakar yang mengetahui kekuatan, kelemahan dan keperluan murid-murid di dalam bilik darjah terutama semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Mereka perlu sentiasa berusaha membawa perubahan dan pengubahsuaian terhadap teknik pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan prestasi serta memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi dalam bidang profesion mereka.
Sehubungan itu, kajian tindakan merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk mengenalpasti kaedah dan amalan terbaik terutama dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi membolehkan murid mememahami dan mempelajari sesuatu kosep, maklumat atau topik (Glickmen et. al, 1985). Kajian ini dilaksanakan berasaskan tindakan guru membuat refleksi kendiri untuk mengesan keadaan dan masalah dalam amalan-amalan pendidikan dan seterusnya membaiki keadaan amalan-amalan tersebut. Biasanya, kaedah pengajaran guru atau penggunaan bahan pengajaran yang kreatif dan inovatif akan terhasil dari kajian yang dibuat.
Berpegang kepada prinsip bahawa kajian tindakan dapat menyelesaikan pelbagai isu domestik dalam tempoh singkat dan berkesan, pengetua perlu menjadikan kajian tindakan ini sebagai agenda untuk meningkatkan kecemerlangan di sekolah. Melalui Jawatankuasa Kajian Tindakan Sekolah semua guru diwajibkan secara individu atau kumpulan menjalankan kajian tindakan mengikut kesesuaian tugas dan tanggungjawab masing-masing selari dengan hasrat Pengarah Pelajaran Johor yang menyarankan gagasan ”satu guru satu kajian tindakan”.
Sementara itu, guru-guru ini perlu digalakkan untuk membentangkan hasil kajian tindakan mereka dalam Saminar Kajian Tindakan peringkat daerah dan pembentangan di peringkat sekolah yang diadakan dalam beberapa siri perbengkelan dan kursus pembangunan staf. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada guru-guru membentangkan dapatan kajian tindakan mereka bagi dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain.
Natijah dari pelaksanaan kajian ini, pelbagai inovasi dan kreativiti pengajaran akan dapat dihasilkan. Oleh itu, usaha-usaha penyelidikan melalui kajian tindakan ini perlu diberi penekanan bagi meningkatkan kejayaan sekolah. Oleh kerana, kajian seperti ini sangat sesuai di laksanakan dalam konteks pendidikan dalam bilik darjah, dapatannya juga sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan peratusan dan kualiti pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam.
Petikan artikel saya dalam Jurnal MPSMJ Edisi 2010
0 comments:
Post a Comment