1Murid 1Sukan mulai 2011
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi selaras pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Februari lalu mulai tahun depan, bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan turut memfokuskan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dengan penyertaan seorang murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang tahun itu. Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan. Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008.
Muhyiddin berkata, selaras transformasi pendidikan, sudah sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan. Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan.
Dasar 1 Murid 1 Sukan ini secara umumnya menekankan penglibatan setiap murid dalam sukan. Penglibatan ini lebih menjurus kepada penyertaan, penglibatan, pemahaman dan pengetahuan mengenai sukan berkenaan tanpa mementingkan prestasi mereka.
Oleh itu, bermula tahun 2011, semua murid dan pelajar diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Pekeliling pun sudah dikeluarkan oleh pihak kementerian untuk dijadikan rujukan semua.
pekeliling satu murid satu sukan
0 comments:
Post a Comment